STAILO

Teknik tampalan patch serlah sisi ceria

Teknik tampalan patch serlah sisi ceria

pilihan warna patch yang ceria akan menjadikan sesuatu pakaian itu tampil lebih trendy untuk digayakan.


IBU jari Muhammad Rafiq Mazlan, 23, kelihatan ligat menari-nari di atas skrin telefon pintar berukuran 5.5 inci yang memaparkan laman Instagram sambil mata memerhatikan patch yang terpamer.

Kepelbagaian rekaan yang ditawarkan adakalanya membuatkan Muhammad Rafiq rambang mata untuk memilih dan mengingat kembali jenis patch yang sedia ada dalam simpanannya.

“Saya gemar membeli patch untuk ditampal pada baju-T, baju panas, topi atau jaket bomber. Ia membuatkan saya tampil lebih trendy dan berani,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Menyingkap detik perkenalan dengan perincian patch, Muhammad Rafiq memberitahu, dia pernah membeli sehelai jaket bomber rona hitam kabut pada pertengahan tahun lepas.

Tidak lama kemudian, dia menemui beberapa kedai maya yang menjual patch secara berasingan.

Sejak itu, dia mula bereksperimen dengan membeli pakaian atau barangan polos dan menampal patch mengikut kreativiti sendiri.

“Saya boleh dianggap antara orang terawal yang menggunakan perincian patch. Apabila keluar berjalan-jalan, ramai yang tertarik dan bertanya di mana saya membelinya.

“Saya sangat seronok. Ia merupakan indikator bahawa deria fesyen saya boleh diterima dan tidak kelihatan janggal,” katanya dalam tawa.

Antara jenis rekaan yang digemari Muhammad Rafiq ialah motif berunsur kumpulan atau instrumen muzik kerana ia lebih mencerminkan identitinya.

“Memandangkan patch akan ditampal pada pakaian, saya lebih gemar memilih rekaan yang bercirikan peribadi sendiri dan bersifat kelelakian.

“Dalam menyusun atur atau menghias patch pada pakaian, saya lebih selesa menggunakan perincian ringkas dan tidak terlalu sarat dengan patch kerana ia akan membuatkan baju tersebut kelihatan ‘sesak’,” terang pemuda yang mula mengumpul patch sejak tahun lepas ini.

Tambah Muhammad Rafiq, dia mendapati patch bermotif bendera Malaysia antara rekaan yang paling laris dan cepat habis dijual.

Pemuda yang kini menceburi bidang perniagaan mengikut jejak langkah ayahnya ini turut memberitahu, dia sangat mementingkan kualiti patch kerana ia menentukan ketahanan selepas ditampal pada pakaian.

“Saya gemar membeli patch secara dalam talian kerana terdapat lebih banyak pilihan. Sehingga kini, saya telah mencuba beberapa kedai dalam talian dan membeli beberapa jenis patch dalam kualiti berbeza.

“Patch yang bagus ialah jenis yang agak tebal dan berwarna terang. Patch tebal lebih lasak dan tidak mudah tertanggal apabila dibasuh walaupun tidak dijahit pada hujungnya.

“Warnanya juga kekal lama dan tidak mudah luntur biarpun terkena air,” kongsinya berkenaan patch berkualiti tinggi.

Tambah anak ketiga daripada lima orang adik-beradik ini, patch yang tebal bersifat lasak, senang untuk ditampal atau dijahit kerana ia lebih berstruktur.

Kedai maya


Koleksi #ElfieFunProject menawarkan dua pilihan warna baju-T dan susunan patch berbeza pada setiap satu.


Mengikuti perkembangan trend semasa, kegemaran mengumpul patch turut dikongsi bersama seorang jurutera muda, Muhammad Hazim Shabudin, 24.

“Berada jauh di utara Semenanjung membuatkan saya tidak mempunyai akses untuk membeli patch secara terus daripada kedai. Justeru, medium terbaik untuk membeli patch ialah menerusi kedai maya terutamanya Instagram,” ujarnya.

Akui anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini, disebabkan minat menebal dan akses terhad terhadap rekaan yang digemari, adakalanya dia sanggup menempah rekaan tertentu dari luar negara terutamanya Thailand dan China.

Menyedari kekangan yang ada, dia turut merancang untuk menjual dan berkongsi rekaan edisi terhad dengan peminat patch lain yang mempunyai kecenderungan terhadap rekaan berunsur pasukan bola sepak, ketenteraan atau lencana sama sepertinya.

Dalam perkembangan berbeza, perincian patch mula kembali menjadi trend hangat pada awal tahun ini walaupun hakikatnya ia telah berada di pasaran sejak beberapa tahun lepas. Ia diinspirasikan daripada lencana badan beruniform dari negara Barat.

Terdapat beberapa kategori patch iaitu jenis tebal bersulam, sulam sekuin dan baldu.

Jenis tebal bersulam lebih tahan lama dan warnanya juga terang kerana menggunakan benang berwarna untuk sulaman.

Patch jenis ini merupakan trend terkini yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengikut fesyen rentetan penularan penggayaan jaket bomber.

Kategori sulam sekuin pula hampir sama dengan jenis pertama. Bezanya, permukaan patch dihiasi dengan sekuin berwarna-warni bagi menghasilkan kesan berkilau apabila ditampal pada pakaian.

Kualiti tinggi


Patch hanya perlu diseterika untuk melekatkannya pada pakaian.


Patch jenis baldu lebih tradisional kerana telah lama terdapat dalam pasaran, kebanyakan kedai menjual peralatan menjahit. Permukaan patch baldu rata tanpa sebarang tekstur jahitan kerana ia tidak disulam seperti jenis lain. Tekstur seakan-akan fabrik pelekat dan lencana.

Disebabkan materialnya lebih nipis, maka ia perlu dijahit. Jika tidak, ia akan cenderung untuk bergulung selepas dibasuh. Warnanya juga lebih cepat luntur dan menjadi kusam.

Tidak mahu terlepas daripada mengikuti arus trend perincian yang semakin hangat diperkatakan di peringkat global ini, jenama pakaian Elfie.clo turut mengeluarkan koleksi sendiri yang dinamakan #ElfieFunProject.

Pengasasnya, Muhammad Sufidzan Azizan, 29, atau dikenali juga sebagai Elfie Azizan, memberitahu, koleksi #ElfieFunProject mengetengahkan konsep comel dan ceri a sesuai dengan pilihan rekaan patch makanan yang berwarna-warni pada bahagian atas dada kiri baju-T.

Koleksi patch pertama Elfie.clo diperkenalkan pada awal tahun 2017 berupa baju-T polos fabrik kapas dalam pilihan warna hitam dan hijau zamrud.

Anak kelahiran Kedah yang membesar di Shah Alam, Selangor itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah pilihan warna dan mempelbagaikan jenis pakaian untuk koleksi seterusnya.

“Elfie.clo akan menambah lebih banyak pilihan warna baju-T selepas ini agar pengguna lebih bebas memilih. Malah, jika diizinkan, saya juga akan mempelbagaikan kategori termasuk mengeluarkan koleksi jaket bomber dan baju panas sendiri.

“Namun, ia tetap akan menggunakan konsep serupa iaitu warna dan motif ceria agar pemakainya berasa seronok apabila mengenakannya,” ujar anak kedua daripada empat orang adik-beradik itu.

Menariknya, Elfie.clo juga sudah mengesahkan tempah untuk mengikuti siri jelajah Mood Republik ke seluruh negara pada tahun ini.

Justeru, peminat patch berpeluang untuk mendapatkan koleksi baju-T Elfie.clo secara terus pada bazar mega yang menghimpunkan ratusan jenama fesyen popular tanah air tidak lama lagi.

Process time in ms: 32