PESONA

Berjalan sejauh 2 kilometer sambil beramal

Berjalan sejauh 2 kilometer sambil beramal


Seorang peserta membawa anaknya mengambil belon daripada lelaki berpakaian badut selepas tamat acara amal Tesco Walk For Kids 2017 baru-baru ini.


LAUTAN manusia berpakaian rona biru memenuhi Pusat Sukan, Desa Parkcity di Kuala Lumpur pada 26 Februari lalu.

Mereka berkumpul bukan mahu mencetuskan kontroversi kerana fanatik kepada mana-mana parti politik tetapi berkumpul atas semangat mahu menyertai acara amal Tesco Walk For Kids 2017.

Ketika orang lain sedang lena diulit mimpi dan mahu memanjangkan waktu tidur mereka pada hujung minggu, kelompok manusia berpakaian serba biru itu sanggup berkumpul di lokasi tersebut seawal pukul 6.30 pagi.

Bagi Norlida Razali, 37, walaupun acara itu hanya bermula pada pukul 7.30 pagi, dia mengambil keputusan untuk datang awal ke lokasi berkenaan.

Stamina

Ini kerana wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mahu melihat gelagat orang ramai dan merasai kemeriahan sebelum acara tersebut bermula.

“Acara berjalan seumpama ini merupakan satu bentuk riadah untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya sememangnya menyukai aktiviti seperti ini kerana ia menjadi satu permulaan yang baik untuk meningkatkan kekuatan dan stamina diri,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.


RIBUAN peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur menyertai acara amal di Pusat Sukan, Desa Parkcity, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Ibu kepada lima orang anak itu memberitahu, ini merupakan kali pertama dia menyertai acara amal seperti itu.

Lebih istimewa, Norlida menyertai acara berjalan itu bersama suami dan anak-anaknya.

Walaupun hujan renyai-renyai sebelum acara bermula, ia tidak menghalang lebih 3,000 orang peserta untuk menjayakan aktiviti berjalan sejauh dua kilometer itu.

Salah seorang peserta yang sedang sibuk melakukan persiapan terakhir, Muhammad Amzar Abu Dzarim, 32, turut teruja untuk berjalan.

Tambah Muhammad Amzar, aktiviti riadah seperti itu bukan sahaja dapat mengisi masa lapang pada hujung minggu tetapi amat baik untuk meningkatkan kesihatan dan menyihatkan tubuh badan.

“Aktiviti berjalan seperti ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melakukan aktiviti kecergasan secara beramai-ramai tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Pada masa sama, bagi individu yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai banyak masa untuk bersenam, mereka berpeluang menyihatkan tubuh badan menerusi acara seperti ini,” ujar pekerja sebuah syarikat swasta di ibu kota itu.


Acara amal itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelancong luar negara.


Persekitaran kondusif

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, buat julung-julung kalinya acara amal yang dianjurkan bagi membantu beberapa sekolah angkat itu berjaya mengumpul sebanyak RM400,000.

“Kami amat berterima kasih dengan semua sumbangan dan sokongan yang diterima untuk acara ini. Wang yang diperoleh itu akan digunakan untuk menambah dana pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan serta program kebajikan pelajar di setiap sekolah angkat kami.

“Selain itu, kami berharap untuk meningkatkan kemudahan-kemudahan sekolah yang sedia ada supaya para pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa,” katanya.

Ritchie menjelaskan, hasil kutipan itu akan disalurkan kepada tujuh sekolah terpilih di sekitar Lembah Klang seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Tropicana, SK Pandan Jaya, SK Taman Datuk Harun 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepong, SMK Segambut, SK Bandar Utama Damansara 4 dan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif PINTAR Foundation, Karimah Tan Abdullah; Pengurus Besar Desa Parkcity Township, Sukhdev Singh dan Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Malaysia, Azliza Azmel.

Tesco Walk For Kids 2017 adalah usaha berskala besar bagi mengumpul dana sejak Tesco Malaysia melancarkan Program Sekolah Angkat bersama Yayasan PINTAR pada November 2016 lalu.

Program Sekolah Angkat selama tiga tahun itu akan membolehkan Tesco Malaysia menyokong semua 59 sekolah angkat daripada aspek pendidikan, kebajikan pelajar dan kesedaran pemakanan.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 46