HIBURAN

Terma bahagia, ketenangan Lisa Surihani

Terma bahagia, ketenangan Lisa Surihani



Jika mahu dibandingkan dengan pasangan selebriti lain, mungkin agak sukar untuk peminat melihat wajah comel cahaya mata sulung milik Lisa Surihani dan Yusry dikendong ke mana-mana majlis hiburan.

Malah sejak dilahirkan pada 15 September 2015, puteri yang diberi nama Yahaira Leanne itu menjalani kehidupan normal seperti anak orang kebanyakan, cuma sesekali sahaja kelihatnya dipertontonkan di laman sosial.

Bukan mahu menjaga eksklusiviti apatah lagi mahu menyorokkan anak, Lisa atau nama sebenarnya Lisa Surihani Mohamed berkata, cara sedemikian merupakan corak hidup zaman kanak-kanak dia dan suami semasa kecil yang tidak mengenal apa itu populariti.

Masa berlalu dan sejak Yahaira mencecah usia setahun, pasangan itu menjadi sedikit terbuka mengenai kemunculan Yahaira menerusi media sosial. Peminat yang selama ini terintai-intai wajah Yahaira sudah boleh melihat si kecil itu menerusi Instagram. Lisa dan Yusry juga sudah mula memperkenalkan kehidupan sebenar mereka kepada Yahaira.

Gelagat pertama Yahaira ke dunia komersial tersaksi menerusi iklan kereta nasional, Proton versi baharu arahan Yusry yang turut menampilkan kemunculan Lisa Surihani.

“Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Yahaira akan terus diasingkan daripada dunia hiburan kerana itu adalah sesuatu yang tidak logik.

“Apa yang saya cuba lakukan ialah mahu anak menjalani kehidupan biasa. Kami tidak terikat pun untuk memastikan orang tahu bahawa dia adalah anak Lisa dan Yusry,” jelasnya usai pelancaran wajah baharu koleksi pakaian terbaharu rekaan Jovian Mandagie iaitu LS For Jovian di The Ritz Carlton Hotel, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hati Lisa

Melihat penampilan sulung Yahaira menerusi kempen busana pereka terkenal itu, tercetus persoalan adakah kalinini Lisa dan Yusry kini sudah terbuka hati untuk mempersembahkan puteri sulung mereka ke persada hiburan.

Jelas Lisa, kerjasama tersebut dilakukan atas dasar nilai persahabatan antara dirinya dengan Jovian yang sudah lama terjalin. Dalam masa terdekat, tiada sebarang perancangan lain melibatkan Yahaira selepas ini.

Kerjasama aktres Dendam Orang Mati bersama pereka fesyen terkenal tempatan, Jovian sebenarnya sudah memasuki edisi kedua selepas kejayaan besar untuk koleksi yang pertama dilancarkan pada 2013.

Wanita itu mengakui, idea Jovian yang mahukan penglibatan Yahaira adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan olehnya sebelum ini. Awalnya, dia turut risau adakah nanti Yahaira akan berasa selesa atau sama ada ia suatu langkah yang tidak mengganggu suasana pembesarannya kelak.

Atas dasar persahabatan yang terjalin sekian lama, keyakinan Lisa terhadap Jovian mengenepikan banyak prasangka sehingga hatinya terbuka untuk bersama-sama dengan Yahaira menjayakan kempen koleksi terbaharu berkenaan.

“Saya tidak mengambil masa panjang untuk bersetuju dengan cadangan Jovian kerana saya tahu dia akan memberikan yang terbaik untuk kami. Lagipun koleksi kali ini diberi nama Hati Lisa, sempena meraikan insan-insan penting dalam hidup saya, maka Yahaira harus ada di dalamnya.

“Apabila Yahaira sudah besar nanti, dia akan mempunyai satu kenangan yang tidak ternilai kerana diberi peluang mempunyai koleksi sendiri di samping ibunya,” kata Lisa lagi.

Memandangkan kali pertama menjalani sesi fotografi untuk koleksi bajunya iaitu Baby Lisa For Jovian, Lisa tidak dapat mengelak daripada merasa risau dan bimbang jika Yahaira tidak bersedia dengan situasi serba baharu itu.

Sangkaan Lisa meleset sama sekali. Pada usia sekecilnya, Yahaira ternyata menunjukkan kerjasama yang sangat cemerlang, dia langsung tidak merengek atau memberontak.

“Selepas melihat gambar-gambar yang kami jayakan untuk kempen ini, saya merasa sangat berterima kasih kepada Jovian kerana berjaya memujuk saya membenarkan Yahaira terbabit sama.

“Ini adalah kenangan terindah untuk kami anak beranak. Atas alasan itu, koleksi Hati Lisa sangat dekat di jiwa saya,” jelasnya yang turut menampilkan ibu kandung dan mertua serta rakan-rakan baiknya dalam kempen tersebut.

Koleksi Hati Lisa dan Baby Lisa by LS For Jovian boleh diperolehi menerusi laman web www.jovian.com.my bermula 15 Februari lalu. Pameran dan jualan di butik Jovian pula bermula minggu hadapan.

Terdapat 50 rekaan sedia untuk dimiliki menerusi koleksi Hati Lisa yang menampilkan nama-nama baju sempena individu rapat dalam hidup wanita berusia 30 tahun itu. Sebanyak 20 rekaan daripada koleksi tersebut boleh dipadankan dengan baju kanak-kanak Baby Lisa by LS For Jovian.

Kehamilan kedua

Kekal mempesona dalam keadaan berbadan dua, kisah kehamilan pertama pelakon kesayangan Malaysia itu masih segar dalam ingatan ramai. Umum tahu, betapa ketatnya Lisa menjaga kerahsiaan status kehamilannya sewaktu mengandungkan Yahaira dua tahun lalu.

Menurut Lisa, semasa kehamilan pertama, tekanan yang dialami memang sangat kuat memandangkan dia hamil di tengah-tengah lautan spekulasi dan ribut khabar angin mendakwa dirinya tidak boleh mengandung dan banyak cerita yang memedihkan telinga.

“Sewaktu mengandungkan Yahaira, saya sangat sensitif dan dibayangi perasaan takut kerana pernah mengalami keguguran sebelum itu.

“Saya dihujani panggilan telefon dan mesej daripada ramai orang sehingga terpaksa mengambil pendekatan ‘tutup pintu’ buat seketika sehingga saya benar-benar yakin untuk mengaku sedang hamil,” ceritanya berbalut emosi.

Berbeza dengan kehamilan kedua, Lisa yang sarat hamil tujuh bulan tampil lebih berkeyakinan dan selesa, malah tidak lokek bercerita tentang pengalaman sekali lagi diberi anugerah berbadan dua.

Kongsi wanita berusia 30 tahun itu, tenaga dan keadaan fizikalnya kali ini lebih stabil, bahkan dia menjadi semakin rajin melakukan banyak aktiviti harian

Berat badannya juga tidak seperti kehamilan pertama yang mencatat kenaikan mencanak sehingga 30 kilogram.

“Alahan kali ini juga tidak begitu teruk dan saya menjadi aktif sedangkan semasa mengandungkan Yahaira, saya hanya melepek di rumah dan banyak berehat.

“Saya menjadi lebih bersedia selepas belajar banyak perkara sewaktu hamil anak sulung walaupun kali ini, ia tidak dirancang,” ceritanya lagi.

Ditanya, adakah Yahaira sudah memahami bahawa dia akan menerima adik tidak lama lagi, Lisa sudah melatih Yahaira dengan memberitahu, ada bayi di dalam perutnya.

Biarpun Yahaira belum mengerti sepenuhnya terma kakak dan adik tetapi Lisa yakin, si kecilnya itu akan bersedia apabila tiba masanya kelak.

“Yahaira memang sangat manja dengan saya dan akan berasa cemburu jika melihat saya mendukung bayi lain. Kadangkala, apabila saya tidak larat mendukungnya, dia akan menarik muka dan merajuk.

“Tetapi tidak mengapa, dia masih kecil. Bila adiknya lahir sekitar awal Mei atau lewat April nanti, saya pasti Yahaira akan menjadi kakak yang terbaik,” ujarnya yang masih berahsia tentang jantina anak keduanya itu.

Rencana Utama!»

Sultan Muhammad V raja berjiwa rakyat

PELANTIKAN Sultan Muhammad V (depan kanan) sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan keputusan sebulat suara Majlis Raja-Raja.

Process time in ms: 47