PESONA

Pekerja diberi ruang, peluang kembang kerjaya

Pekerja diberi ruang, peluang kembang kerjaya



SETIAP kali kakinya melangkah memasuki ruang lobi syarikat Flex Malaysia (Flex), Mohd. Sukri Suki pasti bersemangat untuk memulakan tugasnya.

Walaupun ruang lobi itu dijejaknya hampir setiap hari namun, lelaki berusia 41 tahun itu tidak pernah bosan dengan bangunan dan suasana persekitaran kondusif syarikat elektronik Flex yang terletak di Perai, Pulau Pinang itu.

Menurut Mohd. Sukri, semasa menggalas tanggungjawab sebagai Operator Pengeluaran di syarikat berkenaan pada 1995, dia bersyukur kerana diberi peluang bekerja di sebuah syarikat teknologi yang memberi keseimbangan dalam kerjaya dan kehidupan.

Mohd. Sukri yang kini memegang jawatan sebagai Pegawai Latihan Flex berkata, sepanjang 22 tahun bekerja di Flex, dia mampu menghantar ibunya mengerjakan haji hasil simpanan daripada wang gajinya.

Malah, dia turut menanggung adiknya yang menyambung pelajaran pada peringkat kedoktoran di Universiti Cambridge, London, Britain tanpa melakukan sebarang pinjaman.

“Saya sendiri tidak sangka mampu menghantar ibu menunaikan haji pada tahun 2005 dan adik pula pada tahun 2007. Ini semua kerana di Flex menyediakan potongan simpanan Amanah Saham Bhd. dan Tabung Haji.

“Selebihnya, wang gaji digunakan untuk membayar rumah, kereta dan duit poket untuk kegunaan melancong,” jelasnya yang berasa puas dapat membantu keluarga.

Anak pertama daripada empat beradik itu kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Pengurusan Maklumat di Universiti Teknologi Malaysia. Ia juga merupakan salah satu inisiatif Flex bagi memberi peluang kepada pekerjanya menimba ilmu.

“Di Flex, kami diberi peluang untuk menunjukkan bakat dan kebolehan masing-masing. Katakan, anda tidak mahir dalam melakukan satu-satu tugasan, majikan akan melatih anda sehingga anda benar-benar mahir dan berkebolehan.

“Kami juga diajar untuk bercakap dengan yakin, berani melontarkan pendapat, bergaul dengan semua kakitangan dan rajin bertanya jika terdapat kemusykilan,” ujarnya ketika ditemui di syarikat tersebut baru-baru ini.

Kakitangan terbesar

Dia juga berasa amat gembira kerana majikannya turut menekankan kepentingan agama.


Bilik informasi ini menyediakan peralatan sistem bunyi yang dihasilkan Flex.


“Pada setiap Jumaat, Flex akan menyediakan bas percuma untuk kakitangan yang beragama Islam menunaikan solat di masjid. Malah, setiap perayaan akan disambut secara meriah dengan melakukan jamuan atau kunjung-mengunjung,” jelasnya.

Mengenai Flex, ia adalah sebuah syarikat elektronik yang berkonsepkan lakaran mengikut skala (sketch to scale). Berdasarkan pengalaman sejak 1991, Flex yang beroperasi di Perai, Pulau Pinang dan Johor Bahru, Johor banyak mempelopori pasaran industri itu seperti kenderaan, infrastruktur, komunikasi, telekomunikasi, fesyen, sumber tenaga dan perubatan.

Kini, Flex mempunyai 19,000 pekerja sekali gus menjadikannya antara syarikat multinasional yang mempunyai kakitangan terbesar di Malaysia.

Seorang lagi kakitangan Flex yang memegang jawatan sebagai Pegawai Jaminan Kualiti, Azmah Ayob, 42, pula berkata, dia mampu menggalas tanggungjawab bukan sahaja sebagai pekerja malah, seorang ibu, pelajar dan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam satu-satu masa.

“Flex merupakan pekerjaan pertama saya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya menyertai syarikat ini, pada Mei 1997. Ketika itu, gaji saya cuma RM400, tetapi berkat kesetiaan saya, kini saya boleh tersenyum gembira.

Kerja amal

“Bekerja di sini memberi saya kepuasan dalam mencari tujuan hidup. Saya bukan sahaja menjalankan kerja-kerja di Flex malah, dapat melakukan kegiatan amal seperti membantu JPAM pada hujung minggu. Saya merasakan Flex adalah pekerjaan pertama dan terakhir saya,” kata ibu kepada dua anak yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah ini.


BANGUNAN Flex ini terletak di Batu Kawan, Pulau Pinang.


Azmah berkata, sebuah kelab komuniti turut diwujudkan bagi menjalankan pelbagai aktiviti seperti bermain boling, futsal dan lawatan ke rumah anak yatim.

“Setiap minggu, kami akan melakukan aktiviti berkenaan bagi menambah kemesraan dalam kalangan kakitangan. Kami juga memberikan sumbangan baju atau beg sekolah kepada anak-anak pekerja.

“Sememangnya, jalinan silaturahim antara kakitangan dan majikan di sini begitu akrab,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Flex Batu Kawan, Ahmad Zamsari Zakaria memaklumkan, terdapat lebih 200,000 pekerja Flex di seluruh dunia dengan 10 peratus daripadanya ialah Flex Malaysia.

“Kami mempunyai begitu ramai kakitangan kerana kami percaya dengan adanya mereka, ia membuatkan syarikat lebih berdaya saing dan bergerak maju. Jika mereka (kakitangan) dapat memberikan yang terbaik, apa salahnya syarikat juga memberikan pulangan yang sama,” ujarnya.

Tambah Ahmad lagi, bagi menyuntik kelainan, Flex mengadakan program Kaizen. Program itu membolehkan kakitangan terutamanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran melontarkan pendapat tentang cara memperbaiki kelemahan atau meningkatkan sesuatu kerja itu.

“Syarikat akan melakukan kaji selidik, jika ada di antara pendapat itu boleh digunakan, kita akan ambil dan terapkan dalam sistem pekerjaan,” katanya sambil memberitahu, Flex turut menyediakan bilik menyusu untuk para ibu, kios layan diri, mesin pengeluaran wang automatik, surau, gimnasium dan kafe yang boleh memuatkan 600 orang dalam satu masa.

Tambahnya, dia cukup berbangga apabila ada di antara pekerjanya yang sebelum ini berasa rendah diri, malu untuk berbicara, suka menyendiri dan tidak yakin berdepan dengan orang ramai sudah berubah menjadi sebaliknya.

“Itulah peranan Flex, kami bukan sahaja menekankan etika pekerjaan semata-mata malah, memberi keseimbangan hidup di antara kerjaya dan kehidupan,” katanya mengakhiri perbualan.

Rencana Utama!»

Kaedah dorsal slit selamat, cepat sembuh

Di negara ini, kebiasaannya kanak-kanak lelaki dikhatankan ketika berumur antara tujuh hingga 12 tahun. – Gambar hiasan

Varia!»

Khidmat pertapa popular di internet

TOON (kiri) mengikat tali pelindung di anggota badan pelanggannya.

Process time in ms: 31