HORIZON

Skuter MAD mudah dikendalikan

Skuter MAD mudah dikendalikan

SKUTER MAD banyak digunakan di negara-negara Eropah.


GELORA hati pemuda berusia 29 tahun itu memuncak saat pertama kali mencuba skuter elektrik Mobility Adventure Design (MAD) di depan Hotel Thistle, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Secara perlahan-lahan, Syed Alwi Syed Ismail berjalan mencapai kenderaan dua roda itu sebelum melabuhkan punggungnya di atas sadel.

Kedua-dua tangannya terus memegang erat hendal MAD berjenama Velocifero itu sambil membelek-belek mencari suis untuk menghidupkan enjinnya.

“Semua diminta on kunci yang ada pada hendal terlebih dulu. Kemudian pulas pemegang hendal sebelah kanan secara perlahan-lahan,” terang seorang tenaga pengajar di situ.

Ia diikuti satu persatu oleh remaja yang berasal dari Puchong, Selangor itu sebelum kenderaan tersebut berjaya digerakkan ke hadapan.

“Mula-mula menaiki skuter ini, saya sangat teruja dan mencubanya dalam keadaan berhati-hati. Biasalah kali pertama cuba, mesti kita akan berhati-hati sebelum dapat membiasakan diri.

“Saya tidak mengambil masa lama untuk memahirkan diri mengendalikan skuter ini kerana ia mempunyai banyak persamaan dengan basikal,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Itulah sebahagian daripada ragam pengunjung yang mencuba perkhidmatan menyewa skuter MAD di tiga buah tempat tarikan di Port Dickson iaitu Hotel Thistle, Eagle Ranch Resort dan Ladang Pertunjukan Burung Unta PD.

Mula diperkenalkan sejak Disember tahun lalu oleh Maison Moment Sdn. Bhd. (Maison Moment), perkhidmatan itu membolehkan penyewa bersiar-siar di kawasan sekitar menggunakan skuter berkenaan.

Menurut Syed Alwi yang juga seorang penulis blog, pengalaman bersiar-siar dengan menggunakan skuter MAD sangat unik dan menyeronokkan.

Katanya, perkhidmatan sewaan skuter itu memberi peluang kepadanya menjelajah kawasan sekitar dengan lebih mudah tanpa perlu melelahkan badan dengan berjalan kaki.

“Perkhidmatan ini sangat baik kerana ia memudahkan pengunjung meronda kawasan sekitar sambil menghirup udara segar.

“Lagi pula, skuter MAD ini amat sesuai untuk bersiar-siar kerana ia senyap dan mesra alam sekitar,” katanya yang berkunjung Hotel Thistle bersama dua lagi rakannya.

Skuter MAD mula memasuki negara ini sejak dua tahun lalu hasil kerjasama antara syarikat pengedar tempatan, Cervello Tres dengan Velocifero yang berpangkalan di Itali.

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan kerana skuter elektrik itu tahan lasak dan baterinya mampu bertahan sehingga empat jam ataupun bergerak sejauh 30 kilometer (km).

Luar biasa


Perkhidmatan menyewa skuter MAD dapat memudahkan orang ramai bersiar-siar di kawasan sekitar.


Eksekutif Operasi Teknikal Maison Moment, Muhd. Aimal Safuan Abd. Razak berkata, sejak diperkenalkan, perkhidmatan menyewa skuter MAD menerima sambutan yang luar biasa daripada orang ramai.

Katanya, rata-rata pengguna yang mencuba perkhidmatan sewaan tersebut tertarik dengan reka bentuk dan kemampuan skuter MAD.

“Kebanyakan yang menyewa perkhidmatan ini terdiri daripada mereka yang pertama kali mencuba skuter MAD.

“Mereka tertarik untuk mencubanya kerana tahu ia amat sesuai untuk aktiviti riadah. Tambahan pula, perkhidmatan sewaan skuter MAD ini tiada di tempat lain kecuali di Port Dickson saja,” jelasnya.

Menurut Muhd. Aimal Safuan, ketiga-tiga tempat itu menawarkan laluan trek yang berbeza-beza kesukaran kepada para penunggang.

Katanya, penunggang boleh memilih sama ada ingin menunggang skuter MAD di trek landai, berbukit, berlumpur atau menjelajah hutan sekitar.

“Kami mengesyorkan kepada mereka yang kali pertama ingin mencuba skuter MAD ini supaya berkunjung ke Hotel Thistle kerana treknya lebih landai dan berumput. Kalau jatuh, tidak sakit.

“Bagi yang sudah mahir, mereka boleh memilih laluan yang lebih mencabar dan lasak seperti di Eagle Ranch Resort dan Ladang Pertunjukan Burung Unta,” katanya sambil memaklumkan harga sewaan bermula RM20 selama 10 minit.

Skuter MAD boleh dinaiki oleh seorang sahaja dalam satu masa dan mampu bergerak pada kelajuan maksimum 15 km/jam.

Dalam pada itu, Muhd. Aimal Safuan memberitahu, pengunjung tidak perlu berasa was-was dengan keselamatan sewaktu beriadah dengan kenderaan elektrik tersebut.

Berkumpulan


SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang mencuba perkhidmatan menyewa skuter MAD di Eagle Ranch Resort.


Jelasnya, pihaknya sentiasa menitikberatkan ciri keselamatan penunggang dengan memberi tunjuk ajar cara tunggang yang betul dan selamat.

“Ramai yang ingin mencuba skuter ini, namun mereka bimbang terjatuh. Saya ingin jelaskan di sini, kami menyediakan kelengkapan keselamatan seperti topi keledar, pelindung siku dan lutut.

“Sebelum seseorang itu menyewa skuter MAD ini, kami akan memberi peluang kepada mereka mencubanya terlebih dahulu. Jika boleh bawa dan yakin baru kami beri dia sewa,” jelasnya.

Tambahnya, sepanjang tempoh sewaan, pengguna akan ditemani oleh seorang pengiring bagi membantu memberi tunjuk ajar dan selok belok laluan trek.

Salah seorang pengguna, Faizal Kamarulzaman memberitahu, perkhidmatan sewaan tersebut membolehkannya merasai pengalaman bermain skuter MAD di laluan mencabar.

Katanya, sebagai seorang penggemar sukan lasak, dia tidak mempunyai masalah untuk mengawal skuter berkenaan di laluan berbukit dan licin.

“Saya datang ke sini semata-mata untuk menunggang skuter MAD di laluan sukar di sini. Selepas mencubanya, saya rasa ia betul-betul mencabar, namun menyeronokkan,” katanya.

Tambah lelaki berusia 27 tahun itu aktiviti menunggang skuter MAD lebih sesuai dilakukan secara berkumpulan antara dua hingga tiga orang.

“Ini merupakan salah satu aktiviti yang harus dicuba oleh setiap pengunjung yang menginap di hotel dan resort sekitar Port Dickson.

“Ia bukan sahaja dapat mengisi masa terluang anda sewaktu bercuti malah dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara rakan-rakan dan ahli keluarga,” katanya.

Process time in ms: 47