PESONA

Tazkirah sebelum memasak suntik motivasi

Tazkirah sebelum memasak suntik motivasi


ROZA memegang buku bertajuk masakan Bukan Sekadar Resipi dan Aroma Antara Benua hasil tulisannya bersama hidangan yang telah siap dimasak.


MENGHAYATI bait-bait tazkirah yang disampaikan penulis buku, Bukan Sekadar Resipi, Raudzah Roslan sebelum memulakan kelas masakan Nasi Gidra Palestin di rumahnya pada pagi Sabtu lalu membangkitkan seribu satu rasa dalam diri setiap peserta.

Selain timbul perasaan insaf dan bersyukur dengan setiap apa yang dimiliki, hati juga disuburkan dengan rasa bermotivasi untuk menghidangkan sajian istimewa buat keluarga.

“Saya harap resipi yang dikongsi bersama kalian semua akan menjadi satu ilmu yang bermanfaat. Program ini bukan sekadar memasak. Ada falsafah tertentu yang perlu dihayati sebelum kita ke dapur. Hakikatnya, resipi yang sama, rempah yang sama tetapi hasil akhirnya tetap berbeza iaitu air tangan,” ungkap Raudzah atau lebih mesra disapa Roza.

Tambah beliau, dalam memasak setiap individu sebenarnya memerlukan motivasi. Justeru, apa yang penting niatkan setiap apa yang kita lakukan dalam hidup adalah semata-mata kerana Allah.

“Bayangkan sambil memasak, kita berzikir, sambil membasuh beras kita mengungkapkan ucapan tasbih, tahmid dan tahlil yang membesarkan Allah. Bukankah amalan itu semakin mendekatkan kita dengan Pencipta? Bahkan ia juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan anak-anak,” katanya.

Menurut Roza, ilmu memasak Nasi Gidra Palestin dipelajari ketika bermukim di Madinah sekitar September 2011 hingga Jun 2014.

Ini kerana ketika itu, ramai dalam kalangan rakan-rakan dan jiran di rumahnya yang terletak di kaki Jabal Uhud terdiri daripada warga Syria, Jordan dan negara-negara di Asia Barat. Daripada situ, beliau bertukar-tukar ilmu tentang makanan, budaya dan kehidupan masyarakat di sana.

Perlu dikongsi


PARA peserta turut diajar cara penyediaan bahan memasak Nasi Gidra dengan betul.


“Saya percaya setiap ilmu yang kita miliki tidak kira dalam bidang apa sekalipun, ia perlu dikongsi. Jika tidak kita akan berasa ia satu kerugian yang besar. Apa yang penting, segala ilmu tersebut kita kaitkan dengan kebesaran Allah.

“Contohnya, bila kita berada di dapur, sambil memasak kita boleh berzikir. Sekurang-kurangnya ia boleh menjadi ilmu yang bermanfaat sebagai saham buat kita di akhirat kelak,” tuturnya penuh hikmah.

Setakat ini, kelas memasak anjuran Roza sudah berlangsung sebanyak lapan sesi di rumahnya, Ar-Raudhah yang terletak di Segamat, Johor. Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama diadakan di Kondo Kemuncak, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor dengan kehadiran tujuh orang peserta.

Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui, matlamat utama kelas memasak ini diadakan adalah untuk berkongsi ilmu dengan khalayak wanita.

“Apa yang diajar, hanyalah secebis ilmu daripada pelbagai jenis makanan yang terdapat di dunia ini. Kebanyakan yang datang terdiri daripada para isteri, wanita pertengahan usia dan remaja.

“Secara peribadi, saya berpendapat memasak ini memang perlu kepada motivasi. Namun, harus diingat untuk pandai memasak, ia akan berlaku apabila kita belajar daripada pengalaman. Maknanya bukan sekali pergi kelas, kita terus pandai masak tetapi ia proses berulang-ulang yang akan membuatkan kita mahir apabila berada di dapur,” tegas Roza namun dalam nada penuh kelembutan.

Sepanjang kelas tersebut, para peserta berpeluang melihat bagaimana cara Roza menyediakan sajian daripada awal hinggalah siap untuk dihidangkan.

Ia termasuklah kaedah memotong sayur-sayuran seperti lobak, timun dan cili bagi menjadikan ia kelihatan cantik ketika dihidang di atas pinggan.

Malah, kebanyakan peserta tidak segan silu bertanyakan pelbagai soalan walaupun ironinya, resipi bagi setiap menu telah pun disediakan oleh Roza.

Salah seorang peserta, Noor Liza Ismail, 37, berkata, pengalaman yang dilalui apabila dapat belajar memasak secara bersemuka dan praktikal bersama Roza sangat berharga dan mempunyai nilai tersendiri.

Kagum


PESERTA bergambar kenangan bersama Roza selepas hidangan siap dimasak.


“Sebenarnya, saya memang meminati dan mengagumi Roza kerana sering mengikuti perkembangannya melalui buku-buku yang dihasilkan beliau. Oleh itu, aura bertemu beliau secara lebih dekat amat dinantikan walaupun sebelum ini pernah bertemu ketika menghadiri kuliah oleh suaminya, Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim.

“Apabila mendengar tazkirah sebelum sesi memasak, ia memang berbekas di hati sehingga air mata hampir keluar. Sebabnya, kita tahu daripada buku-buku beliau bahawa Roza bergantung semuanya pada Allah. Beliau mempunyai kekuatan dalaman yang sangat kuat,” tutur Noor Liza yang merupakan seorang guru dan ibu kepada empat orang anak.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nurul Ain Khalid, 25, memberitahu, kedatangannya dalam kelas memasak anjuran Roza atas permintaan ibu mertua yang sudi mendaftarkannya. Walaupun pada mulanya, Nurul Ain berasa malu kerana tidak biasa pergi ke kelas memasak, tetapi dia seronok menuntut ilmu bersama Roza.

“Ibu mertua merupakan pengikut Roza dan suaminya di laman Facebook. Dia yang cadangkan supaya saya pergi kelas ini. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati kerana dapat belajar secara lebih dekat bersama beliau.

“Sebelum ini, tengok resipi sahaja, tapi tidak tahu cara memasak yang betul. Malah, sesi tazkirah juga sangat informatif,” kata Nurul Ain yang merupakan pelajar Sarjana Jurusan Linguistik (Inggeris) di Universiti Putra Malaysia.

Rencana Utama!»

Kalam, Zahidi, Bazliah pekerja OKU berjaya

NURUL BAZLIAH (kanan) gembira apabila Kalam berjaya menamatkan sarjana dalam jurusan syariah di Universiti Malaya pada tahun 2010.

Varia!»

Cara Marisa hargai jasa Ah Ma

Marisa menunjukkan lukisan bermakna baginya iaitu Because I Love You (kiri) dan Ong’s Garden 1 (kanan).

Process time in ms: 32