PESONA

Mudah berjangkit melalui air

Mudah berjangkit melalui air

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak berusia lebih daripada tiga tahun yang dijangkiti penyakit Rotavirus selalunya tidak perlu dimasukkan wad. Hanya mereka yang berusia dua tahun ke bawah berpotensi dijangkiti dengan keadaan lebih serius malah boleh membawa maut.


SEAWAL pukul 6.30 pagi, Razaki Ahmad Sidek, 31, akan bangun menyediakan beg keperluan anaknya yang berisi baju harian dan bekalan makanan. Rutin harian itu akan dilakukannya setiap kali isterinya tiada di rumah kerana bekerja sebagai pramugari.

Selepas selesai, dia akan bersiap dan menghantar anak tunggalnya, Intan Zaria, 2, ke rumah pengasuh sebelum meneruskan perjalanan ke tempat kerja. Jarak di antara rumah pengasuh dan tempat kerjanya adalah kira-kira 20 minit.

Namun sekitar pukul 2.30 petang Jumaat lalu, dia dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pengasuh yang mengatakan Intan demam panas sehingga 39 darjah Celsius dan sudah lima kali cirit-birit.

Hati bapa mana yang tidak keruan apabila mendapat panggilan kecemasan sedemikian. Razaki lantas ke rumah pengasuh dan membawa anaknya ke klinik. Dalam hatinya tidak henti-henti berdoa supaya Intan tiada apa-apa.

“Sebelum ini, Intan memang pernah demam panas tetapi tiada pula cirit-birit. Apabila tahu dia banyak kali buang air besar, saya terus bawanya ke klinik dan doktor mendapati badan Intan kehilangan banyak air.

“Doktor terus merujuk Intan ke hospital swasta di Subang Jaya dan dia ditahan wad serta-merta,” katanya sambil memberitahu, keadaan Intan pada ketika itu amat lemah dan muntah-muntah.

Tambahnya yang bekerja sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta di Selangor, selepas menjalani beberapa pemeriksaan doktor mendapati Intan diserang penyakit Rotavirus.

Rotavirus adalah jenis virus yang menjadi punca utama kepada cirit-birit teruk terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Perkataan Rota bermaksud roda kerana bentuk virus ini bulat menyerupai roda apabila dilihat menggunakan mikroskop.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang berusia lebih daripada tiga tahun yang mendapat penyakit ini selalunya tidak perlu dimasukkan ke wad. Hanya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah berpotensi dijangkiti dengan keadaan lebih serius malah boleh membawa maut.

Cara jangkitan

Menurut Pakar Perubatan Pediatrik dan Neonatologi, Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Anushree Narayanan, Rotavirus berjangkit pada badan melalui air yang tercemar dengan najis dan ia boleh menyerang sesiapa sahaja.

“Lokasi terbuka seperti pusat rekreasi air terjun dan kolam terbuka merupakan kawasan yang berpotensi tinggi untuk dijangkiti Rotavirus. Rotavirus berlaku apabila ada kanak-kanak membuang air besar dalam air lalu najis itu mengenai kanak-kanak lain.

“Sama juga seperti di taska, jika pengasuh tidak mencuci tangan dengan betul selepas menukar lampin bayi, maka kanak-kanak lain boleh mendapat penyakit itu,” katanya sambil memberitahu cara mencuci tangan dengan betul memainkan peranan bagi mengelakkan virus berkenaan tersebar.

Lazimnya, penyakit ini menyerang kanak-kanak dibawa usia dua tahun kerana badan mereka masih lemah dan tidak mempunyai antibodi yang kuat. Manakala, jika ia menyerang orang dewasa pula, kesannya tidaklah terlalu teruk seperti kanak-kanak.

Tambahnya, virus penyakit itu dapat hidup selama beberapa jam pada permukaan kulit, alat mainan kanak-kanak, peralatan rumah dan tombol pintu. Disarankan supaya selepas memegang bahan najis, penjaga perlu membersihkan barang yang dipegang dengan menggunakan antiseptik atau pencuci kuman.

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil pula, tidak digalakkan membawa bayi ke lokasi yang berpotensi mendapat penyakit Rotavirus.

Vaksin

Hal ini yang berlaku di Alor Setar, Kedah pada awal bulan lalu. Berdasarkan laporan Kosmo!, sebanyak 11 kes jangkitan Rotavirus melibatkan kanak-kanak dan remaja seawal usia setahun hingga 19 tahun telah dikesan. Kesemua mereka didapati mengunjungi Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Lengong di Baling antara 28 hingga 30 Januari 2017.

“Bagi mengelakkan kanak-kanak terkena jangkitan penyakit ini, vaksin Rotavirus merupakan pencegahan baik. Ia boleh diambil seawal usia dua hingga lapan bulan. Ia tidak diberikan kepada bayi lapan bulan ke atas kerana banyak kajian mendapati ia kurang berkesan dan bayi akan mendapat demam.

“Selain itu, susu ibu merupakan antibodi paling mujarab bagi melawan penyakit tersebut,” tuturnya sambil memaklumkan vaksin Rotavirus diberikan secara titisan ke mulut dan bukannya melalui suntikan.

Di Malaysia, pemberian suntikan vaksin Rotavirus bukan menjadi perkara wajib yang ditetapkan Kementerian Kesihatan. Namun, di negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, Singapura dan Australia, suntikan vaksin itu sudah dimasukkan dalam program pelalian negara bagi semua bayi.

Persatuan Kesihatan Dunia (WHO) menggalakkan semua negara untuk menimbangkan kemasukan vaksin itu dalam program pelalian sebagai mencegah penyakit itu dalam kalangan kanak-kanak.

Ini kerana, menurut rekod WHO, pada tahun 2000 hingga 2003 sebanyak 10.6 juta kematian berlaku setiap tahun dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang lima tahun dan kesemuanya kerana masalah cirit-birit.

Tanda-tanda

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr. Zubaidi Ahmad berkata, cirit-birit tidak semestinya menunjukkan kesan daripada Rotavirus.

“Ia juga boleh disebabkan kerana jangkitan lain cuma kebanyakan cirit-birit adalah kerana Rotavirus. Perbezaan itu sukar diketahui kerana pesakit akan menunjukkan tanda yang sama.

“Antara tanda-tanda itu adalah bayi cirit-birit dalam tempoh berhari-hari, demam, muntah dan kehilangan air dalam badan dengan banyak sehingga membuatkan mereka lemah dan tidak bermaya,” jelasnya.

Apa yang boleh disarankan Zubaidi, selain pemberian vaksin, langkah berjaga-jaga harus diberikan. Pastikan kebersihan bayi yang dijaga, minum air yang dimasak dan selalu mencuci tangan.

Process time in ms: 47