RUANG

Sentuhan dekorasi Scandinavia moden

Sentuhan dekorasi Scandinavia moden

GABUNGAN warna putih dan merah membangkitkan suasana pada ruang tamu.


MINAT dan kesungguhan terhadap hiasan dalaman bukan penghalang bagi seseorang itu untuk menyampaikan idea mereka walaupun tidak pernah mengikuti apa-apa kursus dengan bidang berkaitan.

Garapan yang diolah mengikut kreativiti sendiri lebih memberikan kepuasan ditambah dengan sedikit idea yang diperoleh daripada hasil membelek majalah mahupun melalui laman sosial.

Bagi Affendi Isa, 40, dan isterinya, Maslina Mohamad, 37, impian untuk memiliki sebuah rumah idaman dan dihiasi dengan sentuhan dekorasi yang diinginkan cukup memberikan kepuasan bagi mereka sekeluarga.

Mengangkat tiga kombinasi warna utama iaitu merah, putih dan hitam dalam sentuhan dekorasi pada ruang kediaman, Affendi berasa cukup teruja dengan hasil sentuhan yang telah dibuat pada rumahnya.

Suasana ceria dapat dilihat pada keseluruhan ruang tamu kediaman jenis apartmen itu tatkala Affendi galak bermain dengan tona warna-warna cerah dalam menghiasi kediamannya.

Melihatkan saja pada kombinasi merah dan putih sudah cukup membuatkan mata terpukau dengan magis yang diketengahkan pada ruang tamu.

Pemilihan warna permaidani dan langsir dengan rona merah hati sudah cukup memberikan tumpuan sekali gus menjadi elemen utama dalam membangkitkan suasana ruang kediaman.

Material kayu

“Saya baru sahaja berpindah ke sini sekitar pertengahan Januari lalu dan terus mengangkat tema moden dalam dekorasi pada rumah ini,” ujarnya yang sebelum ini hanya menyewa rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor.


HIASAN pada bilik tidur disuntik dengan elemen ringkas.


Bagi isterinya, Maslina, dia mengakui bahawa suaminya lebih obses terhadap aktiviti-aktiviti menghias rumah berbanding dirinya dan tidak kisah dengan idea serta keinginan yang diluahkan oleh suami tersayang.

Latar putih pada dinding dilihat sengaja dibiarkan polos tanpa ada calitan warna lain dan hanya dihiasi dengan dekorasi ringkas berupa bingkai gambar yang memaparkan potret alam semula jadi.

Bagi tidak membuatkan muka dinding kelihatan terlalu kosong, pemilik kediaman turut menggunakan beberapa buah para untuk meletakkan barangan perhiasan kecil.

Semasa diajukan soalan tentang idea untuk menggunakan kertas dinding bagi menyuntik elemen dekorasi pada dinding, Affendi ada jawapannya tersendiri.

Unik dan kreatif

“Saya pernah menggunakan kertas dinding sebelum ini, tetapi ia tidak bertahan lama dan tertanggal kerana keadaan cuaca yang tidak sesuai,” tutur Affendi.

Untuk memberikan impak pada dinding, Affendi hanya menyelitkan sedikit unsur alam dengan menampal pelekat bermotifkan flora.

Meneliti pada aspek pemilihan perabot, boleh dikatakan hampir 90 peratus barangan yang dibeli oleh pemilik kediaman berunsurkan material kayu dengan rona putih.

Pemilihan perabot seperti rak televisyen, almari dan sofa dengan rona putih menjadikan suasana ruang kelihatan lebih luas dan tidak kelihatan berserabut sekali gus mengangkat tema ala Scandinavia.


LALUAN pada pintu masuk tidak lepas daripada mendapat sentuhan dekorasi ringkas daripada pemilik kediaman.


Tumpuan pada ruang makan turut mencuri perhatian kru Jurnal dengan tatarias ringkas, namun masih mampu memberikan pesona buat sesiapa sahaja.

Sekali lagi, pemilihan set meja makan dengan motif putih sedikit sebanyak berjaya menyuntik elemen ala Inggeris pada hasil dekorasi.

Aplikasi lampu dalam kediaman juga menjadi elemen penting untuk membangkitkan suasana dalam rumah.

Affendi ternyata gemar bermain dengan cahaya lampu apabila di ruang tamu sahaja terdapat lebih daripada lima buah lampu diletakkan di ruang itu.

Mendongak ke bahagian siling, kru Jurnal begitu tertarik melihat pada reka bentuk lampu yang diambil berdasarkan inspirasi saluran paip gas.

“Saya juga gemar bereksperimen dengan sesuatu peralatan yang mempunyai reka bentuk unik dan kreatif,” jelas Affendi.

Bagi menghidupkan suasana dengan unsur alam, pasangan suami isteri yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu itu tidak lupa meletakkan hiasan berupa pokok-pokok plastik di beberapa sudut rumah.

Walaupun hanya sekadar pokok hiasan palsu, pemilik kediaman berjaya mengangkat unsur kehijauan di dalam kediaman sekali gus menjadikan suasana pada ruang kelihatan nyaman dan segar.

Berkesempatan menjengah ke ruang kamar utama, Affendi dan isterinya juga menerapkan konsep serupa apabila galak bermain dengan warna-warna terang, namun masih menjadikan rona putih sebagai latar utama.

Untuk mengekalkan dekorasi pada kediaman sementelah mempunyai tiga orang anak kecil, ia bukanlah satu cabaran besar buat pasangan suami isteri itu kerana didikan awal amat penting supaya anak-anak tahu barangan yang boleh atau tidak boleh disentuh.

Rencana Utama!»

Jana 5 kilowatt kuasa hidroelektrik

SISTEM vorteks bergantung sepenuhnya kepada pusaran air sungai berbanding konsep kitaran kincir air yang terdapat pada empangan jana tenaga lain.

GenK»

Lahirkan artis seni muda berciri usahawan

MUHAMMAD AFIQ menggunakan bilik inkubator yang disediakan kepadanya untuk berkarya.

Varia!»

TeknologiVeggie Factory pertanian masa depan

Teknologi Veggie Factory yang terdapat di Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Process time in ms: 93