VARIA

Memperkukuh pagar umat Islam

Memperkukuh pagar umat Islam

RUU355 bermatlamat mengukuhkan iman umat Islam daripada pengaruh luar seperti pelacuran. – Gambar hiasan


UNDANG-UNDANG adalah pagar di luar dan iman adalah pagar dalaman bagi setiap orang Islam.

Begitulah tafsiran Yang Dipertua Persatuan Da’awatul Iman Malaysia, Abdul Rashid Zainal terhadap usaha pemerkasaan undang-undang syariah melalui RUU355 yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada persidangan yang berlangsung sekarang.

Dilaporkan bahawa beratus-ratus pertubuhan Islam telah menyokong penuh rang undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 itu.

Bagi Abdul Rashid, setiap Ahli Parlimen yang beragama Islam hendaklah menyokong RUU355 kerana matlamat pemerkasaan undang-undang syariah adalah untuk memperkukuh kedudukan ummah dan agama Islam.

“Umat Islam pada hari ini adalah lemah dan dipandang lemah kerana pagar di luar dan pagar di dalam semakin lemah,” jelasnya.

Menurutnya, umat Islam terlalu berkompromi untuk menjaga hati orang bukan Islam sehingga akhirnya mereka gagal memenuhi tuntutan agama mereka sendiri.

Bagi beliau, penentangan bukan Islam terhadap RUU355 adalah kerana mereka keliru atau dikelirukan kononnya ia langkah untuk melaksanakan hudud di Malaysia. Padahal pelaksanaannya kelak hanya melibatkan orang Islam.

“Atau mereka sengaja tidak mahu umat Islam menjadi lebih kuat,” katanya.

Ada pendapat bahawa penentangan terhadap RUU355 dirangsang oleh ahli-ahli ‘perniagaan gelap’ seperti kelab-kelab hiburan haram, rumah pelacuran dan pusat-pusat perjudian yang sebilangan besar pelanggan dikatakan adalah orang Melayu.

Tauke-tauke itu bimbang perniagaan gelap mereka akan terjejas jika RUU355 diluluskan bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah-pesalah di bawah undang-undang syariah.

Antara lain di bawah pindaan yang dicadangkan, hukuman denda akan ditambah daripada maksimum RM5,000 kepada tidak melebihi RM100,000, hukuman sebat enam kali kepada sehingga 100 kali dan penjara tiga tahun kepada tidak melebihi 100 tahun.

Sokongan

RUU355 hanya boleh dilaksanakan jika diluluskan oleh Dewan Rakyat yang dianggotai 136 ahli yang beragama Islam dan 86 bukan Islam. Ia hanya memerlukan sokongan 51 peratus (114 ahli) untuk diluluskan.

Pas yang menjuarai RUU355 kini hanya mempunyai 14 wakil di Dewan Rakyat setelah enam orang keluar dan menyertai parti baharu Amanah.

Sudah tentu Pas memerlukan sebanyak mungkin sokongan ahli-ahli Parlimen beragama Islam daripada parti-parti lain khususnya UMNO yang mempunyai 86 wakil.

Setakat ini, UMNO menunjukkan tanda-tanda akan menyokong, tetapi belum pasti majoriti ahli Parlimen Islam daripada parti-parti pembangkang turut serta.

Walau apa jua alasan yang mereka berikan, bersedialah untuk menerima hukuman daripada pengundi Islam pada pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak menyokong.

Jelas majoriti umat Islam menyokong RUU355 kerana sudah tiba masanya pagar di luar dan dalam diperkuat kerana benteng iman dan takwa semakin goyah diasak arus kehidupan yang terlalu keduniaan dan pengaruh bukan Islam.

Renungilah firman Allah SWT berikut:

Al-Maidah: 49 - Dan hendaklah engkau memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka. Dan berwaspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan engkau terhadap sebahagian apa yang diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari apa yang diturunkan Allah), maka ketahuilah sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik.

Al-Maidah: 50 - Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang meyakini (agamanya)?

Sekurang-kurangnya lima orang mufti (Wilayah Persekutuan, Kelantan, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan) telah mengisytiharkan bahawa RUU355 wajib disokong.

Rencana Utama!»

Koleksi berjenama, vintaj resipi kejayaan Buntil

kedai Buntil yang diusahakan oleh Sting dan Adnan ini terletak di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor.

Varia!»

Yoga gaya hidup baharu di Myanmar

THU ZAR sanggup meninggalkan kerjaya sebagai peguam demi kecintaannya terhadap senaman yoga.

Process time in ms: 32