PESONA

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.


Melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam waktu petang, berjoging pada setiap hujung minggu dan bersukan di padang bersama seluruh ahli keluarga merupakan rutin yang dipercayai dapat membantu perkembangan jasmani kanak-kanak.

Gaya hidup aktif itu turut membantu golongan kanak-kanak tampil lebih sihat disebabkan gaya hidup yang cergas.

Bagaimanapun, sukar untuk melakukan aktiviti itu secara konsisten terutamanya berdasarkan jadual harian ibu bapa yang padat.

Situasi itu meresahkan seorang ibu, Cindy Wong, 36, selepas anaknya yang sedang aktif membesar tetapi tiada tempat sesuai untuk mengembangkan bakat itu.

Tambahan pula, dia yang menetap di Seri Serdang, Selangor mengalami masalah kekurangan fasiliti sukan untuk kanak-kanak.

Cindy mengakui, dia berhadapan dengan kekangan masa untuk membawa anaknya, Joe Chan, 6, melakukan aktiviti riadah.

Namun, keresahan itu mulai pudar selepas dia menemui pusat aktiviti kecergasan dan fizikal kanak-kanak, Rockstar Gym ketika membeli-belah di The Mines, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Rockstar Gym menyediakan pelbagai kemudahan untuk kanak-kanak menjalani aktiviti fizikal yang sesuai dengan umur mereka seperti padang futsal, tenis, bola keranjang, kolam renang dan bilik tarian.

Menurut Cindy, kesemua itu disediakan dalam persekitaran yang serba kondusif selain tenaga pengajar yang terlatih dan mesra ketika berinteraksi dengan kanak-kanak.

“Sebelum ini, saya tidak berpeluang untuk membawa anak-anak bersukan kerana susah mencari tempat yang sesuai.

“Setelah menemui Rockstar Gym, saya dapat bawa anak saya untuk melakukan pelbagai jenis sukan yang lain, termasuk berenang dan tenis.

“Sebagai seorang ibu, saya rasa penubuhan pusat sehenti aktiviti kecergasan seperti Rockstar Gym ini adalah sangat baik kerana ia dapat mengasah bakat kanak-kanak dalam bidang sukan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Jurulatih bertauliah


Rockstar Gym mempunyai sebanyak 13 cawangan di seluruh Asia.


Menurut Cindy, dia sendiri tidak perlu risau tentang keselamatan anaknya kerana setiap sesi dipantau oleh jurulatih bertauliah.

Melihat keadaan anaknya yang gembira ketika menjalani aktiviti riadah, dia optimis suatu hari nanti anaknya dapat membesar secara sihat dan mengembangkan bakat itu dalam bidang kesukanan.

Pusat sehenti aktiviti kecergasan dan fizikal kanak-kanak yang mula dibuka di Indonesia pada tahun 2014 itu berkembang sehingga membuka 13 cawangan di negara-negara Asia termasuk Malaysia.

Sehingga kini, terdapat tiga cawangan Rockstar Gym di Malaysia iaitu di The Mines, Tropicana City Mall (Petaling Jaya) dan SetiaWalk (Puchong).

Ibu bapa atau penjaga hanya perlu menghantar anak mereka untuk mengikuti kelas seperti yang telah ditetapkan dalam jadual Rockstar Gym. Kanak-kanak itu bebas untuk melakukan aktiviti kecergasan tanpa membuang masa penjaga.

Setiap hari, dianggarkan hampir 500 kanak-kanak akan meluangkan masa melakukan aktiviti riadah dalam kelas berasingan secara serentak di ketiga-tiga cawangan itu.

Ketua Pegawai Operasi Rockstar Gym, Kwangho Choi berkata, objektif utama penubuhan pusat itu adalah untuk menerapkan pendidikan fizikal dalam diri kanak-kanak sejak daripada kecil.

Menurutnya, memupuk kesedaran dalam diri kanak-kanak tentang sukan akan menjadikan generasi itu lebih menitikberatkan kecergasan fizikal, sekali gus melahirkan generasi yang sihat.

Tiada limitasi


Kolam renang ini merupakan tarikan utama kanak-kanak.


Aktiviti yang disediakan di Rockstar Gym adalah sesuai untuk kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun.

“Kami menyediakan beberapa acara popular seperti bola sepak, futsal, bola keranjang dan renang di bawah satu bumbung supaya ibu bapa tidak perlu berbelanja besar semata-mata mahu memastikan anak mereka tampil cergas.

“Lebih menarik lagi, tiada limitasi bagi kanak-kanak itu untuk hadir di mana-mana kelas selepas mendaftar di Rockstar Gym.

“Ini membolehkan kanak-kanak itu memaksimumkan peluang sehabis baik dan memantapkan kemahiran sukan yang ada dalam diri mereka,” ujarnya.

Malah, terdapat sesi percubaan sebanyak lima hari bagi setiap kanak-kanak yang mahu mencuba pengalaman bersukan di Rockstar Gym.

Ia merupakan satu suntikan untuk menarik lebih ramai lagi kanak-kanak melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan fizikal.

Bagi Choi, elemen promosi itu tidak dianggap sebagai satu kerugian kerana Rockstar Gym mahu setiap kanak-kanak merasai sendiri pengalaman bersukan dengan kemudahan lengkap yang pastinya menjadi satu pelaburan berbaloi.

Sehingga kini, dianggarkan lebih 2,000 kanak-kanak yang telah mendaftarkan diri di Rockstar Gym.

Pengalaman menjalani aktiviti riadah di Rockstar Gym dikongsikan sendiri oleh Mia Kalea Zizikova, 6, apabila mengakui, menghadiri kelas yang dianjurkan di sana adalah sangat menyeronokkan.

Ini kerana, dia dapat belajar kemahiran dalam acara sukan tertentu dengan lebih mendalam dan bersosial bersama rakan-rakan sebaya secara sihat.

“Setiap minggu saya akan meluangkan masa ke sini (Rockstar Gym) sebanyak empat kali.

“Jurulatih di sini akan mengajar setiap kemahiran yang diperlukan untuk bersukan dengan lebih cermat.

“Saya dapat belajar yoga, menari dan gimnastik sambil dipantau oleh jurulatih.

“Saya sangat gembira kerana dapat belajar mengenai sukan di sini,” ujarnya yang mahu menjadi seorang atlet gimnastik suatu hari nanti.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 46