HIBURAN

Dahlan Zainuddin hidup dalam berpantang

Dahlan Zainuddin hidup dalam berpantang


DAHLAN terharu apabila sebuah konsert, Datuk Dahlan Zainuddin Charity Fundrasing Concert akan diadakan khas untuknya pada 19 Februari ini.


Bertemu dengan penyanyi popular era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin beberapa minggu lalu, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Kisah Seorang Biduan itu sudah semakin sembuh selepas diserang penyakit angin ahmar pada 29 Jun tahun lalu.

Sudah mampu berjalan dengan sedikit lancar malah berjaya melantunkan vokal lunaknya, kesihatan Dahlan, 76, nyata menunjukkan tanda positif walaupun masih perlu menjalani rawatan susulan memandangkan usia sudah semakin lanjut.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan semakin bertambah baik. Doktor kata, orang yang pernah diserang angin ahmar kali pertama berkemungkinan untuk diserang penyakit sama buat kali kedua dan serangan kedua mungkin lebih teruk.

“Jadi, saya tidak mahu perkara itu berlaku. Saya mahu sembuh. Cukuplah sekali sahaja, saya sudah serik. Melihat rakan-rakan artis lain masih boleh menyanyi di atas pentas, ia membuatkan saya cemburu,” ujar Dahlan yang pernah berkhidmat sebagai seorang kakitangan sebuah akhbar tempatan sebelum ini.

Dahlan ditemui pada sidang akhbar sempena konsert amal untuknya iaitu Datuk Dahlan Zainuddin Charity Fundrasing Concert yang dijadualkan bakal berlangsung pada 19 Februari ini di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut tentang kesihatannya, penyanyi veteran itu tidak pernah terlepas setiap temu janji di tiga buah hospital berbeza bagi memastikan kesihatannya terjaga dan mendapat rawatan sewajarnya.

“Selain angin ahmar, saya juga ada masalah buah pinggang, jantung, paru-paru dan saraf tetapi setakat ini semuanya berada dalam keadaan terkawal.

“Saya juga memberikan tumpuan terhadap rawatan fisioterapi yang perlu dilakukannya dua kali seminggu. Banyak pantang terutama dari segi makanan yang perlu diikuti. Saya hanya boleh makan ikan dan sayur. Makanan seperti daging perlu dielakkan,” ujar beliau.

Dahlan turut mendedahkan, atas nasihat doktor, beliau tidak boleh minum air lebih daripada sukatan yang disarankan iaitu 1.2 liter sehari.

“Saya tidak boleh minum air lebih daripada 1.2 liter sehari. Kalau melebihi sukatan tersebut, saya tidak boleh bernafas dengan baik. Ia akan membahayakan diri dan saya menjadi penat untuk bernafas,” cerita penyanyi yang pernah menyertai pertandingan Bintang RTM pada tahun 1975 itu tenang.

Sabar

Dalam rancak menuturkan bicara, beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan ucapan terima kasih buat isterinya, Datin Effa Rizan, 55, yang amat banyak bersabar dengan dirinya ketika sakit.

“Orang sakit memang banyak kerenahnya. Isteri banyak membantu saya. Saya fikir, kalau siapa yang memang tiada kesabaran, tidak usah menjaga orang sakit.

“Sewaktu terlantar, saya asyik marah-marah. Isteri yang banyak menenangkan saya dan dia tidak pernah penat memaksa saya untuk makan ubat. Dia benar-benar banyak bersabar dengan kerenah saya,” ujar Dahlan.

Dahlan diserang angin ahmar pada 29 Jun lalu ketika berada di Perlis semasa menghadiri sebuah majlis buka puasa bersama anak yatim. Pada 22 Julai tahun lalu, beliau kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur apabila keadaan kesihatannya kembali merosot. Keadaan Dahlan beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital berkenaan pada Oktober lalu.

Bercakap mengenai konsert amal yang diadakan khas untuknya, Dahlan sangat terharu dan gembira kerana masih ada pihak yang mengingati dan ingin membantunya.

“Seronok dapat bertemu dengan rakan-rakan lama. Tiada apa dapat saya ucapkan selain terima kasih dan terharu apabila ada pihak masih mengingati, malah sepanjang saya sakit, rakan-rakan artis sentiasa bertanya khabar dan datang melawat.

“Usaha yang dilakukan Karyawan dan Melody United Music sangat saya hargai. Insya-Allah, pada hari persembahan itu nanti, saya pun akan menyanyi bersama,” ujarnya yang akan mendendangkan lagu popularnya seperti Kisah Soerang Biduan, Joget Kaki Lima dan Indah Bunga Mawar.

Persembahan anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dan Melody United Music itu bakal diadakan pada 19 Februari ini di Hard Rock Cafe bermula pukul 2.30 petang.

Antara artis yang bakal mengadakan persembahan adalah Jay Jay (Carefree), Fredo (Flybaits) dan Jatt (Black Dog Bone). Turut terlibat adalah artis-artis daripada Melody United Music seperti Kris Patt, Patriot Band, Wafi, Alfi Alwi dan Calvin Clarke.

Rencana Utama!»

Turun padang kaji punca pencemaran

PASUKAN UTKFAS turut mendapatkan sampel air dari Sungai Semenyih, Selangor untuk dianalisis.

Varia!»

Sikap individu cabar kreativiti ahli pemasaran

SYARIKAT yang mengungguli konsep one to one marketing pasti akan menguasai kelompok pengguna yang semakin individualistik dalam sesuatu pasaran. – Gambar hiasan

Process time in ms: 47