VARIA

ZY Phyto pusat sehenti jual produk jenama sendiri

ZY Phyto pusat sehenti jual produk jenama sendiri

Pekerja kilang Zy Phyto di Puncak Alam, Selangor kelihatan tekun melakukan proses penghasilan produk kecantikan.


SETIAP hari, kita pasti terdengar keluhan masyarakat tentang keadaan ekonomi negara yang semakin membimbangkan.

Ekoran peningkatan harga minyak petrol, barangan runcit dan lain-lain perkhidmatan, sebahagian masyarakat mencari alternatif bagi memperoleh pendapatan sampingan iaitu terutamanya berniaga.

Keadaan ekonomi negara yang tidak menentu itu terkandung seribu hikmah apabila lahirnya ramai usahawan muda menerusi produk jenama sendiri dalam segmen produk kecantikan saban tahun.

Biarpun lambakan produk kecantikan dengan jenama-jenama baharu yang bersaing bersama pemain bidang kosmetik dalam negara, tidak ramai yang tahu kebanyakan daripada produk itu dikilangkan menerusi satu produksi yang sama.

Hampir 60 peratus produk kecantikan dalam negara pelbagai jenama adalah dihasilkan dari kilang barangan pengeluar peralatan asal (OEM) ZY Phyto yang terletak di Puncak Alam, Selangor.

Sejak tahun 2007, kilang yang bernaung di bawah nama Kumpulan Syarikat ZY Phyto (ZY Phyto) itu telah menghasilkan lebih 500 jenama di pasaran tempatan dengan variasi produk kecantikan pelbagai jenama.

Kosmetik

Pengarah Eksekutif ZY Phyto, Sharifah Ameelia Akma Mohd. Ramly berkata, permintaan perniagaan kosmetik oleh usahawan bumiputera dalam negara dilihat tidak pernah surut biarpun ekonomi perniagaan lain yang kian perlahan.

“Ramai usahawan tempatan yang terdiri daripada golongan belia semakin celik untuk menjadikan perniagaan kosmetik sebagai profesion baharu.

“Dengan memberi penekanan terhadap usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk berkualiti mengikut permintaan pelanggan, ZY Phyto mampu membangunkan jenama baharu yang setaraf dengan produk kecantikan antarabangsa.


Kilang Zy Phyto yang terletak di Puncak Alam, Selangor mampu menghasilkan produk kecantikan bertaraf antarabangsa.


“Malah, penyertaan usahawan daripada kaum lain turut membangunkan jenama baharu bersama kami iaitu sebanyak 10 peratus setakat ini,” kongsinya ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

ZY Phyto merupakan pusat sehenti dalam memberi khidmat rundingan lengkap kepada individu mahupun syarikat yang berminat untuk menghasilkan produk berjenama sendiri.

Syarikat itu mempunyai pusat R&D yang terdiri daripada tenaga kerja pakar terlatih dan mempunyai kelulusan diiktiraf bagi memastikan produk dihasilkan mampu memberi kesan terbaik.

Usaha penyelidikan dan pembangunan itu adalah bagi memastikan setiap produk yang dikeluarkan tidak memberi kesan negatif kepada pengguna.

Selain itu, kilang syarikat tersebut juga bertaraf Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan menerima pengiktirafan ISO 9001-2008 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

Dengan hanya bermodalkan serendah RM2,000, impian menjadi seorang usahawan kosmetik kini tidak lagi mustahil untuk dicapai.

Bahkan peluang bagi individu yang baharu berjinak-jinak dalam perniagaan kosmetik memperoleh pendapatan sama lumayan seperti jutawan kosmetik yang lain adalah tidak mustahil untuk dilakukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ZY Phyto, Zaidi Yusoff, usahawan yang memaksimumkan kemahiran mereka dengan ilmu perniagaan dan pemasaran yang tepat membolehkan mereka memperoleh jumlah pendapatan yang lumayan.

“Semua orang mampu menjadi pemilik kepada produk jenama sendiri, namun apa yang perlu diberi penekanan adalah ilmu bagi mengekalkan relevan produk itu di pasaran.

“Tanpa ilmu yang mencukupi khususnya dalam bidang pemasaran, produk yang baik sekali pun pasti sukar bersaing dengan produk daripada jenama terkemuka lain.

Pensijilan halal

“Namun usah bimbang, ZY Phyto turut memberikan rundingan dan bimbingan melibatkan ilmu berkaitan keusahawanan kepada mereka yang baharu sahaja membina jenama baharu bersama kami,” jelasnya.

Setakat ini, Zy Phyto mempunyai sebanyak dua buah kilang di Bandar Puncak Alam yang masing-masing mempunyai kapasiti berskala sederhana dan tinggi.

Kilang-kilang itu mematuhi Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Bagi mempertingkatkan lagi kapasiti pengeluaran produk, ZY Phyto merancang untuk menambah dua buah kilang lagi iaitu di Pasir Mas, Kelantan dan Kedah menjelang akhir tahun ini.

Process time in ms: 62