DUNIA

Kebakaran besar ancam Christchurch

Kebakaran besar ancam Christchurch


REUTERS - KEBAKARAn hutan di kawasan berbukit di pinggir Christchurch terus marak petang kelmarin.


WELLINGTON – Kebakaran hutan memusnahkan sekurang-kurangnya 11 kediaman di bandar raya Christchurch dan memaksa beratus-ratus penduduk yang ketakutan berpindah, kata pihak berkuasa semalam.

Pihak berkuasa mengisytiharkan darurat bencana di Christchurch, Pulau Selatan, lewat kelmarin selepas dua kebakaran hutan yang marak sejak beberapa hari lalu bertemu dan menjadi satu kebakaran besar.

Majlis Bandar Raya Christchurch menyatakan, lebih 1,800 hektar tanah di kawasan bukit di Port Hills, timur bandar raya itu terbakar.

Kira-kira 1,000 orang dipindahkan dengan api diramal semakin marak akibat tiupan angin. Pihak berkuasa meminta penduduk supaya berpindah segera sekiranya mereka bimbang berada dalam bahaya.

“Kami faham bahawa sukar untuk penduduk meninggalkan kediaman mereka tetapi kebakaran ini boleh mengubah haluan dan merebak dengan pantas,” kata sarjan kanan polis, Ash Tabb.

“Jika anda berasa bimbang, segera berpindah, jangan tunggu sehingga terlambat,” tambahnya.

Kebakaran besar itu turut menyebabkan asap tebar melitupi Christchurch, manakala penduduk yang mengalami masalah pernafasan dinasihatkan supaya tidak keluar rumah.

Kebakaran hutan berskala besar jarang berlaku di New Zealand di mana hujan turun dengan ke­rap dan menghalang api daripada terus me­rebak seperti yang berlaku di Australia dan pantai barat Amerika Syarikat.

Terdahulu, Perdana Menteri New Zealand, Bill English yang meninjau kawasan bencana dengan menaiki helikopter berkata, kebakaran itu mungkin berpunca daripada perbuatan khianat.

“Saya diberitahu bahawa kebakaran asal bermula di dua kawasan serentak yang pada saya mencurigakan tetapi siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Bencana itu meragut satu nyawa setakat ini apabila sebuah helikopter melepaskan bom air terhempas pada Selasa lalu dan mengakibatkan juruterbangnya, Steve Askin terbunuh.

Menurut Jabatan Pertahanan Awam, sebanyak 14 buah helikopter dan tiga pesawat digunakan untuk membantu 200 anggota bomba mema­damkan api yang marak. –AFP

Process time in ms: 31