VARIA

KATS, PTSB menyantun masyarakat Orang Asli

KATS, PTSB menyantun masyarakat Orang Asli


Penduduk memilih pakaian yang dibawa peserta Program Masih Ada Yang Sayang hasil sumbangan orang ramai.


MERAIKAN golongan warga emas sememangnya suatu perbuatan yang mulia dan dituntut oleh semua agama.

Bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kembara At-Taqwa Solution (KATS), mereka mempunyai cara yang tersendiri bagi menjalankan aktiviti tersebut.

Berbanding berkunjung ke pusat-pusat kebajikan atau rumah jagaan orang-orang tua di kawasan bandar, KATS memilih untuk menyantuni golongan warga emas yang terdiri daripada Orang Asli di perkampungan Orang Asli, Kampung Pisang, Jalung Tinggi, Sungai Siput (Utara), Perak baru-baru ini.

Pengarah Program Masih Ada Yang Sayang, Shafarizan Saedan, 41, berkata, banyak pihak terlepas pandang akan golongan warga emas Orang Asli yang banyak tinggal di kawasan-kawasan pedalaman dan terpencil sehinggakan ada antara mereka yang tidak pernah menerima bantuan.

“Sebagai sebuah NGO yang bergerak aktif dalam program kemanusiaan di kawasan pedalaman, kami rasa terpanggil bagi menghargai dan meraikan warga emas Orang Asli.

“Pada program yang julung-julung kali diadakan ini, kami turut membawa bersama pensyarah dan pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim, Kedah,” katanya.

Menurut Shafarizan, seramai 24 orang pelajar dan 10 orang pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal politeknik berkenaan berkampung selama tiga hari dua malam di kampung berkenaan.

Katanya, program yang dianjurkan Ed Skuba dari Kuala Lumpur dan dibantu oleh pasukan Malaysian4Wheeler serta 10 orang sukarelawan itu bertujuan mendedahkan para pelajar tentang perlunya menghargai dan meraikan warga emas Orang Asli selain menyemai sifat menyayangi golongan warga tua.

“Berbagai aktiviti telah djalankan sepanjang program tersebut berlangsung, antaranya mengunjungi warga emas yang uzur, membaiki pagar surau, menambah saluran paip air, menambah baik pendawaian elektrik dan membuat perabot seperti meja dan kerusi.

Sumbangan


Peserta program bergambar beramai-ramai sebagai kenangan sebelum program tamat.


“Selain itu, kami juga mendapat penajaan daripada Adabi Malaysia dan sumbangan daripada beberapa individu merangkumi beras dan barangan keperluan dapur,” katanya.

Selain itu, menurut Shafarizan lagi, pihaknya juga turut mengadakan Kenduri Cak Raya bagi menjamu penduduk kampung berkenaan dengan makanan tengah hari selain menganjurkan pertandingan bola sepak persahabatan antara belia Orang Asli dengan pelajar dan sukarelawan KATS.

Dalam pada itu, Tok Batin Kampung Pisang, Nasiri Ngah, 47, memberitahu, Kampung Pisang telah wujud sejak awal tahun 1980-an lagi.

Kini, penduduk kampung itu adalah seramai 230 orang daripada 46 buah keluarga dengan majoritinya beragama Islam dan bekerja sendiri.

“Kami mengalu-alukan kedatangan pelajar dan para sukarelawan bagi mempereratkan lagi silaturahim sesama penduduk selain dapat bertukar kemahiran yang ada antara penduduk setempat.

“Kami berasa amat bertuah apabila ditunjukkan cara-cara membaiki pagar surau dan memasang paip air oleh pelajar politeknik yang datang ke sini,” katanya sambil memberitahu, perkampungan itu telah menerima bekalan elektrik tiga tahun lalu, manakala bekalan air diambil dari bukit.

Seorang pelajar, Muhammad Muhaimin Mohd. Yusri, 20, berkata, dia berasa insaf apabila melihat banyak kekurangan dalam kehidupan masyarakat Orang Asli berbanding dengan kehidupannya di bandar.

“Banyak kekurangan yang saya lihat seperti kemudahan jalan yang teruk selain terpaksa bergantung pada bekalan air paip yang diambil dari sungai dan air bukit yang kadangkala kotor terutama bila musim hujan.

“Saya juga dapat membantu mereka dengan membaiki paip di tandas surau dan bergaul dengan penduduk Orang Asli,” katanya.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 31