RENCANA UTAMA

LRTJ Indonesia beroperasi tahun 2019

LRTJ Indonesia beroperasi tahun 2019


MODEL tren Transit Aliran Ringan Jakarta.


FASA pertama perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan Jakarta (LRTJ) yang dikuasakan dengan tenaga elektrik dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua tahun lagi.

Mula dibina pada September 2015, fasa pertama LRTJ akan menghubungkan antara kawasan Dukuh Atas di pusat bandar Jakarta dengan Cibubur di Jakarta Timur.

Projek pembinaan LRTJ itu dilancarkan bagi menggantikan projek Monorel Jakarta yang dirancang pada awal tahun 2000 dan memulakan pembinaan pada tahun 2004, namun terpaksa dihentikan berikutan kekurangan dana.

Bagaimanapun, pembinaan LRTJ sebenarnya lebih bertujuan untuk mengurangkan kesesakan trafik yang berlaku ibu negara republik itu.

Menurut Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi, fasa pertama pembinaan LRTJ dijangka dapat disiapkan pada tahun 2018 bagi membolehkan ia beroperasi sepenuhnya pada tahun 2019.

Pembinaan projek pengangkutan massa termasuk pembinaan perkhidmatan tren LRTJ sepanjang 83.6 kilometer (km) yang menghubungkan Jakarta, Bogor, Tangerang dan Bekasi juga merupakan antara inisiatif kerajaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik.

Fasa pertama projek pembinaan LRTJ bakal menelan perbelanjaan sebanyak Rp11.9 trilion (RM3.9 bilion) bagi pembinaan tiga jajaran perkhidmatan itu meliputi laluan Cibubur-Cawang sepanjang 13.7km, laluan Cawang-Dukuh Atas (10.5km) dan laluan Bekasi Timur-Cawang (19.9km).

Fasa kedua projek pembinaan LRTJ pula melibatkan laluan Cububur-Bogor, Dukuh Atas-Palmerah Senayan dan Palmerah-Grogol sejauh 41.5km dengan kos pembinaan menyamai projek fasa pertama.

Mesra alam


JOKOWI (tengah) melakukan gimik pecah tanah pelancaran projek pembinaan LRTJ.


Tren LRT merupakan pengangkutan awam yang dibangunkan sebagai perkhidmatan yang mesra alam dan boleh beroperasi di atas jalan raya serta lebuh raya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau dikenali sebagai Jokowi berkata, perkhidmatan LRTJ turut dihubungkan dengan perkhidmatan pengangkutan awam lain di Jakarta antaranya bas TransJakarta, kereta api lapangan terbang dan Kereta Api laju Jakarta-Bandung.

Budi Karya pula memuji kaedah pembinaan LRTJ yang menggunakan teknologi pasang siap terkini iaitu Precast.

Teknologi Precast digunakan dalam membangunkan pilar iaitu tiang tegak sebagai penyokong dan girder yang merupakan galang-galang yang dipasang melintang untuk dijadikan landasan.

Penggunaan teknologi itu adalah lebih selamat, menjimatkan dan dapat memanfaatkan sumber dengan cekap ketika membina sesuatu struktur.

Jelas Budi Karya, penggunaan teknologi Precast menjadikan Indonesia lebih maju berikutan kaedah seumpama itu turut digunakan di beberapa negara Asia lain seperti China, Hong Kong, Singapura dan Jepun.

Susulan itu, Jokowi mengarahkan agar pembinaan infrastruktur tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.

Monorel


JAJARAN landasan LRTJ yang sedang dibina.


“Saya amat optimis bahawa projek LRTJ ini tidak akan terhenti seperti yang berlaku ketika pembinaan projek monorel yang menghadapi pelbagai halangan dan rintangan sebelum ini.

“Sebagai perbandingan, projek pembinaan LRT itu kini dilihat berjalan dengan agak lancar,” kata Jokowi selepas melancarkan majlis pecah tanah projek LRTJ Timur baru-baru ini.

Tambah Jokowi, sejak awal lagi, projek LRTJ tidak mengalami sebarang masalah dan ia berbeza dengan projek monorel yang dibelenggu dengan pelbagai isu sehingga terpaksa diberhentikan pembinaan.

“Merungkai masalah yang dihadapi ketika pembinaan projek monorel dalam masa yang singkat bukan satu perkara mudah.

“Bagaimanapun, tiang-tiang yang sebelum ini digunakan untuk pembinaan projek monorel boleh diguna pakai semula bagi projek LRT,” ujarnya.

Jokowi turut menolak untuk mengulas lanjut mengenai masalah yang dihadapi ketika pembinaan monorel dan menyerahkan hal itu kepada Gabenor Jakarta untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau dikenali sebagai Ahok menegaskan bahawa segala masalah yang berkaitan dengan pembinaan monorel berjaya ditangani.

Jokowi turut menetapkan tarikh akhir kepada Ahok bagi menyempurnakan projek LRTJ menjelang tahun 2018 kerana Jakarta akan menjadi tuan rumah Sukan Asia.

Sebanyak sembilan buah syarikat telah bekerjasama bagi membangunkan perkhidmatan LRT di kawasan bandar Jakarta.

Usahasama antara syarikat negeri juga diperlukan bagi sektor pembangunan tanah, kewangan, pembinaan dan operasi bagi membentuk nilai tambah kedua-dua syarikat dan juga masyarakat.

Syarikat PT. Ahdi Karya memperuntuk sebanyak Rp2.75 trilion (RM8.5 bilion) sebagai modal permulaan untuk projek berkenaan.

Antara lapan syarikat lain yang terlibat dengan pembinaan itu ialah PT Jasa Marga, Perum PPD, PT Rajawali Nusantara Indonesia, Perum Bulog, PT Bank BNI, PT Bank Mandiri, PT Bank BRI dan PT Bank BTN.

PT Jakarta Propertindo yang dimiliki oleh pentadbiran bandar Jakarta turut terlibat dengan pembinaan projek berkenaan dengan jumlah pelaburan sebanyak Rp23.8 trilion (RM15.2 bilion).

Rencana Utama!»

Orang-Orang Drum Theatre pilihan juri

AKSI pasukan Orang-Orang Drum Theatre berjaya memukau barisan juri sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Stailo!»

Perlahankan bisnes sempena Ramadan

Bidang fesyen mula diceburi oleh Sharifah Shawati pada awal tahun 2016.

Varia!»

Jasa Jalan Persekutuan

JALAN PERSEKUTUAN dibina pada tahun 1880 menjadi tulang belakang sebagai jalan alternatif. sistem rangkaian jalan raya di negara ini sebelum terbinanya lebuh raya.

Process time in ms: 47