HORIZON

Kota Bangkok penuh peninggalan sejarah

Kota Bangkok penuh peninggalan sejarah


Penulis (berdiri, kiri) bergambar kenangan bersama peserta Kursus Pembangunan Diri dan Kompetensi di hadapan Grand Palace.


DARIPADA aspek sejarah, Thailand boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang bertuah.

Thailand merupakan satu-satunya negara yang tidak pernah dijajah oleh kuasa asing sepanjang kewujudan mereka.

Ada teori mengatakan, ia adalah disebabkan kebijaksanaan pemerintah dalam melakukan rundingan bersama kuasa-kuasa asing, namun ada juga teori yang mendakwa faktor kekuatan bala tentera mereka.

Dari segi geopolitik pula, negara Gajah Putih itu dilihat sebagai sebuah negara kecil yang aman, ekonomi yang kukuh dan sistem raja berperlembagaan disayangi rakyat.

Baru-baru ini, saya dan rakan-rakan sekerja daripada Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur berpeluang ke kota Bangkok dalam rangka kursus pembangunan diri dan kompetensi.

Kesemua 20 orang daripada kami tidak pernah menjejakkan kaki ke bumi Thailand dan penganjuran kursus ini sangat mengujakan.

Perjalanan menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bangkok mengambil masa hampir dua jam tetapi ia seperti tidak dirasai dek kerana keriuhan kami.

Setibanya di Bangkok, kami terus dibawa ke tempat penginapan sebelum melawat ke tempat-tempat tarikan di sekitar ibu kota Thailand itu.

Kami dibawa melewati kediaman rasmi Raja Vajiralongkorn di Grand Palace yang terletak bersebelahan Sungai Chao Phraya.

Kawasannya luas dan terjaga rapi selain seni bina yang unik, sekali gus menggambarkan keagungan pemerintahan kerajaan yang telah menjangkau usia ratusan tahun itu.

Pelbagai ukiran dan figura unik memenuhi segenap ruang istana yang mengetengahkan elemen-elemen Hindu dan Buddha hasil peninggalan kerajaan terdahulu.

Seterusnya, kami dibawa ke salah satu tarikan utama di kota Bangkok iaitu pasar terapung.

Rupa-rupanya terdapat banyak pasar terapung yang bertaburan di segenap anak sungai yang kesemuanya mengalir ke Sungai Chao Phraya.

Rutin kehidupan


Grand PALACE merupakan tempat pemerintah Thailand bersemayam.


Kami dibawa ke pasar yang terbesar dan kerap dikunjungi pelancong iaitu Damnoen Saduak.

Di sana, pelbagai barangan dijual di atas sampan kecil termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, barangan dapur, makanan ringan dan cenderamata.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk menaiki sampan yang dibawa merentasi sepanjang pasar sambil melihat barangan dijual.

Walaupun suasananya agak sibuk, diselangi hiruk-pikuk peniaga dan pembeli yang menawar harga, ia memberikan kami gambaran rutin kehidupan sebenar warga kota Bangkok.

Kemudian, kami dibawa ke rumah agam Vimanmek, binaan kediaman terbesar di dunia menggunakan kayu jati emas sepenuhnya.

Kediaman ini asalnya adalah salah sebuah istana raja Thailand pada awal kurun ke-20.

Seni binanya unik kerana berbentuk huruf L jika dilihat dari udara dan menggabungkan elemen-elemen Victoria serta tempatan dalam pembinaannya.

Sekarang ia digunakan sebagai muzium bagi menempatkan barangan koleksi diraja daripada Raja Rama V hinggalah Raja Chulalongkorn.

Tidak lengkap kunjungan ke Thailand jika gagal menjamah hidangan tomyam yang disedia menggunakan ramuan asli dan segar.

Buat pertama kalinya, saya menikmati juadah di tempat asalnya dan pengalaman itu berjaya membuka minda serta merangsang deria rasa saya.

Kuahnya lebih pekat daripada yang biasa kita dapati di Kuala Lumpur dan penggunaan serai, daun limau purut serta perahan limau purut segar memberikan aroma serta rasa lebih menyengat.

Saya menghirup kuah yang panas secara perlahan-lahan dan keenakannya membuatkan saya hampir terlupa untuk menjamah nasi putih yang turut disediakan.

Tuan punya restoran yang dikunjungi turut mencadangkan agar kumpulan kami mencuba satu lagi juadah popular di sana iaitu pat tai.

Juadah yang kadangkala dieja sebagai pad Thai itu merupakan sejenis hidangan mi yang seakan-akan kuetiau goreng.

Cara penyediaan menggunakan kuali panas dengan ramuan telur, kicap dan sos ikan khusus selain udang, tauhu, tauge serta daun bawang sehingga menghasilkan aroma yang mirip char kuetiau di tanah air.

Namun, kelainannya terletak pada jenis mi yang digunakan. Biarpun masih dihasilkan daripada tepung beras, saiz hirisannya adalah lebih halus berbanding kuetiau biasa kita temui.

Ahli kumpulan kami yang mencuba hidangan ini tidak mengambil masa lama untuk menghabiskan sepinggan pat tai, sekali gus memberi petanda keenakannya.

Pada hujung minggu, kami dibawa pula ke Chatuchak Market, kawasan seakan-akan pasar malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, namun hanya dibuka pada hari Sabtu serta Ahad.

Membeli-belah

Walaupun saya sebenarnya tidak berapa gemar membeli-belah, saya menjadi teruja membeli barangan dan cenderamata untuk dibawa pulang setelah melihat reaksi rakan-rakan lain.

Saya menuruti langkah mereka dari gerai ke gerai untuk melihat-lihat barangan yang ditawarkan.

Di sini, hampir kesemua barangan keperluan harian boleh didapati seperti pakaian, perabot, barangan antik, sehinggalah kepada haiwan peliharaan, makanan kering dan pokok-pokok perhiasan.

Harga kesemua barangan yang dijual boleh ditawar dan saya mengambil peluang itu membeli sebuah tas tangan bersulam motif tradisional Thailand untuk diberikan kepada isteri tercinta.

Lawatan singkat itu tidak membenarkan saya menjelajah segenap pelosok Bangkok, namun cukup untuk memberi gambaran sebenar cara kehidupan rakyat di negara jiran tersebut.

Jati diri rakyat Thailand terletak pada perwatakan mereka yang lembut, namun tegas dalam menyuarakan pendapat termasuk ketika melestarikan unsur-unsur kebudayaan dan pelancongan mereka yang unik.

Rencana Utama!»

Turun padang kaji punca pencemaran

PASUKAN UTKFAS turut mendapatkan sampel air dari Sungai Semenyih, Selangor untuk dianalisis.

Varia!»

Sikap individu cabar kreativiti ahli pemasaran

SYARIKAT yang mengungguli konsep one to one marketing pasti akan menguasai kelompok pengguna yang semakin individualistik dalam sesuatu pasaran. – Gambar hiasan

Process time in ms: 32