HORIZON

Menjejak peradaban Islam di Yunnan

Menjejak peradaban Islam di Yunnan


Masjid Jaami’ Shadian di Yunnan.


TANGGAL 28 April lalu merupakan saat yang paling mengujakan dalam hidup saya.

Ini kerana buat pertama kalinya saya dapat mengembara ke luar negara bersama ahli keluarga ke destinasi yang tidak pernah terbayang di minda iaitu Kunming, China.

Ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kunming pada pukul 5 petang disambut dengan udara sejuk ibarat sepoi-sepoi bahasa.

Tanpa membuang masa, kami menaiki van yang ditempah khas ke Shadian yang terletak di dalam wilayah Yunnan. Perjalanan itu mengambil masa 4 jam 30 minit.

Sepanjang perjalanan, dapat saya simpulkan bahawa negara yang mempunyai populasi kedua paling ramai di dunia itu sangat bersih kerana sukar sekali melihat sampah sarap di jalan-jalan raya.

Timbul persoalan di fikiran, bagaimana negara yang mempunyai populasi penduduk mencecah 1.381 bilion orang mampu menjaga kebersihan berbanding negara kita yang berkepadatan 31 juta?

Jawapan yang mudah ialah rakyat negara China telah diterapkan dengan semangat cintakan kebersihan dan sebenarnya, sikap itulah yang perlu ada dalam diri kita.

Sebaik tiba di Shadian, hari sudah semakin gelap dan membataskan pemandangan kami untuk menikmati keindahan kawasan berkenaan.

Sekolah pondok


Bergambar kenangan di hadapan sebuah pintu gerbang bercirikan seni bina China di Kunming.


Keesokannya, kami bangun lebih awal dan azan subuh sayup kedengaran dari Masjid Jaami’ Shadian. Masjid ini dibina dengan bantuan kerajaan China menerusi peruntukan sebanyak 4 juta Yuen (RM2.6 juta) dan selebihnya merupakan sumbangan daripada masyarakat setempat.

Majoriti penduduk Shadian beragama Islam. Justeru, tidak hairanlah apabila di situ juga terdapat sebuah sekolah pondok yang menyediakan kelas bahasa Arab yang menggunakan bahasa Cina sebagai pengantar.

Sebaik jam di tangan menunjukkan pukul 8 pagi waktu tempatan, kami keluar dari hotel untuk mencari sarapan. Disebabkan majoriti penduduknya Muslim, ia tidak menyukarkan kami untuk mencari kedai-kedai yang menyediakan makanan halal.

Terdapat beberapa kedai makan yang meletakkan logo halal di hadapan kedai. Disebabkan premis berkenaan juga menyediakan arak, maka kami mengambil langkah berwaspada dengan tidak mengunjungi kedai tersebut.

Kami memilih untuk menjamu selera di sebuah kedai yang memilih hidangan mi berkuah untuk dinikmati. Mi di sana agak tebal berbanding di Malaysia dan rasa masakannya amat sedap kerana mereka menggunakan rempah-ratus yang dihasilkan sendiri.

Ketika sedang menjamu selera, kelihatan pemilik kedai berkenaan sudah mula mengemas kerusi meja. Setelah diterangkan, rupa-rupanya kedai itu ingin ditutup walaupun jam baru mencecah pukul 8.30 pagi.

Baru kami tahu bahawa budaya masyarakat di sini mereka akan membuka kedai selepas subuh dan menutupnya sebelum pukul 9 pagi.

Di Shadian, kami juga sempat melawat sekolah pondok, Kompleks Sukan Shadian, empangan dan rumah saudara mara di sana.

Terdapat juga sebuah tugu yang dibina serta nama-nama para syuhada yang diukir di atasnya bagi memperingati jasa mereka yang berjuang habis-habisan mempertahankan tanah mereka daripada komunis.

Satu perkara yang mengagumkan saya ialah masyarakat tempatan amat ramah kepada tetamu. Antara budaya yang kerap diamalkan ialah mereka akan menyediakan pelbagai juadah makanan kepada tetamu.

Apabila makan bersama, mereka akan menyuruh kita menambah makan berkali-kali walaupun ketika itu perut sudah kenyang dan adakalanya, mereka sendiri akan meletakkan lauk-pauk ke dalam pinggan kami.

Selepas itu, saya dan keluarga menyambung perjalanan ke bandar Kunming. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan hutan batu di atas bukit-bukit yang sangat indah.

Di sana, kami menginap semalaman di hotel dan sempat meninjau pasar awam yang sesak dengan pelanggan yang tidak putus-putus hadir.

Ucapan salam


Penulis sempat bergambar kenangan di bandar lama Dali.


Kunming merupakan sebuah bandar yang agak besar dan mempunyai pelbagai pusat beli-belah selain beberapa bangunan pencakar langit dan lokasi menarik untuk dilawati.

Namun, disebabkan waktu yang singkat, kami hanya sempat meluangkan masa sehari sahaja di sana sebelum terus menuju ke wilayah Dali.

Di Dali, kehadiran kami disambut meriah oleh masyarakat Muslim di sana. Malah, ke mana sahaja kami pergi, ucapan Assalamualaikum pasti meniti di bibir mereka tidak kira yang tua atau muda.

Kami sempat melawat Universiti Dali selain sebuah masjid yang sudah berusia 100 tahun lebih. Apa yang mengagumkan, di hadapan masjid ini, terdapat sebuah pokok yang amat besar, mungkin sama tua dengan umur masjid tersebut.

Sebenarnya, pengembaraan di China telah membuka minda saya kerana terdapat banyak sejarah mengenai Islam yang dapat diungkapkan.

Antaranya, Kota Purba sepanjang dua kilometer yang merupakan tempat perlindungan pemerintah ketika zaman Dinasti Ming daripada tentera Mancuria (Korea). Selain itu, Saad Bin Labit yang merupakan seorang sahabat Nabi Muhammmad SAW juga disemadikan di China.

Saya teringat kepada satu pengalaman yang melucukan. Sewaktu saya ingin mengambil gambar ibu dan nenek di hadapan kota tersebut, sekumpulan pelancong China telah melintas di hadapan saya.

Mata mereka tertumpu ke arah saya kerana memakai baju kurung dan bertudung. Daripada sepasang suami isteri sahaja, saya kemudiannya dikerumuni sekumpulan warga China yang berbual-bual sesama mereka menggunakan bahasa ibunda mereka.

Pada telahan saya, mungkin mereka ingin tahu saya berasal dari mana. Bagi mengelak daripada terus dikerumuni, saya hanya menyebut perkataan Malaysia berulang kali dan mereka menganggukkan kepala sebagai tanda memahaminya.

Sepanjang seminggu berada di sana, minat saya terhadap bahasa Mendarin mula bercambah sedikit demi sedikit. Saya akan menyimpan kemas memori indah ini di lubuk hati dan bersedia untuk menjelajah negara lain pula untuk mengutip pengalaman baharu berkelana di negara orang suatu hari nanti.

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47