DUNIA

Palestin tetap mahu penyelesaian dua negara

Palestin tetap mahu penyelesaian dua negara




RAMALLAH, Tebing Barat – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) menuntut supaya peluasan penempatan haram Yahudi di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel dihentikan.

Mahmoud turut berkata kelmarin bahawa beliau komited kepada penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik dengan Israel selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayangkan alternatif lain sebagai pelan damai Asia Barat.

Pejabat Mahmoud mengeluarkan kenyataan itu selepas Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bercakap pada satu sidang akhbar di Washington sebelum pertemuan mereka.

Pada sidang akhbar itu, Trump berkata kepada Netanyahu: “Saya mahu melihat anda mengurangkan sedikit pembinaan penempatan Yahudi.”

Namun, Trump turut menggugurkan desakan AS berhubung prinsip penyelesaian dua negara yang sudah lama menjadi dasar Washington bagi menyelesaikan konflik di Asia Barat.

Prinsip itu menyatakan komitmen Washington kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka di samping Israel.

Dalam kenyataannya Mahmoud berkata, beliau bersetuju dengan gesaan Trump supaya Israel menghentikan pembinaan kediaman peneroka Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Bagaimanapun, Palestin katanya, mahukan penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik dengan Israel.

Palestin berusaha untuk menubuhkan sebuah negara merdeka di kawasan diduduki Israel di Tebing Barat, wilayah yang ditawan dalam Perang Asia Barat 1967 dan Semenanjung Gaza, yang dikuasai oleh gerakan Hamas dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. – Reuters

Varia!»

Warisan Orang Asli masih kekal

Keunikan budaya Orang Asli di Kampung Pos Raya, Perak terserlah melalui penghasilan pakaian daripada kulit kayu pokok terap yang turut dipakai oleh penari tarian sewang.

Process time in ms: 1531