INFINITI

Pusat perlindungan burung tarikan baharu pelancong di Dubai

Pusat perlindungan burung tarikan baharu pelancong di Dubai


DI SEBALIK kemegahan bangunan pencakar langit dan reka bentuknya, Dubai turut menjadi destinasi burung penghijrah.


DUBAI sememangnya terkenal dengan keajaiban seni bina, kemewahan gaya hidup serta kepelbagaian tarikan pelancongan.

Bagaimanapun, tidak ramai mengetahui di sebalik kota yang sentiasa sibuk itu mempunyai kawasan paya yang menjadi tumpuan burung migrasi.

Dikenali sebagai Ras Al Khor Wildlife Sanctuary (RAKWS), ia merupakan pusat perlindungan burung flamingo yang pertama di Asia Barat dan kini antara tarikan pelancong ke Dubai.

Setiap hari, ribuan burung tersebut diberi makan oleh kakitangan bertugas sebanyak dua kali antara pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Menunya sememangnya disediakan khusus untuk diet haiwan itu yang terdiri daripada campuran bijirin, palet dan vitamin.

Dianggarkan sebanyak 200 kilogram makanan tersebut disediakan di empat lokasi berbeza di samping makanan lain seperti cacing atau kerang-kerangan yang banyak terdapat di kawasan tersebut.

“Makanan yang banyak merupakan salah satu faktor burung migrasi ini datang. Idea memberi makanan bertujuan membolehkan haiwan ini membiak dan terus berada di sini serta menerima kehadiran manusia.

Jumlah bertambah


RUANG pemerhatian yang disediakan membolehkan pelancong melihat kepelbagaian spesies burung penghijrah dengan lebih dekat di Dubai.


“Apabila ia tenang dan tidak terasa terancam, mudah manusia untuk mendekatinya kerana mustahil dilakukannya dalam persekitaran liar,” kata seorang ahli ekologi, Kevin Hyland.

Berdasarkan pengiraan, koloni flamingo di RAKWS semakin bertambah setiap tahun selepas kali pertama pusat itu dibuka setelah Konvensyen Ramsar yang ditandatangani oleh Emiriyah Arab Bersatu pada 2007.

Dianggarkan sekitar 1,000 ekor flamingo menghuni pusat santuari berkeluasan lebih 680 hektar itu dan jumlahnya akan meningkat berkali-kali ganda pada musim panas.

Selain flamingo, terdapat lebih 200 spesies burung penghijrah lain yang turut memenuhi kawasan sekitarnya seperti grey heron, great egret, reef heron, cormorant, black-winged stilt, sandpiper dan osprey.

“Ia terbang dari mana-mana tempat di dunia tetapi yang pasti ada di antaranya yang berhijrah dari Iran dan Turki. Lazimnya, ia akan terbang dari utara ke sini pada musim panas,” kata Hyland.

Bagaimanapun, sukar untuk menjangkakan sama ada haiwan berkaki halus dan panjang serta berbulu putih kemerah-merahan itu terus kekal di Dubai atau tidak.

“Sebahagian besar haiwan ini menetap di Tasik Uromiyeh di Iran yang mempunyai keluasan 483,000 hektar dan merupakan habitat asalnya untuk mencari makanan dan membiak.

“Bagaimanapun, tahap kemasinan air di tasik tersebut semakin meningkat dan paras air juga semakin berkurangan sehingga turut menjejaskan proses pembiakannya. Populasi burung ini semakin berkurangan setiap tahun,” jelas Hyland lagi.

Selain Iran, kawanan burung tersebut juga dipercayai berhijrah dari Turki dan Abu Dhabi. Di Dubai, selain di RAKWS, populasi haiwan itu juga boleh dilihat di sekitar Ras Al Khaimah dan Umm Al Quwai yang terletak di kawasan pantai, timur Dubai.

“Haiwan ini sangat oportunis, ia sangat suka musim hujan dan banjir,” kata Dr. Reza Khan, pakar dari Jabatan Hortikultur, Hidupan Liar dan Pengurusan Zoo Dubai.

“Sebelum ini, selepas hujan lebat beratus-ratus burung ini akan terbang mencari makanan di sekitar Kelab Golf Emeriyah. Kini, RAKWS merupakan rumah mereka,” katanya.

Biarpun flamingo sering dilihat mencari makanan di RAKWS namun belum ada di antaranya yang membiak dan membina sarang di kawasan itu.

Antara puncanya ialah gangguan lalu lintas, laluan pesawat dan kehadiran limpahan lampu dari bangunan-bangunan berhampiran.

Tarikan utama


MAKANAN yang berupa campuran bijirin, palet dan vitamin menjadi diet utama flamingo di RAKWS.


Bagaimanapun, beberapa spesies burung penghijrah lain seperti blackwing stilt, Kentish plover dan red mottled lapwing masih mampu membiak dengan baik di situ biarpun wujud gangguan sama.

Kesemua burung penghijrah termasuk flamingo kini mendapat perlindungan di pusat tersebut yang diselia oleh pihak berkuasa Dubai.

Seorang peminat burung, Tommy Pedersen berkata, kewujudan RAKWS di dalam bandar memberi peluang kepada pelancong untuk melihat pelbagai spesies burung dengan lebih dekat.

Pengendali portal, uaebirding.com itu memberitahu, dia berjaya merekodkan kira-kira 182 spesies burung penghijrah di kawasan itu tidak termasuk flamingo yang merupakan tarikan utama pelancong.

“Apabila membaca buku pelawat yang disediakan, anda tahu sejauh mana penduduk setempat dan pelancong menghargai pusat ini,” katanya.

Rencana Utama!»

Lubuk barangan terpakai berkualiti dari Singapura

PRODUK- PRODUK elektrik dan elektronik terpakai sering menjadi perhatian pelanggan di Pasar Karat Rengit.

GenK»

Minat menulis sejak kecil

Hobi menulis pada masa lapang akhirnya membawa Mikael Sahaja dan Aneff Bahrom sebagai penulis muda genre alternatif apabila idea kreatif mereka dijilidkan menjadi novel.

Varia!»

Gabungan tiga generasi artis seni

Mahzurah (kanan) bergambar bersama rakan-rakan seperjuangan yang menjayakan pameran Simula di Galeri B Artistic, Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.

Process time in ms: 32