GENK

Memahami fenomena tular di media sosial

Memahami fenomena tular di media sosial


Edry bergambar kenangan bersama peserta program sebaik selesai slotnya yang bertajuk Muse Music, Speaks and Entertain.


PADA era kemajuan teknologi secara online, media sosial semakin menjadi pilihan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai perkhidmatan komunikasi serta multimedia di Malaysia.

Perubahan corak komunikasi dan gaya hidup ini secara tidak langsung menyediakan medan untuk rakyat menyuarakan pendapat atau kritikan melalui media sosial.

Seorang pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Ahmad Azhary Azhar, 20, memberitahu, generasi muda sepertinya merupakan pengguna media sosial tertinggi kerana medium komunikasi itu memudahkannya untuk mendapatkan maklumat dan berhubung dengan rakan tanpa batasan.

“Sebagai generasi yang berpandukan media sosial untuk mendapatkan maklumat secara pantas, saya sedar kami perlu mengetahui cara mengendalikan maklumat yang diperoleh itu secara bijaksana,” ujarnya.

Justeru, FKPM Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dengan kerjasama Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi) dan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (Pimpin) terpanggil untuk menganjurkan program kesedaran Voice is Raised Anonymously 2017 (ViRAL17) bagi memahami fenomena tular di media sosial yang semakin meluas di Malaysia.

Program ViRAL17 kali kedua itu diadakan selama dua hari bagi memberi fokus kepada Dunia Tanpa Rahsia yang bertujuan untuk meneliti isu-isu yang dihadapi oleh pengguna media sosial selain dapat memberi pemahaman terhadap fenomena tular di Malaysia.

Menurut Exco Pembangunan Insan, Kerjaya dan Kaunseling Majlis Perwakilan Pelajar, Nur Halimahtun Izzati Samsudin, program itu diharap dapat meningkatkan kesedaran peserta mengenai isu-isu berkaitan media sosial.

Perbincangan


Majlis perasmian ViRAL17 telah disempurnakan oleh Ibrahim Shah (tengah).


“ViRAL17 mengetengahkan impak media sosial dalam memperkasakan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan perkara itu yang cuba kami sampaikan kepada semua peserta program,” ujarnya di Dewan Kuliah FKPM pada hari pertama ViRAL17 pada 14 Februari lalu.

Melalui program ViRAL17, ia dapat membantu mewujudkan platform bagi perbincangan dan perkongsian idea tentang isu-isu berkaitan fenomena tular di media sosial dalam negara, sekali gus membuka minda masyarakat, khususnya golongan belia yang merupakan kumpulan demografik terbesar pengguna media sosial di Malaysia.

Dalam pada itu, Penasihat ViRAL17, Siti Najah Raihan Sakrani memberitahu, dunia media sosial telah menguasai sebahagian besar cara orang muda memproses maklumat.

“ViRAL17 merupakan wadah mempertemukan mahasiswa, pemimpin dan pemain industri bagi mencari penjelasan kepada isu-isu di media sosial secara lebih nyata,” jelasnya.

Program ViRAL17 telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah.

Dalam ucapannya, beliau berkata, isu penggunaan internet khususnya media sosial perlu lebih teliti, telus dan sahih dengan menekankan komponen penting berkaitan kesalinghubungan serta demokrasi maklumat.

Maklumat


Ikon vlog terkenal, Mat Luthfi merupakan antara penceramah ViRAL17 bagi slot Now B Trending.


Beliau menyifatkan demokrasi seperti ini menepati pandangan aliran positivisme yang melihat media sosial sebagai medium menyalurkan maklumat berasaskan fakta yang benar dan diatur oleh kaedah-kaedah secara universal.

“Media sosial seharusnya bebas dan neutral serta menjadi wadah masyarakat menyatakan pendapat mereka. Namun, ia perlulah bersesuaian dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Maknanya, media sosial seharusnya menjadi ejen demokrasi atau pengukuhan sosial yang mentafsir dan mendefinisikan realiti,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada majlis perasmian Wacana Media Sosial ViRAL17 : Dunia Tanpa Rahsia anjuran FKPM UiTM Melaka baru-baru ini.

ViRAL17 turut menampilkan pengamal media yang mempunyai kepakaran dan pengalaman bagi memberi penerangan mengenai media sosial yang kompleks dan kesalingbergantungan terutama mengenai kandungannya yang begitu pantas disebarkan dalam masa beberapa saat.

Antara penceramah yang mengambil bahagian dalam program ViRAL17 termasuklah personaliti televisyen, Izwan Azir Salleh; komposer Edry Abdul Halim; usahawan muda, Ameerul Afiq Abdul Hadi atau lebih dikenali sebagai King Afiqq; penerbit video bebas Sterk Production, ikon vlog Mat Luthfi; personaliti program realiti televisyen berunsur dakwah, Dai’ Syed dan peserta Lawak Solo, Fikry Ibrahim.

Sementara itu, penasihat bersama program, Shafezah Abdul Wahab menjelaskan bahawa pihaknya percaya wacana akademik yang menampilkan penglibatan pengamal media yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dapat memberi pemahaman berkesan terhadap peserta yang hadir.

ViRAL17 dihadiri lebih 1,000 orang pengunjung yang terdiri daripada pelajar UiTM Melaka. Mereka turut mengambil bahagian dalam pelbagai acara menarik sepanjang dua hari penganjurannya.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47