KESIHATAN

Makan setiap 15 minit

Makan setiap 15 minit

BERBEZA daripada golongan wanita sebayanya, Solomon hanya makan separuh daripada jumlah kalori yang diperlukan tubuhnya.


SELESAI menjamah beberapa suap hidangan roti bakar, Abby Solomon sudah berasa kenyang. Dia menolak pinggannya itu tanda tidak dapat menghabiskan juadah tersebut.

Kira-kira 15 minit kemudian, Solomon terasa ingin mengunyah snek jadi dia membeli sebungkus kentang ­goreng, namun hanya makan sedikit selepas perutnya menjadi sebu.

Begitulah corak pemakanan Solomon yang dilahirkan dengan penyakit ganjil yang menyebabkan dia tidak pernah berasa lapar.

Gadis berusia 22 tahun itu sebaliknya perlu mengisi perut setiap masa bagi mengelakkan dirinya daripada pengsan akibat kekurangan glukosa.

“Setiap 15 minit hingga satu jam, saya perlu makan snek seperti biskut atau keropok kentang. Jika tidak, saya akan berasa sakit kepala dan terasa ingin pitam,” katanya seperti dipetik portal New York Times.

Lebih malang, Solomon turut menderita masalah daya penglihatan yang semakin merosot sehingga menyukarkan dia melakukan aktiviti harian.

Pada tahun 2013, Solomon menjalani pembedahan untuk membetulkan saluran hidung yang tersekat oleh tulang selain menggantikan kanta pada salah satu matanya bagi menghalang kebu­taan.

Menghidap sindrom Neonatal pro­geroid, gangguan genetik ganjil itu menghalang tubuhnya daripada mengeluarkan asprosin iaitu sejenis hormon protein yang merangsang selera makan dalam jumlah mencukupi.

Separuh kalori

Hal itu menyebabkan Soloman yang memiliki ketinggian 177.8 sentimeter dan berat 44.9 kilogram hanya makan separuh daripada jumlah kalori yang diperlukan golongan wanita normal sebaya dengannya.


PADA tahun 2013, Solomon menjalani pembedahan membetulkan saluran hidung dan penggantian kanta pada salah satu matanya.


Sebagai rekod, wanita berumur 22 tahun yang mempunyai ketinggian dan berat sama seperti Solomon memerlukan kira-kira 1,289 kalori sehari.

“Saya makan sedikit kerepek, gula-gula, coklat, piza, kek, donut, aiskrim serta kuih sepanjang hari dan saya sedih apabila orang mendakwa saya kurus kerana menghidap Anoreksia,” tambahnya.

Pakar genetik di Baylor College of Medicine, Houston, Amerika Syarikat, Dr. Atul Chopra memberitahu, pesakit sindrom Neonatal progeroid tidak merasai kelaparan seperti orang biasa sebaliknya mengalami hipoglisemia dan perlu sentiasa makan snek supaya tidak pengsan.

Hipoglisemia ialah keadaan paras kandungan gula atau glukosa yang sangat rendah dalam darah yang boleh menyebabkan seseorang jatuh pengsan atau koma.

“Pesakit perlu makan makanan bergula atau manis dalam kuantiti sedikit setiap masa sepanjang hari untuk terus hidup kerana tubuh mereka sentiasa kehabisan glukosa.

“Hormon asprosin antara lain berfungsi mengawal paras gula dalam darah. Kekurangan asprosin semula jadi pada pesakit sindrom ini membuatkan otak mereka berfikir bahawa tubuh berada di ambang kebuluran,” jelas Chopra.

Penawar obesiti

Mengulas lanjut, Chopra berkata, bagi mengatasi kekurangan asprosin, hormon tersebut perlu disuntik beberapa kali sehari ke dalam tubuh pesakit.

Pun begitu, tidak ramai pesakit yang mahu melakukannya kerana enggan menambah kesakitan kepada rasa sakit sedia ada.

“Lagipun ia (suntikan asprosin) tidak dapat membantu memulihkan kerosakan pada anggota badan akibat mutasi gen,” ujarnya.

Di sebalik kekurangan tersebut, Chopra memberitahu, penyakit ganjil yang dihidap Solomon itu mungkin menjadi kunci untuk melawan masalah kegemukan dan diabetes.

Menurutnya, genetik kurus Solomon membuatkan dia tidak boleh mengalami kenaikan berat badan dan ini mungkin dapat menjadi penawar kepada individu yang menghidap obesiti.

“Saya kini sedang menjalankan uji kaji terhadap asid deoksiribonukleik (DNA) Solomon dan cuba membangunkan antibodi bagi melawan kesan aprosin terhadap tubuh.

“Ia mungkin boleh menterbalikkan rintangan insulin dan menurunkan berat badan dalam kalangan pesakit diabetes yang obes,” katanya.

Rencana Utama!»

Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.

Process time in ms: 15