RENCANA UTAMA

Sekolah untuk nenek

Sekolah untuk nenek




SEJAK beberapa tahun lalu, Gangubai mengutip surat khabar dan plastik pembungkus coklat yang ditemui di sekitar kawasan kampungnya.

Bukan untuk dijual atau dikitar semula, Gangubai sebaliknya menjadikan barang terbuang itu sebagai bahan rujukan bagi membolehkannya belajar membaca.

Pada usia 65 tahun, Gangubai baru diperkenalkan kepada abjad buat pertama kali dalam hidupnya.

Wanita itu merupakan salah seorang daripada 28 orang pelajar tua di Kampung Phangne di Maharashta, India yang menyertai aajibaichi shala atau sekolah untuk nenek.

Setiap hari, antara pukul 2 hingga 4 petang, sekumpulan wanita tua berpangkat nenek atau aajis berkumpul di sebuah pondok daripada buluh.

Mengenakan uniform sari berwarna merah jambu terang, mereka membawa beg sekolah lengkap dengan kelengkapan seperti buku, pensel, papan hitam kecil dan kapur.

“Sekolah ini merupakan peluang terakhir buat kami untuk belajar membaca dan menulis. Saya gembira dapat menyertainya.

“Saya tidak pernah menyangka akan ke sekolah dan kini saya boleh membaca,” kata Gangubai seperti dipetik portal The Guardian.

Cerita Gangubai, rata-rata pelajar yang menyertai aajibaichi shala tidak pernah mendapat pendidikan sejak kecil.

Miskin

“Kami sangat miskin dan tidak berpeluang ke sekolah seperti orang lain. Jika kami ke sekolah, tiada sesiapa di rumah yang akan mengangkut air daripada telaga, membasuh pakaian dan menyediakan makanan,” katanya.

Aajibaichi shala mungkin satu-satunya sekolah di India khusus untuk golongan wanita warga emas yang buta huruf.

Dibuka pada Mac tahun lalu oleh Yogendra Bangar, seorang guru sekolah rendah di kampung tersebut, sekolah itu antara lain mengajar golongan nenek belajar menulis dan membaca abjad Marathi selain mengenal nombor serta membuat pengiraan asas.


RATA-RATA wanita warga emas yang menyertai aajibaichi shala tidak pernah mendapat pendidikan sejak kecil.


Sekolah itu diikuti oleh golongan nenek berusia antara 60 hingga 90 tahun selama dua jam sehari, enam hari seminggu.

“Idea untuk menubuhkan sekolah ini tercetus selepas saya terdengar seorang nenek mengadu tidak dapat membaca buku keagamaan kerana buta huruf.

“Wanita ini tidak mendapat peluang belajar ketika mereka muda dahulu. Mereka bukan belajar untuk masuk ke kolej atau bekerja di pejabat sebaliknya belajar supaya dapat membaca, menulis dan tandatangan dengan nama sendiri seperti ahli keluarga lain,” kata Yogendra.

Masalah pendengaran

Salah seorang guru di aajibaichi shala, Sheetal More berkata, tidak jauh berbeza dengan golongan kanak-kanak, warga tua juga perlu diajar dengan penuh kesabaran.

“Mereka senang lupa apa yang dipelajari, jadi anda perlu mengajar secara perlahan. Ada juga sebahagian yang mengalami masalah pendengaran dan penglihatan.

“Anda tidak boleh memarahi mereka sewenang-wenangnya kerana mereka lebih tua. Dalam budaya masyarakat India, warga tua perlu dihormati sewajarnya,” jelas More.

More memberitahu, pada awalnya dia berasa gementar untuk mengajar golongan wanita yang lebih tua daripadanya.

“Saya tidak boleh menyuruh orang yang lebih tua daripada saya melakukan sesuatu. Bagaimanapun, mereka semua nampak begitu teruja dan bersemangat. Mereka juga tidak pernah membuatkan saya rasa tidak selesa kerana perlu mengajar orang yang lebih tua sedangkan saya lebih muda,” ujarnya.

Berdasarkan bancian tahun 2011, sebanyak 237 juta masyarakat India tidak boleh membaca dan menulis. Kadar celik huruf dalam kalangan lelaki luar bandar di India ialah 79 peratus dan 59 peratus bagi wanita.

Pencapaian wanita masih ketinggalan jika dibandingkan dengan lelaki, terutama di luar bandar apabila kanak-kanak perempuan biasanya tidak dihantar ke sekolah atau diberhentikan selepas tamat sekolah rendah supaya dapat membantu kerja di rumah atau di ladang.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 31