GENK

Nadia, Nicholas tonggak Arenarama

Nadia, Nicholas tonggak Arenarama

Beraksi di hadapan kamera secara langsung membuatkan Nadia dan Nicholas perlu bijak mengawal keadaan dan menarik tumpuan penonton terhadap rancangan Arenarama.


PATAH bicaranya petah mengatur kata. Sesekali tangannya digerakkan seirama dengan lantunan frasa yang terkeluar daripada ulas bibirnya. Gerak tubuh juga kelihatan keletah menggambarkan peribadinya yang ceria dan mesra kamera.

Pada pukul 9 pagi setiap hari Ahad, gelagat mencuit hati Nadia Nash, 30, dapat dilihat secara langsung menerusi rancangan Arenarama yang bersiaran di saluran Astro Arena saluran 801 dan 802 HD.

Rancangan terbaharu hujung minggu yang dikenali sebagai Arenarama merupakan program gaya hidup yang memaparkan pelbagai segmen menarik berkaitan sukan.

Segmen-segmen yang dipaparkan adalah berunsur moden dan terkini iaitu memfokuskan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini.

“Sejujurnya, saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang sukan. Jika diminta mengulas berkaitan mana-mana sukan, saya pasti tidak dapat melakukannya.

“Walaupun Arenarama juga merupakan rancangan berunsur sukan, saya seronok mengacarakannya kerana gaya santai seperti ini sangat dekat dengar karakter diri saya,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di studio Astro Arena, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Selain Arenarama, Nadia juga mengacarakan sebuah lagi rancangan berunsur sukan iaitu Supersport Daily.

Menyifatkan kedua-dua rancangan tersebut sebagai ‘garam’ yang melengkapkan rencah kemahiran pengacaraannya, Nadia akui peluang berjumpa dengan ramai individu hebat dalam industri sukan, baik pengacara atau pemain industri, memberinya pengetahuan tambahan untuk melakukan tugas dengan lebih baik.

Wanita berpenampilan cergas itu mula diintai bakatnya untuk mengacarakan program terbaharu Astro Arena tersebut apabila saban minggu ke studio bagi merakamkan rancangan Supersport Daily.

“Sebaik dilamar dan mendapat penjelasan ringkas mengenai konsep Arenarama, saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju. Saya tertarik dengan pendekatan santai yang cuba diketengahkan.

“Penyampaiannya pula bersifat kasual menggunakan lenggok bahasa anak muda seperti percakapan seharian. Pendekatan seperti itu secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana santai dan interaktif antara hos dan penonton,” jelas anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu.

Gaya hidup

Input yang diperoleh secara langsung daripada rancangan berunsur sukan dan gaya hidup itu mendedahkan Nadia untuk lebih dekat dengan dunia kecergasan dan kesihatan.

Justeru, dia kini lebih ringan tulang untuk mengunjungi pusat latihan kecergasan seperti gimnasium atau gelanggang badminton untuk bersenam.

“Saya akan bersenam di gimnasium sebanyak dua kali seminggu, bermain badminton atau berlari.

“Pada bulan Mei nanti, saya akan menyertai satu acara larian. Bagi menyiapkan diri, saya akan meluangkan sedikit masa hampir setiap hari untuk berlatih,” katanya.

Akui Nadia, sejak mengendalikan salah satu segmen dalam Arenarama iaitu Mmmm...Legit! yang berkisarkan pencarian tempat makan sihat, reviu kafe dan adakalanya sesi memasak bersama cef terkenal, dia kini lebih menjaga aspek pemakanan diri dan mula mengamalkan kaedah eat clean iaitu makan secara sihat pada kadar minimum.

Wanita kacukan Melayu dan Cina ini juga fasih berbahasa Mandarin, namun dia masih belum bersedia untuk mengacarakan rancangan dalam bahasa tersebut.

Dia yang mempunyai 16 ekor kucing itu ingin menjadi seorang hos versatil dengan mengacarakan rancangan dalam genre berbeza pada masa akan datang.

Dipasangkan bersama Nadia ialah hos berbangsa Cina berbakat, Nicholas Mak, 29.

Tidak seperti Nadia yang sememangnya aktif dalam dunia pengacaraan, Nicholas boleh dianggap masih hijau dalam bidang ini walaupun pernah menjadi hos rancangan Astro Supersport pada tiga tahun lepas.

Kerjasama

“Pengalaman merakam rancangan televisyen secara langsung memberi tekanan berbeza kepada saya. Saya perlu menjaga ekspresi muka dan memilih perkataan dengan tepat walaupun sejujurnya kosa kata bahasa Melayu saya agak terbatas.

“Berpasangan dengan Nadia juga memberi kelebihan kerana dia bijak mengawal keadaan sekali gus membuatkan saya menjadi lebih selesa dan tidak kekok,” jelasnya dalam tawa.

Anak sulung daripada tiga orang adik-beradik itu juga teruja apabila namanya terpilih sebagai hos Arenarama kerana dia berpeluang untuk mendalami lebih lanjut perihal dunia sukan tempatan.

“Saya gemarkan aktiviti kecergasan dan sukan. Pengalaman pernah mencapai berat badan berlebihan suatu ketika dahulu membuatkan saya serik dan berazam untuk menjaga diri dengan lebih baik.

“Banyak ilmu berguna yang saya peroleh daripada rancangan ini. Saya berharap pengisian yang sama juga dapat diserap oleh penonton,” kongsi anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu.

Apabila ditanya jenis sukan yang digemari, Nicholas memberitahu, dia lebih cenderung terhadap sukan alternatif seperti seni mempertahankan diri campuran (MMA), malah dia juga pernah aktif dalam sukan itu suatu masa dahulu.

Biarpun kelihatan maskulin dengan karakter lelaki perkasa, namun pemuda berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Segi, Petaling Jaya itu mempunyai sentimen istimewa terhadap wanita. Hal ini kerana, ahli wanita dalam keluarganya sangat dominan dan berjiwa besar.

Nicholas juga sangat menghormati mendiang moyangnya yang pernah mengasuh 12 orang kanak-kanak termasuk dirinya sewaktu kecil dahulu dan menjadikan dia sebagai idola hidup.

Rasa hormat yang menebal terhadap wanita membuatkan penerima anugerah CLEO Most Eligible Bachelor pada tahun 2013 ini terpanggil untuk membuka sebuah pusat gimnasium khusus untuk wanita, Koa Fitness, bertempat di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47