PESONA

Masalah pendengaran jejaskan kualiti hidup

Masalah pendengaran jejaskan kualiti hidup

SEORANG petugas Nessa sedang melakukan ujian pendengaran ke atas pelanggan.


MENONTON televisyen atau YouTube tanpa suara pasti melahirkan rasa kurang senang kerana kita tidak dapat memahami jalan cerita rancangan yang ditonton dengan baik.

Menonton dalam keadaan suara yang perlahan pun kita tidak puas, inikan pula menutup terus fungsi bunyi itu. Ironinya, keadaan itu adalah sama dengan persekitaran individu yang mengalami masalah deria pendengaran.

Ia bukan sahaja menjejaskan nikmat menonton televisyen tetapi turut mengganggu komunikasi seharian bersama masyarakat sekeliling.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan lima peratus daripada populasi dunia iaitu 360 juta (328 juta orang dewasa dan 32 juta kanak-kanak) menghadapi masalah pendengaran yang akhirnya menjadi pekak.

Di Malaysia pula, 30 peratus daripada 3.8 juta populasi warga emas kini mempunyai masalah tahap pendengaran.

Meskipun masalah deria pendengaran tidak seserius seperti penyakit-penyakit lain yang mengancam taraf kesihatan warga emas di negara ini, soal tahap pendengaran tidak seharusnya diambil mudah.

Sememangnya, masalah pendengaran dianggap sebagai masalah biasa bagi warga emas. Namun, mendapatkan bantuan untuk mengatasi masalah itu juga penting kerana jika tidak ditangani, ia akan menjejaskan kualiti hidup mereka.

Bagi seorang model dan pelakon, Steve Yap yang menghidap tinitus (telinga berdengung) berkata, masalah pendengaran umum ini telah menjejaskan kualiti hidup dan mengganggu pemikirannya pada peringkat awal.

Ujian telinga

Namun, dia berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan itu selepas menjalani ujian telinga dan pendengaran di sebuah syarikat penyedia penjagaan pendengaran, Nessa.

Dia mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada pihak syarikat itu.

“Saya dapati, beberapa orang rakan saya mula mengalami sedikit masalah pendengaran pada usia pertengahan walaupun pada mulanya mereka tidak sedar.

“Anda patut menjalani ujian telinga dan pendengaran yang sewajarnya setiap tahun untuk mencegah masalah serius dari segi fizikal, mental dan sosial pada masa hadapan,” kata Steve ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Steve, dia juga sukar untuk berkomunikasi bersama ibunya yang mengalami masalah pendengaran teruk sejak beberapa tahun lalu.

“Kini, saya tidak perlu risau lagi kerana ibu telah menerima sepasang alat bantuan pendengaran daripada Nessa bagi memudahkan dia mendengar suara saya. Hal ini menyebabkan hubungan kami berdua bertambah erat,” ujarnya.

Blogpost Malaysian Family Physician melaporkan bahawa pada tahun 2010, isu kesihatan dan gaya hidup utama dalam kalangan warga emas ialah masalah penglihatan (68 peratus), kesukaran mengunyah makanan (48 peratus) dan masalah pendengaran (17 peratus).

Menurut Pengarah Operasi Nessa, Paula Pinheiro, kebanyakan rakyat Malaysia kurang pengetahuan tentang masalah kehilangan pendengaran.

“Ramai yang menganggap ia sebagai satu perkara normal atau sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu merisaukan tentang perkara itu.

“Hakikatnya, sama seperti kesihatan mata, jika tanda-tanda awal masalah pendengaran tidak diberi perhatian atau diabaikan, keadaannya akan bertambah teruk dan membawa kepada kehilangan pendengaran secara kekal,” katanya.

Kehilangan pendengaran bukan sahaja merumitkan rutin harian seseorang tetapi menyebabkan masalah yang lebih serius. Pelbagai hasil kajian mendedahkan tentang hubungan antara kehilangan pendengaran dan demensia.

Kajian Johns Hopkins juga mendapati bahawa kehilangan pendengaran dikaitkan dengan kemerosotan kognitif yang lebih pantas dalam kalangan orang dewasa.

Warga emas yang mengalami masalah kehilangan pendengaran lama-kelamaan lebih berisiko untuk mengalami demensia berbanding mereka yang mengekalkan pendengaran.

Menurut Profesor Neuroscience Universiti Brandeis, Dr. Arthur Wingfield pula, kehilangan pendengaran yang tidak ditangani bukan sahaja menjejaskan keupayaan pendengar untuk ‘mendengar’ bunyi dengan tepat tetapi menjejaskan fungsi kognitif tahap lebih tinggi.

Kaji selidik


Alat bantuan pendengaran Nessa ReSound membantu pesakit menikmati semula deria pendengaran.


Tambah Paula, Nessa melancarkan kaji selidik tentang pendengaran, siri ujian pendengaran dan kelengkapan bantuan pendengaran untuk masyarakat pada awal tahun ini.

Katanya, kaji selidik pendengaran bertema Hear Better to Live Better (Dengar Lebih Baik untuk Hidup Lebih Baik) itu masih berlangsung sehingga 15 Mac ini.

“Soalan-soalan yang diajukan termasuk bagaimana pandangan rakyat Malaysia tentang kehilangan pendengaran, memahami jenis-jenis kehilangan pendengaran, sumber yang tepat untuk mendapatkan penyelesaian pendengaran dan sebagainya.

“Kesemua aspek ini penting untuk menyediakan laporan yang mendalam tentang pengetahuan, pandangan, dan salah anggapan rakyat Malaysia tentang kehilangan pendengaran.

“Hasil kaji selidik ini akan diumumkan kepada orang ramai sempena Hari Pendengaran Sedunia 2017 pada akhir Mac ini,” ujarnya.

Jelas Paula, yang juga seorang pakar audiologi, untuk memahami kesihatan pendengaran dan mencegah kekurangan pendengaran daripada menjadi lebih buruk, kita perlu menjalani ujian pendengaran pada setiap tahun.

“Ia sama seperti pemeriksaan kesihatan tubuh badan yang dilakukan pada setiap tahun.

“Ujian pendengaran tahunan boleh mengesan tanda-tanda awal kehilangan pendengaran dan mendorong seseorang untuk menimbangkan penggunaan alat bantuan pendengaran yang dapat melengahkan kehilangan pendengaran selama beberapa tahun,” katanya.

Khidmat komuniti

Dalam usaha membolehkan masyarakat umum mendapat pendengaran yang lebih jelas, Nessa bekerjasama dengan Skuad 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Persatuan Kebajikan Bekas Anggota Polis Skuad 69.

Mereka menganjurkan perhimpunan amal untuk meningkatkan kualiti kehidupan menerusi pendengaran yang lebih baik pada tahun lalu.

Acara khidmat komuniti yang disertai 3,000 individu di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur itu diadakan khusus untuk anggota Skuad 69 PDRM selain dibuka kepada orang awam, badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan pertubuhan kebajikan.

Pengunjung juga didedahkan mengenai penjagaan deria pendengaran melalui tayangan pada skrin besar, pemeriksaan telinga secara percuma, informasi berkaitan telinga dan ujian pendengaran.

Pada majlis itu, individu yang dikesan mengalami masalah pendengaran ditawarkan alat bantuan pendengaran yang merupakan hak pesara kerajaan untuk memohonnya di bawah pelan kakitangan awam.

Pesara kerajaan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga layak untuk memohon bantuan itu sama ada untuk diri sendiri, pasangan mahupun anak-anak.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam kaji selidik Nessa menerusi laman web www.nessa.com.my/mynessasurvey.html.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Nessa di talian 03-2788 4605 atau melayari laman web www.nessa.my.

Process time in ms: 62