STAILO

Inspirasi fesyen kontemporari Jepun

Inspirasi fesyen kontemporari Jepun

Sebahagian model memperagakan koleksi busana jalanan Jepun.


KONICHIWA! Sapa seorang pekerja wanita di gedung pakaian Jepun, COCO Concept Store kepada Muhamamd Firdaus Abu Bakar, 25, yang menjejakkan kaki ke gedung itu di pusat beli-belah AEON Tebrau City, Johor Bahru, Johor.

Suasana di gedung pakaian itu tidak ubah seperti di negara Jepun lebih-lebih lagi dengan lagu tema animasi Jepun yang rancak diputarkan memeriahkan segenap ruang.

Bahkan tambah Muhammad Firdaus, setiap pekerja di gedung itu ramah melayaninya sesuai dengan nilai budaya negara Jepun yang penuh sopan santun.

“Saya sangat teruja berkunjung ke COCO Concept Store kerana di sini saya dapat mencari pakaian yang diinspirasikan daripada trend Harajuku, Jepun dengan lebih mudah.

“Oleh itu, saya tidak perlu pening kepala untuk mendapatkan pakaian yang mampu menyerlahkan keyakinan diri saya.

“Setiap jenis pakaian yang terdapat di sini menepati cita rasa kebanyakan golongan muda dan membolehkan saya tampil moden serta trendy,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Aeon Jusco Tebrau baru-baru ini.

COCO Concept Store di pusat beli-belah AEON Tebrau City, Johor merupakan gedung pakaian yang diinspirasikan daripada fesyen Jepun.

Ia merupakan gedung pertama COCO Concept Store dibuka di Malaysia dengan menekankan elemen kontemporari serta minimalis sesuai untuk lelaki dan wanita.

Koleksi pakaian pertama yang dikeluarkan di COCO Concept Store ialah busana jalanan Jepun.

Menurut Pengarah Eksekutif Pemasaran COCO Concept Store, Sabrina Quigley Chin, koleksi busana jalanan Jepun menjadi taruhan COCO Concept Store kerana gaya tersebut dilihat sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan.

Pakaian harian

Katanya, pakaian jalanan itu lebih menjadi pilihan masyarakat tempatan untuk dijadikan pakaian harian.

“Stail fesyen jalanan adalah lebih kasual, santai, ekspresif dan menggunakan material yang lebih selesa.

“Lebih menarik, konsep suai padan pakaian yang diterapkan di sini membolehkan setiap pakaian mudah untuk digayakan dan disesuaikan dalam apa jua keadaan.

“Jika pelanggan masih ragu-ragu dengan pakaian yang dipilih, pekerja di COCO Concept Store akan membantu memberikan rundingan ketika memilih pakaian bagi memastikan pelanggan sentiasa tampil bergaya,” ujarnya.

Difahamkan, material kain yang digunakan dalam koleksi tersebut kebanyakannya daripada kapas dan pakaian yang dikait (knitwear).

Ia digunakan secara meluas bagi menjanjikan keselesaan kepada pengguna khususnya bagi peminat pakaian jalanan.

Warna utama


Ragam pengunjung ketika membeli-belah di COCO Concept Store baru-baru ini.


Sebut sahaja fesyen Jepun, pasti terbayang mengenai keberanian masyarakat tersebut menggayakan baju, seluar, skirt termasuk aksesori ranggi dengan kombinasi tona warna yang garang.

Begitupun, bagi menyesuaikan dengan cita rasa masyarakat tempatan, permainan tona warna yang garang dan berani seperti warna merah terang sebagai warna utama tidak diserlahkan seperti di Jepun sebaliknya ia ditampilkan secara minimalis.

Ini kerana menurut Sabrina, elemen tersebut ditampilkan secara sederhana kerana cita rasa masyarakat tempatan yang suka bermain warna secara selamat namun ia masih tidak dilupakan dalam setiap koleksinya.

Selain bermain dengan warna, Sabrina memberitahu, kekuatan koleksi COCO Concept Store adalah terletak pada setiap perincian pakaian yang ditonjolkan.

Biarpun secara kasarnya ia tampak seperti pakaian harian biasa, elemen kreativiti Jepun ditampilkan pada perincian seperti cara jahitan, butang, corak serta grafik ilustrasi.

“Kebanyakan pakaian yang diinspirasikan dari Jepun mengutamakan setiap perincian pada pakaian termasuk pemilihan fabrik, jenis material serta kualiti yang dikawal rapi.

“Ia sekali gus mampu menonjolkan nilai disiplin negara Jepun dalam setiap produk khususnya dalam industri tekstil,” tambahnya.

Lebih menarik lagi, setiap rekaan pakaian COCO Concept Store menampilkan hiasan ilustrasi grafik yang menjadi kebanggaan industri fesyen Jepun.

Corak minimalis


Nicholas merasmikan gedung pakaian pertama COCO Concept Store di pusat beli-belah AEON Tebrau City, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.


Ilustrasi grafik pada pakaian koleksi tersebut dihasilkan oleh pereka tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni dan mencurahkan kreativiti mereka menerusi penghasilan corak-corak minimalis.

Menurut peminat pakaian jalanan, Sarah Zulaika Idris, 27, corak minimalis yang ditampilkan pada koleksi COCO Concept Store mampu menyerlahkan lagi keanggunan si pemakai.

Menurutnya, biarpun sekadar menggayakan fesyen jalanan kontemporari, daya tarikan individu yang menggayakan pakaian dengan corak minimalis mampu diserlahkan.

“Penggunaan corak-corak minimalis seperti ilustrasi grafik adalah sinonim dengan pakaian yang diinspirasikan dari Jepun.

“Ini kerana ia merupakan sebahagian daripada budaya mereka yang menekankan elemen kreatif dan elemen tersebut ditampilkan secara meluas sehingga ke dalam industri tekstil.

“Ia secara tidak langsung mampu mempromosi budaya rakyat Jepun yang tinggi nilai kesenian kepada mata dunia menerusi coretan ilustrasi pada fabrik,” jelasnya.

Sarah Zulaika berharap pakaian jalanan Jepun seperti yang diperkenalkan oleh COCO Concept Store dapat diperluaskan lagi menerusi pembukaan cawangan-cawangan baharu yang sedang dirancang oleh pihak pengurusan COCO Concept Store.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 16