VARIA

Cabaran hasilkan kopi luwak Lampung

Cabaran hasilkan kopi luwak Lampung

Musang jenis luwak perlu dijaga dengan baik bagi mengelak ia daripada dijangkiti penyakit.


POPULARITI Wilayah Lampung, Pulau Sumatera sebagai pusat penghasilan kopi luwak di Indonesia tidak lagi sehebat dahulu berikutan kadar pengeluaran dan pemasaran kopi itu yang semakin menurun.

Situasi itu berlaku ekoran persaingan antara pengeluaran kopi yang semakin meningkat seperti dari Jawa, Sulawesi dan beberapa daerah lain di Sumatera.

Jualan serbuk biji kopi luwak Lampung di pasar-pasar awam di sekitar bandar itu juga berkurangan kerana semakin ramai pengilang yang membuat bungkusan kopi dalam bentuk lebih kecil seperti pek kecil (sachet) dan meletakkan cap sebagai kopi luwak.

Harga kopi luwak yang dijual dalam bentuk pek kecil adalah lebih murah berbanding kopi luwak asli yang berharga kira-kira Rp500,000 (RM165) sekilogram.

Daerah Lampung Barat merupakan dataran tinggi yang menjadi pusat penghasilan biji kopi robusta di Indonesia.

Mutu biji kopi yang dihasilkan sangat berkualiti seterusnya menyebabkan kopi luwak diakui keenakannya terutama dalam kalangan penggemar kopi dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, sejak tahun 2016 hingga awal 2017, pengeluaran kopi luwak di Lampung Barat semakin menurun dan berdepan situasi sukar untuk dieksport ke luar negara.

Pengusaha kopi luwak juga mendakwa kejatuhan perniagaan mereka disebabkan oleh beberapa punca seperti kekurangan promosi dan modal yang terhad terutamanya bagi mendapatkan pinjaman.

Promosi

Sementara itu, menurut Ketua Gabungan Kopi Luwak Robusta (GKLR) Lampung Barat, Gunawan, produk-produk kopi luwak sangat jarang ditampilkan dalam acara atau majlis keraian peringkat kebangsaan apatah lagi peringkat antarabangsa bagi mempromosikan serta meningkatkan jualan produk itu.

“Negara-negara pengeluar kopi yang lain telah melakukan pelbagai promosi sehingga berjaya membawa kopi mereka ke peringkat antarabangsa.

“Misalnya di Vietnam. Mereka telah mempromosikan kopi negara itu dalam acara-acara rasmi seperti pada Pesta Kopi Buon Ma Thuot dan Kebudayaan Gong di Da Lat,” katanya baru-baru ini.

Hakikatnya, aroma kopi luwak yang harum dan banyak ditanam di kawasan setempat berjaya mengangkat taraf ekonomi dan hidup masyarakat di Lampung.

Sebagai contoh, taraf kehidupan masyarakat di Kabupaten Gowa Sulsel kini semakin meningkat selepas menjadi antara pengeluar kopi luwak arabika dan berjaya menembusi pasaran Hong Kong serta Taiwan meskipun dalam skala kecil.

Bagaimanapun, pelancong yang berkunjung ke Pantai Lampung Barat semakin jarang untuk melawat ke pusat pengeluaran kopi luwak walaupun sebelum ini aktiviti itu menjadi acara wajib saat berkunjung ke sana.

“Pada tahun 2015, jumlah pengeluar kopi luwak dan ahli GKLR Lampung Barat seramai 31 orang, namun pada tahun 2016, hanya tinggal 10 orang dan kini lapan orang.

“Dalam masa sama, pengeluaran kopi luwak turut merosot. Jika pada tahun 2015, sebanyak 500 kilogram (kg) serbuk kopi luwak dapat dihasilkan, namun kini hanya 150kg,” jelas Gunawan.

Ada sesetengah pengeluar kopi luwak juga terpaksa gulung tikar sehingga menjual rumah sendiri kerana tidak mampu menanggung kerugian ekoran gagal memasarkan kopi itu disebabkan masalah promosi.

Pada tahun 2010, pengeluar kopi luwak di Lampung pernah mendapat kontrak daripada pemborong antarabangsa, namun sekarang ini kontrak berkenaan telah dibatalkan.

Mengulas lanjut, Gunawan memberitahu, dengan kemerosotan perniagaan kopi luwak, pihaknya bimbang untuk menerima sebarang kontrak kerana kekurangan modal.

“Ramai juga pengeluar kopi terpaksa melepaskan musang jenis luwak ke kawasan hutan kerana tidak mampu untuk memelihara haiwan itu lagi, malah ada yang mati kerana sakit.

“Penghasilan kopi itu memerlukan sekumpulan musang untuk memakan biji kopi tersebut sebelum membuangnya menerusi saluran najis. Biji kopi pula akan dibeli daripada petani setempat,” tambahnya.

Keuntungan kopi luwak didapati tidak seberapa meskipun harga kopi berkenaan mencecah Rp500.000 (RM165) sekilogram.

Kos pengeluaran sebenarnya agak tinggi. Sebagai contoh, 10kg biji kopi luwak hanya mampu menghasilkan sebanyak 2.8kg serbuk kopi.

Musang


ANTARA produk kopi luwak yang dipasarkan di Lampung Barat, Indonesia.


Wilayah Lampung juga disebut sebagai ikon bagi industri biji kopi robusta Indonesia kerana 85 peratus jumlah eksport produk kopi berasal dari kawasan itu.

Keluasan daerah itu adalah sekitar 163,837 hektar dan ia mampu menghasilkan sebanyak 100,000 hingga 120,000 tan biji kopi merah tersebut setahun bagi pasaran domestik.

Disebabkan hal itu, biji kopi merah robusta yang menjadi makanan musang tidak pernah kehabisan stok.

Walaupun bekalan biji kopi merah banyak, nasib pengusaha kopi luwak di Lampung masih lagi ditentukan oleh pembeli.

Setakat ini, pembeli perlu membuat perjanjian jual beli dengan pengusaha kopi luwak dan selepas itu barulah proses penghasilan kopi tersebut boleh dijalankan.

Biasanya, pengusaha akan menerima bayaran terlebih dahulu sebagai modal atau dana bagi penghasilan kopi luwak.

Selain faktor harga kopi yang mahal, kempen perlindungan terhadap musang yang dilancarkan turut menjejaskan sektor penternakan luwak di Indonesia termasuk di Wilayah Lampung.

Lembaga Perlindungan Haiwan Dunia mendakwa, peningkatan penghasilan kopi itu telah mendorong pengusaha memelihara luwak dalam jumlah yang banyak dan memaksa haiwan tersebut makan dalam kuantiti yang berlebihan sehingga sakit.

Antara kempen lain yang turut memberi kesan ialah menghalang pelancong melawat ladang dan kilang kopi luwak sehingga mengganggu jualan kopi tersebut ke pasaran luar negara.

Gunawan memberitahu, pada tahun 2015, terdapat ramai pelancong ke Wilayah Lampung untuk melihat sendiri proses penghasilan kopi itu, sekali gus membeli produk tersebut sebagai cenderamata.

Namun, sejak tahun 2016 hingga awal tahun ini, jumlah pelancong semakin menurun dan kini tiada lagi pelancong yang melawat ke Wilayah Lampung.

Gunawan menambah, jika pihak pemerintah masih menganggap kopi luwak sebagai kopi yang istimewa, mereka perlu menetapkan dasar untuk mengembangkan industri kopi itu dengan membuat promosi secara menyeluruh supaya ia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Para pengusaha kopi luwak juga harus diberikan tunjuk ajar supaya mereka mengetahui proses penghasilan kopi luwak dan cara memelihara luwak yang betul bagi mengurangkan aktiviti tangkapan di hutan Taman Nasional Bukit Barisan Selatan, Lampung.

Sehubungan itu, ketua daerah perlu memberi pendedahan mengenai proses pembiakan dan memelihara luwak kepada pengusaha kopi istimewa tersebut.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 47