HIBURAN

Zul beli sendiri Ducati demi babak aksi

Zul beli sendiri Ducati demi babak aksi


CONTOH jentera Ducati model Hypermotard 821 yang digunakan Zul dalam filem J Revolusi.


MEMBERIKAN segala yang termampu untuk filem pertama lakonannya sebagai hero, aktor tegap Zul Ariffin mengharapkan usaha keras menjayakan filem aksi J Revolusi diterima peminat.

Pertama kali melihat hasil lakonannya pada pratonton filem arahan sutradara baharu, Zulkarnain Azhar itu di pawagam di Cathay Cineplex, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini, Zul nyata terkesan.

Tidak hanya menumpahkan sepenuh jiwa raga terhadap aksinya di layar perak, lelaki berusia 31 tahun itu turut mempertaruhkan motosikal kesayangan yang baru dibeli bagi menjayakan babak aksi dalam filem tersebut.

Karya kepolisan berkenaan turut meninggalkan momen paling sukar dilupakan apabila berpeluang bekerjasama dengan pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman dan menggunakan senjata sebenar sepanjang babak tempur.

Meskipun naskhah tersebut akan mula ditayangkan pada 2 Mac nanti, telah muncul khabar angin mendakwa filem terbitan Grand Brilliance dan Infinitus Productions tersebut bakal dibikin sekuel.

Berita tersebut pastinya memberikan bayangan gembira buat Zul, apabila dia sendiri disebut-sebut bakal meneruskan kesinambungan watak Jay Zulkarnain dalam

J Revolusi 2 kelak.

KOSMO!: Bagaimanakah reaksi Zul Ariffin apabila menonton lakonan sendiri dalam filem J Revolusi?

ZUL ARIFFIN: Apabila melihat hasil keseluruhan filem J Revolusi, saya berasa puas hati dan sekiranya diberi peluang melakonkan naskhah bercorak aksi pada masa hadapan, saya akan lakukan dengan bersungguh-sungguh.

Sebagai pelakon lelaki, saya sememangnya menantikan karya berbeza daripada biasa dan lari daripada zon selesa iaitu terlibat dengan karya berbentuk romantik.

Berdasarkan penceritaan J Revolusi anda dilihat banyak terlibat menjayakan babak aksi, adakah ia dilakukan sendiri atau menggunakan khidmat pelagak ngeri?

Memandangkan ini merupakan filem aksi pertama saya, perasaan bimbang memang wujud untuk melakukan sendiri babak yang merisikokan. Prinsip saya, biar jadi hero filem tetapi tidak ‘hero’ di lokasi penggambaran. Bagaimanapun, sekiranya terlibat dalam filem yang bercorak demikian pada masa akan datang, saya akan cuba lakukan sendiri adegan lagak ngeri tetapi dengan pantauan prosuksi.

Sepanjang menjayakan filem tersebut apakah pengorbanan yang anda lakukan?

Saya cuba berbincang dengan pihak penerbit untuk mempamerkan aksi berbeza daripada biasa iaitu melibatkan babak aksi dengan bermotosikal.

Sebelum ini kita kerap melihat filem Melayu memaparkan babak aksi melibatkan pemanduan kereta. Justeru saya beri idea agar menggunakan sebuah motosikal Ducati jenis Hypermotard 821. Saya beli sendiri motosikal berkenaan. Pagi pergi beli, malamnya terus dibawa masuk ke lokasi penggambaran. Saya memang ingin membeli motosikal itu sejak berusia 23 tahun lagi. Alhamdulillah sekarang baru berpeluang memilikinya.

Graf kekerapan kemunculan anda menerusi televisyen agak berkurangan sekarang berbanding dahulu. Tidakkah ada kebimbangan sekiranya situasi tersebut membuatkan peminat terlupa kehadiran anda dalam industri?

Saya melihat banyak pelakon baharu sedang membuat kemunculan menerusi drama televisyen, secara tidak langsung ia mewujudkan persaingan sihat antara pelakon lain.

Saya bersyukur kerana sudah kerap terlibat dalam filem tetapi dalam masa sama saya turut sibuk menjalani penggambaran drama rantaian.

Saya tidak akan meninggalkan dunia televisyen kerana di situ bermulanya kerjaya saya, dahulu sehingga ke hari ini.

Difahamkan akan ada sekuel kedua untuk

J Revolusi, bagaimanakah reaksi anda?

Saya ada mendengar perkara itu tetapi segalanya masih dalam perbincangan. Sekiranya ia benar-benar berlaku, saya tidak akan menolak tawaran tersebut, bagaimanapun segalanya bergantung terhadap sambutan penonton terhadap J Revolusi yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Process time in ms: 46