STAILO

Tonjol keunikan 6 negeri menerusi tudung

Tonjol keunikan 6 negeri menerusi tudung

Tudung ini berlatar belakangkan kota raya Kuala Lumpur pada waktu malam yang disinari cahaya lampu dari Menara Berkembar Petronas.


SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam Butik Sincerelybus (SBU), pandangan Farah Kamalia Zakaria bagaikan terpukau dengan susunan tudung yang coraknya sangat menarik malah menggamit kenangan.

Menurut wanita berusia 28 tahun itu, koleksi tudung yang dikenali sebagai Negeriku keluaran butik SBU sangat menarik kerana ia mengetengahkan keunikan dan identiti negeri-negeri di Malaysia.

“Saya sangat teruja memiliki tudung negeri Selangor, Melaka dan Pulau Pinang. Saya rasa bangga ketika memakainya.

“Ternyata SBU tidak pernah mengecewakan pelanggan kerana sentiasa menghasilkan tudung-tudung gaya segar dan terkini,” katanya yang menjadi pelanggan setia butik itu sejak empat tahun lalu.

Ujar Farah Kamalia, tudung itu mempunyai impak besar buat dirinya kerana menerbitkan rasa cintakan negeri kelahirannya iaitu Selangor malah mengenali dengan lebih mendalam negeri-negeri lain.

“Setelah melihat corak tersebut saya berasa ingin ke negeri itu dan mengetahui apa lagi yang menarik di sana.

“Selain itu, apabila memakai tudung tersebut dan melihat di cermin, ia mengimbau kembali kenangan ketika berada di negeri tersebut ketika bercuti bersama keluarga,” cerita anak kelima daripada enam beradik itu.

Tambahnya lagi, selain rekaan tudung yang menarik, ia juga senang untuk digayakan serta sangat selesa malah tidak mudah berkedut dan bidangnya juga lebih besar.

Semangat kenegerian


SELAIN tudung, Butik SBU turut menjual pakaian wanita.


Sementara itu, Pemilik SBU, Noor Inora Putri Noorzainy, 27, berkata, pihaknya ingin membuat kelainan berbanding rekaan sedia ada di pasaran dengan mengetengahkan konsep kenegerian.

“Melalui pengamatan saya, setakat ini tiada lagi tema kenegerian diterapkan ke dalam corak tudung, maka ia merupakan waktu sesuai untuk mengeluarkan koleksi ini.

“Ia secara tidak langsung dapat membangkitkan semangat kenegerian terutamanya kepada generasi muda malah menggalakkan mereka untuk mengambil tahu mengenai negeri-negeri lain yang ada di negara kita,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Butik SBU, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Cerita ibu kepada seorang cahaya mata itu, tudung tersebut yang bercorak tiga dimensi mempunyai enam koleksi setakat ini iaitu negeri Selangor, Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur.

Ujar anak sulung daripada tiga beradik itu, sebaik sahaja tudung tersebut dilancarkan pada bulan Februari lalu, ramai orang teruja mendapatkannya sehingga pihaknya perlu membuat tambahan stok.

Kota raya

Menjelaskan mengenai corak dan identiti yang diterapkan dalam tudung itu, Noor Inora Putri berkata, bagi tudung Kuala Lumpur, dia menggunakan corak landskap kota raya berkenaan pada waktu malam dengan meletakkan gambar ikon negara iaitu Bangunan Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur.

“Melaka pula, kami mencetuskan corak tingkap rumah Baba Nyonya. Kami pasti menerapkan suasana sesuatu tempat itu dalam setiap rekaan agar ia lebih dekat dengan pembeli.

“Tudung Johor menggunakan identiti warna negeri itu iaitu merah dan biru gelap yang ditambah pula corak bintang,” katanya yang berasal dari Klang, Selangor.

Pulau Pinang menggunakan dominasi rona biru dan bunga serta Jambatan Pulau Pinang yang merupakan identiti negeri tersebut.

Rona kuning dan oren digunakan bagi menyerlahkan tudung Selangor selain orkid yang merupakan bunga ikonik bagi Shah Alam.

Corak wau dan batik sudah tentu sesuai untuk menggambarkan keunikan Kelantan yang kaya dengan seni dan warisan.

Tutur Noor Inora Putri, dia bersama kumpulan kreatifnya mengambil masa selama sebulan untuk mereka corak dan menyiapkan idea serta konsep agar benar-benar mencerminkan identiti negeri-negeri tersebut.

Sebab utama SBU menghasilkan tudung dari enam negeri tersebut kerana kebanyakan pelanggannya datang dari negeri-negeri itu.

Dia yang sudah enam tahun menceburi bidang perniagaan itu berkata, berdasarkan sambutan hebat daripada pelanggan, pihaknya bakal mengeluarkan tudung untuk negeri-negeri lain pada masa akan datang.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 16