VARIA

Stimbot Restoran Nelayan Gombak

Stimbot Restoran Nelayan Gombak

Mohd. Fairiz terlibat dalam perniagaan katering sejak tahun 2004.


PERASAAN damai menyelubungi sanubari tatkala bertandang ke Restoran Nelayan Gombak yang terletak di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.

Manakan tidak, dekorasi seni bina rumah tradisional Melayu dihiasi ukiran pucuk rebung dan kerawang awan larat melengkapkan suasana desa yang menjadi identiti premis itu.

Teraju pemilikan yang bertukar pada Jun tahun lalu, Pengarah Urusan, Mohd. Fairiz Omar berkata, hidangan stimbot dan gril menjadi signatur restoran itu. Pengunjung boleh menikmati menu itu secara bufet pada harga serendah RM25.90.

“Menariknya, pelanggan turut dihidangkan dengan menu sampingan seperti nasi goreng, mi goreng, bihun, aneka aiskrim serta pencuci mulut dengan lebih 30 juadah disediakan.

“Tiada had masa ditetapkan. Pelanggan bebas menikmati pakej yang disediakan sejak restoran dibuka pada pukul 4 petang hingga 11.30 malam,” ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat lima jenis rencah perapan disediakan antaranya, perapan masala, sate dan barbeku selain dua pilihan kuah tomyam serta sup untuk bahan celur.

Lebih istimewa, ia diiringi sembilan jenis sos yang pasti menguji tunas rasa pencinta makanan seperti sos nanas, pedas, manis, kacang, sos perang dan sos lada hitam.


Nasi beriani boleh dinikmati secara ala carte.


Tempahan awal

Bagi pelanggan yang mahukan kelainan, mereka boleh membuat pesanan menu ala carte meliputi masakan Barat, set ikan siakap, tomyam di samping set hidangan bergoreng pada harga serendah RM4.50.

“Begitupun, saya menyarankan kepada pelanggan untuk membuat tempahan meja awal terutamanya pada hujung minggu bagi kemudahan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Berkecimpung dalam perniagaan katering sejak tahun 2004, Mohd. Fairiz berkata, restoran itu turut dilengkapi dua dewan dengan kapasiti masing-masing 1,000 dan 300 tetamu.

“Kami turut menawarkan sajian beriani gam kambing atau ayam untuk pakej perkahwinan. Resipinya, saya warisi daripada bapa yang lebih dikenali sebagai Pak Mat Dewa yang sememangnya pakar membuat masakan ini di Johor.

“Selain majlis perkahwinan, kami turut menerima tempahan untuk acara keraian lain seperti kenduri kesyukuran, acara korporat, minum petang dan seminar,” kata bapa kepada tujuh cahaya mata itu.

Persekitaran kondusif dan ruang makan yang luas, Restoran Nelayan Gombak pasti sesuai dijadikan pilihan untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Biarpun agak jauh dari ibu kota, saya optimis, apa yang ditawarkan di sini dapat menarik hati pelanggan untuk bertamu di restoran kami,” tuturnya mengakhiri perbualan.

Pesona!»

Kanak-kanak teruja tanam cendawan di rumah

SETIAP kanak-kanak di tadika yang mengambil bahagian akan dibekalkan dengan sekotak kit Dr. Mushroom sebagai projek sains kelas.

Process time in ms: 63