GENK

Jenama terkenal, harga murah

Jenama terkenal, harga murah

Seorang pengunjung mencuba kasut terpakai yang dijual.


SELEPAS membelek beberapa pasung kasut yang dipamerkan, pemuda berkulit sawo matang itu mencuba kasut yang telah dipilihnya.

Raut wajahnya kelihatan sedikit keliru sama ada mahu mengambil kasut yang telah dicubanya itu atau sebaliknya.

“Terlalu banyak pilihan kasut yang dipamerkan di sini. Saya keliru hendak memilih yang mana satu.

“Walaupun kasut yang dipamerkan di sini hanyalah kasut terpakai, kualitinya masih baik,” jelas Muhammad Asraf Abdul Aziz, 24, ketika ditemui di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang, Selangor.

Satu jualan besar-besaran kasut terpakai anjuran Global Rare Shoes telah diadakan di dewan itu baru-baru ini.

Ribuan pasang kasut terpakai atau bundle pelbagai jenama dipamerkan pada jualan tersebut.

Antara kasut yang dijual ialah jenama Red Wing, Dr. Martens, Adidas, Nike dan Puma.

Bagi Muhammad Asraf, minatnya untuk mencari dan menyimpan koleksi kasut-kasut bundle bermula sejak tahun 2010.

“Pak cik saya ada membuka sebuah kedai kasut bundle. Sejak itu, saya mula berminat mencari dan menyimpannya.

“Sehingga kini, terdapat lebih 50 pasang koleksi kasut bundle dalam simpanan saya,” katanya.

Tambahnya, penjualan kasut bundle memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan kasut berjenama pada harga yang murah.

Muhammad Asraf berkata, sepertimana yang diketahui, kebanyakan kasut bundle ini berjenama dan harganya agak mahal jika membeli yang baharu.

“Ada yang sangat obses kepada sesuatu jenama dan jika hendak beli baharu, mungkin harganya berlipat kali ganda tetapi dengan acara seperti ini, kami dapat pada harga yang lebih rendah.

“Walaupun ia hanyalah kasut terpakai, kebanyakan kasut yang dipemerkan ini masih dalam keadaan baik dan boleh dipakai. Namun, sebagai pengguna kita harus bijak memilih untuk mendapatkan yang terbaik.

Pada kebiasaannya, orang akan memilih untuk memiliki kasut baharu untuk dipakai dengan selesa bagi tujuan tertentu seperti untuk bekerja, bersukan atau beriadah.

Kasut vintaj


Harga kasut yang ditawarkan bergantung pada kualiti dan jenama.


Cuma sejak kebelakangan ini, kasut terpakai daripada Eropah menjadi popular dalam kalangan penduduk di negara ini, terutamanya golongan muda yang gemar berfesyen, terutamanya generasi muda.

Generasi muda yang obses dengan kasut terpakai ini kini tidak segan untuk menggayakannya walaupun ada antaranya kelihatan sedikit lusuh.

Dalam pada itu, Raja Mohd. Ihsan Raja Mohd. Wafa, 27, antara generasi muda yang gemar dengan kasut bundle.

Baginya, melalui jualan besar-besaran seperti itu, dia berpeluang mencari koleksi kasut vintaj yang sukar untuk didapati di pasaran pada masa kini.

“Sukar untuk mencari koleksi kasut vintaj pada masa kini kerana ia sudah tidak dikeluarkan lagi. Namun, melalui acara seperti ini, saya berpeluang untuk mencarinya.

“Saya sendiri rambang mata melihat pelbagai koleksi kasut daripada pelbagai jenama yang dijual pada pameran ini,” katanya.

Tambahnya, jika ada kelapangan, dia gemar mengunjungi kedai-kedai bundle yang lain untuk mencari koleksi kasut terpakai untuk disimpan dan dipakai.

Sementara itu, pemilik Global Rare Shoes, Muhamad Fahimie Zainul, 36, berkata, mungkin ada yang menganggap kasut terpakai adalah kasut kelas rendah tetapi ia sebenarnya tidak begitu kerana kasut berkenaan mempunyai beberapa gred tertentu.

“Kasut yang masih baik dan elok akan digredkan kepada A dan B, manakala bagi gred C kasut itu mungkin dalam keadaan lusuh tetapi masih boleh dipakai.

“Bagi memberi kepuasan kepada pelanggan untuk memilih dan membeli mengikut cita rasa mereka kami akan membawa kasut yang masih baik kualitinya,” katanya.

Tambahnya, harga yang ditawarkan untuk kasut-kasut terpakai itu adalah serendah RM30 sepasang sehingga ribuan ringgit bergantung pada jenama dan kualiti.

Jenama terkenal


SELAIN kasut, pakaian bundle juga turut menjadi pilihan generasi muda. – Gambar hiasan


Muhamad Fahimie menjelaskan, dia gembira apabila dapat membantu orang ramai untuk mendapatkan kasut-kasut berjenama pada harga yang rendah.

“Sepertimana yang kita ketahui, kasut berjenama seperti Red Wing dan Dr. Martens memang mahal jika dibeli yang baharu. Kami juga membawa kasut-kasut terpakai jenama terkenal untuk pilihan pelanggan.

“Saya rasa gembira dan berpuas hati apabila dapat membantu pelanggan mendapatkan kasut idaman mereka pada harga yang lebih rendah,” katanya.

Mengimbau kembali saat memulakan perniagaan menjual kasut bundle, Fahimie berkata, dia terlibat dalam perniagaan itu secara tidak sengaja pada tahun 2012.

Pada awalnya, dia hanya membantu pengusaha lain menjual kasut-kasut terpakai sebelum mengusahakannya sendiri.

“Setelah tahu tentang selok-belok perniagaan ini, terutamanya cara untuk mendapatkan bekalan kasut terpakai daripada pembekal, saya memberanikan diri untuk mencuba.

“Pada awalnya, saya hanya berniaga kasut-kasut terpakai ini di kaki lima jalan. Namun, tahun lalu saya mengambil keputusan untuk mencuba jualan besar-besaran seperti ini dengan menyewa dewan tertentu.

“Lokasi pertama saya mengadakan jualan besar-besaran ialah di Sungai Dua di Seberang Perai, Pulau Pinang. Maklum balas yang diterima amat baik dan kini saya akan mengelilingi Malaysia untuk mengadakan jualan seperti ini,” katanya.

Setiap kali jualan besar-besaran itu, Muhammad Fahimie akan memperuntukkan sekitar 7,000 hingga 8,000 pasang kasut terpakai.

Dia kini sedang mengadakan jualan besar-besaran selama 24 jam sehari di Dewan Cina Parit Raja di Batu Pahat, Johor yang berakhir hari ini dan seterusnya di Selayang, Selangor pada 10 hingga 12 Mac ini.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 47