GENK

Mahasiswa UUM selami kehidupan gelandangan

Mahasiswa UUM selami kehidupan gelandangan


Sukarelawan diberi taklimat ringkas sebelum program membantu gelandangan berlangsung.


KETIKA orang lain sedang nyenyak tidur, seramai 41 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) sanggup bersengkang mata pada tengah malam untuk turun mendekati golongan gelandangan.

Bertempat di pusat bandar Pulau Pinang, mahasiswa tersebut turun menjalankan program kesukarelawan bagi menyelami dan melihat sendiri keadaan mereka yang kurang bernasib baik.

Semangat sukarelawan yang tinggi membuatkan para peserta tidak berkira dengan masa dan tenaga yang perlu dikorbankan asalkan mereka dapat meringankan beban golongan gelandangan dengan memberi sumbangan makanan serta minuman.

Pengarah Program, Nurul Jannah Mohd. Saad, 21 berkata, objektif penganjuran program tersebut adalah untuk memperkasa mahasiswa bagi sama-sama membantu masyarakat yang kurang bernasib baik serta membangunkan kemahiran insaniah dalam diri.

Menurutnya, program anjuran Kelab Global Buddies itu memberi peluang kepada mahasiswa untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat gelandangan sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai kerja kesukarelawan.

“Kami ingin mewujudkan cara senang untuk mendekati dan memberi sumbangan kepada orang kehilangan tempat tinggal sekali gus membina sikap prihatin dan penyayang terhadap masyarakat sekeliling.

Pengalaman


SUKARELAWAN mendengar luahan perasaan daripada gelandangan.


“Perbuatan baik yang dilakukan dalam kehidupan seseorang sebenarnya akan membawa perubahan dan makna yang lebih besar dalam kehidupan pelajar. Melalui program ini, sukarelawan menimba pelbagai pengalaman,” katanya.

Program dengan kerjasama pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) itu dijalankan di sekitar Jalan Kapitan Keling menuju ke Komtar bermula pada pukul 1 pagi sehingga 2.10 pagi.

Mahasiswa yang terlibat bertindak mengagihkan makanan dan minuman kepada gelandangan di kawasan tersebut.

Nurul Jannah berkata, dana yang digunakan bagi membeli makanan dan minuman untuk diagihkan kepada gelandangan adalah hasil kutipan sesama pelajar atas dasar kasih sayang sesama insan.

“Kasihan melihat kanak-kanak kecil yang belum mengerti apa-apa mengekori kami apabila terhidu aroma nasi ayam dan bila mendapat gula-gula mereka ternyata gembira.

“Walaupun sumbangan ini kecil tetapi besar maknanya kepada mereka dan mereka berasa masih ada yang sayang kepada mereka,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peserta program, Mohd. Azanmuddin Abdullah, 21, berkata, dia tersentuh hati melihat beberapa keluarga tinggal di kaki lima, tidur dalam kesejukan beralaskan kotak di tepi tong sampah yang menjadi tumpuan tikus berlari-lari dalam keadaan kotor dan busuk.

“Saya tak sangka walaupun zaman sudah maju tetapi masih ada insan di bandar besar yang dilanda kesusahan. Keadaan mereka sungguh menyedihkan dengan kanak-kanak compang-camping dan lesu.

“Ketika kunjungan kami, tiba-tiba hari hujan dan mereka lekas bangun membawa anak serta barang untuk berpindah ke tempat lain untuk berteduh,” jelasnya yang merupakan pelajaran Sarjana Muda Perakaunan.

Tambahnya, program berkenaan memupuk kasih sayang terhadap masyarakat sekeliling dalam diri mahasiswa di samping memberi peluang kepada mahasiswa untuk berbakti kepada gelandangan.

Dalam pada itu, pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Nasyuha Afina Mohd. Nazari, 21, merasa hiba apabila menatap wajah bayi yang menangis kelaparan.

Keinsafan


Sukarelawan program bergambar kenangan selepas tamat aktiviti membantu gelandangan ini.


“Anak-anak ini tidak bersekolah, tiada rumah, keperluan asas termasuk sumber air bersih yang boleh menyebabkan penularan penyakit selain terdedah dengan kegiatan tidak sihat,” luahnya bimbang.

“Fenomena ini tidak boleh dibiarkan begitu saja dan berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan jalan dan bantuan sewajarnya supaya mereka dapat menjalani hidup seperti insan lain.

Sepanjang program itu, dia menimba banyak pengalaman baharu sekali gus menyuntik keinsafan agar mensyukuri nikmat Tuhan.

“Saya berbual dan bertanya khabar dengan mereka yang kelihatan agak malu.

“Apabila diajukan soalan kenapa tinggal di kaki lima, mereka berkata, kos sara hidup tinggi antara punca sehingga tidak mampu menampung kos perbelanjaan harian mahupun rumah untuk disewa, hanya cukup-cukup makan.

“Selepas pulang daripada program ini kami lebih bersyukur dengan apa yang ada dan sedar bahawa tidak semua orang di dunia ini yang bernasib baik untuk hidup selesa,” tambahnya.

Jelasnya lagi terdapat juga golongan gelandangan yang bekerja sebagai pengayuh beca yang menjadikan kenderaan mereka sebagai sumber mencari rezeki selain tempat tidur pada waktu malam.

Process time in ms: 31