RUANG

Banglo jadi rumah perkahwinan

Banglo jadi rumah perkahwinan

GAZEBO di bahagian halaman rumah boleh dijadikan lokasi acara potong kek atau makan beradab.


KEDIAMAN sendiri merupakan antara lokasi popular pilihan pengantin untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Bagaimanapun, tidak semua mahu berbuat demikian kerana memikirkan faktor kekemasan serta kebersihan rumah sebelum, semasa dan selepas majlis.

Menyedari hal tersebut, pusat sehenti perkahwinan, Wedding Station yang beroperasi di Meru, Klang menyediakan sebuah banglo satu tingkat dipanggil Wedding Space by Wedding Station sebagai tapak acara khusus untuk majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan.

Pemilik Wedding Station yang mahu dikenali sebagai Faezah berkata, kediaman itu memiliki keseluruhan lima buah bilik dan setiap satu daripadanya boleh digunakan pengantin serta keluarganya.

“Kadang-kadang apabila majlis resepsi dibuat di dewan misalnya, kebanyakan ahli keluarga harus duduk di situ sepanjang masa.

“Mereka tidak berkesempatan untuk mencuri masa berehat dalam keadaan selesa. Buat ahli keluarga yang ada anak kecil atau datang bersama orang tua, perkara ini sedikit sebanyak pasti mendatangkan rasa terganggu,” katanya.

Sebaliknya di Wedding House, Faezah berkata, ahli keluarga boleh menggunakan setiap bilik dan ruang yang ada untuk berehat dan melepaskan lelah untuk seketika.

“Semuanya dilengkapi kemudahan asas seperti katil, almari, cermin, arah kiblat dan sebagainya seperti di rumah sendiri. Jadi, pelanggan akan berasa lebih relaks dan selesa,” ujar Faezah.


KAIN net jarang berwarna putih yang digunakan sebagai tirai dan langsir di bilik pengantin menyuntik kelembutan ke dalam dekorasi.


Suasana taman

Bertandang ke dalam rumah berkeluasan kira-kira 590 meter persegi itu, kru Jurnal tertarik melihat sebuah meja konsol hasil gabungan daripada pintu lama dan kaki mesin jahit antik yang diletakkan berdepan pintu masuk utama.

Kata Faezah, dia suka menggunakan teknik Do-It-Yourself (DIY) dengan mengitar semula barangan terpakai atau terbuang menjadi item dekorasi unik.

“Kalau nak tahu, mesin jahit antik berusia puluhan tahun ini masih boleh berfungsi dengan baik. Cuma, saya ambil kakinya untuk dijadikan kaki meja, manakala mesin jahit itu diletakkan di dalam salah sebuah bilik sebagai perhiasan,” katanya yang berpengalaman selama 10 tahun dalam pengurusan majlis.

Terus meneroka rumah itu, perhatian kru Jurnal kemudian dialih kepada binaan courtyard di tengah-tengah rumah yang menjadikan premis tersebut lain daripada lain.

“Selain menggalakkan pengudaraan serta pencahayaan semula jadi, bahagian ini juga boleh didekorasi indah dengan hiasan bunga-bungaan bagi mewujudkan suasana di dalam taman.

“Majlis akad nikah boleh dibuat di tengah-tengah courtyard ini sambil disaksikan tetamu dari keempat-empat sudut rumah.

“Dua buah ruang tamu berdepan courtyard ini pula boleh diubah suai untuk meletak pelamin nikah dan sanding,” jelasnya.


PELAMIN nikah atau sanding boleh dibuat di bahagian ruang tamu rumah.


Bilik diva

Sementara itu, ruang dapur yang luas pula boleh digunakan pihak katerer untuk menyediakan makanan dan minuman buat tetamu.

Beralih ke bilik tidur utama pula, ia diubah suai indah menjadi bilik pengantin. Juntaian fabrik kain net jarang yang menghiasi katil empat tiang bersaiz queen menyuntik aura kelembutan sekali gus mencetuskan suasana romantis di bilik berkenaan.

Dihubungkan kepada bilik berkenaan ialah bilik berdandan buat pasangan pengantin untuk bersiap-siap sebelum majlis.

Bersesuaian dengan namanya, Faezah mengilhamkan konsep ala diva pada bilik berkenaan.

Jika diteliti, setiap ruang dinding dipenuhi bingkai-bingkai gambar dengan imej seperti gincu, kasut tumit tinggi dan aksesori yang secara tidak langsung menyuntik aura feminin.

Di bilik ini juga, mesin jahit antik diletakkan di sudut meja sebagai ornamen dekorasi yang memiliki nilai estetika tersendiri.

Dibina di atas tanah berkeluasan kira-kira 0.4 hektar itu, Wedding Space boleh memuatkan sehingga 400 orang tetamu pada satu-satu masa.

“Kawasan luar rumah boleh memuatkan kira-kira 12 buah khemah dengan 40 buah meja. Gazebo di halaman pula sesuai diletakkan meja makan beradab selain boleh diadakan acara potong kek.

“Pengantin juga tidak perlu bersusah payah mencari lokasi penggambaran di luar sebaliknya boleh mengabadikan gambar-gambar perkahwinan di dalam rumah sahaja,”ujar Faezah.

Process time in ms: 16