RENCANA UTAMA

Lelaki reka mesin tuala wanita

Lelaki reka mesin tuala wanita


MURUGA mencipta sebuah mesin menghasilkan tuala wanita dengan harga murah bagi menggalakan golongan itu menggunakannya ketika datang bulan.


BAGI kebanyakan remaja perempuan yang tinggal di kawasan pedalaman India, mereka akan tinggal di rumah dan tidak akan ke sekolah walaupun pada hari peperiksaan semasa mengalami tempoh kitaran haid sehingga ia ber­akhir.

Keadaan itu turut dialami oleh golongan wani­ta apabila mereka tidak boleh bekerja semasa haid sehingga perkara tersebut boleh menjejaskan pendapatan harian gara-gara wanita yang datang bulan tidak dibenarkan untuk ke kuil atau menyediakan makanan.

Di India, datang bulan dianggap sebagai perkara tabu dalam masyarakat dan penuh dengan pantang larang tertentu sehingga membataskan aktiviti seharian mereka.

Melihat kepada masalah itu, seorang lelaki dari perkampungan Coimbatore di wilayah Tamil Nadu, Selatan India, telah menghasilkan tuala wanita untuk keperluan masyarakat luar bandar pada harga yang murah.

Lelaki itu, Arunachalam Muruganantham ­atau lebih dikenali sebagai Muruga telah meng­ha­silkan tuala wanita dengan menggunakan sebuah mesin yang dicipta khas untuk menjana kesedaran wanita di India tentang kepen­tingan menjaga kebersihan semasa datang haid.

Kain buruk

Mesin itu kini telah pun digunakan di 23 daripada 29 buah negeri di India dengan menghasilkan tuala wanita pada harga satu pertiga lebih murah berbanding harga di pasaran.

Kini, Muruga sedang merancang untuk memasarkan mesin tiu ke 106 buah negara di seluruh dunia. Muruga yang lahir pada tahun 1962 telah berhenti sekolah pada usia 14 tahun dan bekerja sebagai pembekal makanan untuk pekerja kilang sebelum bekerja sebagai operator mesin pada usia 18 tahun.

Muruga memberitahu HuffPost UK Lifestyle, idea untuk menghasilkan mesin membuat tuala wanita tercetus selepas dia ternampak isteri­nya, Shanti menggunting kain secara sembunyi.

“Saya melihat dia menyorokkan kain buruk yang digunting itu di belakangnya dan bertanyakan apa yang hendak dibuat dengan kain tersebut,” ujar Muruga yang memberitahu dia telah ditampar kerana bertanyakan soalan tersebut.


SEKUMPULAN pekerja wanita bersama mesin membuat tuala wanita yang dicipta oleh Muruga.


Muruga yang akhir­nya faham kegunaan kain buruk itu telah mencadangkan supaya isterinya membeli tuala wanita di kedai, namun diberitahu bahawa harganya sangat mahal.

Melihat pada masalah itu, Muruga mula mendapat idea untuk menghasilkan tuala wanita sendiri dengan menggunakan kapas tetapi telah ditolak oleh isteri kerana mendakwa kurang selesa berbanding menggunakan kain buruk.

Selepas Shanti enggan bekerjasama dengan suaminya, Muruga mencari sukarelawan dalam kalangan wanita untuk menjalankan ujian, namun ramai yang enggan kerana berasa malu.

Menang anugerah

Muruga akhirnya menjalankan uji kaji itu ke atas dirinya sendiri dengan menggunakan tuala wanita yang direka untuk digunakan sebagai lampin pakai buang.

Selain itu, Muruga juga telah memberi tuala wanita yang diciptanya kepada pelajar perempuan di sebuah kolej perubatan dan meminta mereka memberikan maklum balas.

Kajian yang dijalankan selama dua tahun mendapati, tuala wanita yang dijual di pasaran menggunakan bahan gentian selulosa yang didapati daripada kulit kayu pain kerana ia berupaya menjadi agen penyerap cecair yang baik.

Untuk mendapatkan bekalan sumber kulit kayu pain, Muruga telah bekerjasama dengan pembekal kayu dari Mumbai dan menghasilkan sebuah mesin ringkas dengan kos berjumlah 65,000 Rupee (RM4,407) untuk mengisar kulit kayu tersebut menjadi bentuk fiber.

Pada tahun 2006, Muruga telah membentangkan rekaan mesin membuat tuala wanita itu ke IIT Madras untuk dipertandingkan di Anugerah Inovasi Yayasan Teknologi Negara dan telah memenangi anugerah tersebut.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan Muruga memperoleh pembiayaan sebelum menubuhkan syarikatnya, Jayaashree Industri yang kini memasarkan mesin memproses tuala wanita untuk golongan luar bandar di seluruh India.

Ciptaan Muruga itu menyebabkan dia dipuji dan telah mengubah kehidupan jutaan wanita di seluruh India.

Bukan itu sahaja, ciptaan mesin membuat tuala wanita itu telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada ramai wanita selain menggalakkan mereka untuk menggunakannya ketika haid.

Selain dikenali sebagai pencetus, Muruga kini sibuk menyam­pai­­kan ceramah di institusi pe­nga­jian tinggi di Mumbai, Ahmedabad, Bangalore dan Harvard.

Pada tahun 2014, majalah Times telah menyenaraikan Muruga sebagai 100 Individu Paling Berpengaruh di dunia dan menerima Anugerah Padma Shri oleh kerajaan India pada 2016.

Merujuk akhbar The Times of India, hanya 12 peratus daripada 355 juta wanita di India menggunakan tuala wanita.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 31