VARIA

ICGPA tingkatkan kebolehpasaran graduan

ICGPA tingkatkan kebolehpasaran graduan

Mahasiswa perlu memastikan kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik tetapi juga aktif dalam aktiviti luar kampus. Gambar hiasan


Isu kebolehpasaran graduan atau graduate employability merupakan antara agenda utama yang sering dibincangkan dalam kalangan graduan lepasan institusi pengajian tinggi sama ada dari dalam atau luar negara.

Isu ini menjadi semakin panas diperkatakan terutamannya dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu pada hari ini.

Laporan media yang menyatakan ramai dalam kalangan graduan tidak berjaya mendapatkan perkerjaan selepas bergraduat juga turut menghangatkan lagi perbincangan berkaitan perkara tersebut.

Bermacam-macam alasan dan jawapan telah diberikan oleh pelbagai pihak untuk menjelaskan mengapa dan kenapa senario begini boleh berlaku.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada majikan, punca utama kenapa graduan gagal mendapatkan pekerjaan bukanlah disebabkan kelemahan mereka dalam bidang akademik tetapi disebabkan oleh faktor lain.

Antara faktor penyumbang kepada permasalahan tersebut ialah sikap, kemampuan menyelesaikan masalah, komunikasi, penguasaan bahasa Inggeris dan kemampuan membuat keputusan.

Untuk mengatasi permasalah tersebut, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah mengambil tindakan proaktif dengan memperkenalkan kaedah Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi atau ICGPA.

Tujuan utama kaedah itu diperkenalkan adalah untuk memastikan kualiti graduan yang keluar dari institusi pengajian tinggi menepati kehendak majikan.

Menerusi ICGPA, kecemerlangan graduan bukan dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut mengambil kira elemen lain seperti kemahiran partikal, kemahiran sosial, keusahawanan, pengurusan maklumat, komunikasi, kepimpinan, perpaduan dan patriotism.

Justeru, bagi menjadi graduan yang cemerlang, mereka harus mencapai kecemerlangan dalam semua elemen tersebut terutama selepas tamat pengajian.

ICGPA mempunyai tiga fungsi utama dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan di negara ini iaitu;

1. Melahirkan graduan yang lebih holistik

Sepertimana yang seringkali dibincangkan oleh majikan, formula untuk mendapatkan pekerjaan pada hari ini bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik kerana ia hanyalah sebahagian daripada syarat untuk dipertimbangkan sebelum graduan diterima bekerja.

Apa yang lebih dipentingkan oleh majikan ialah elemen-elemen tambahan seperti yang dinyatakan sebelum ini yang telah diintergrasikan di dalam ICGPA.

Oleh itu, pelajar yang mencapai kecemerlangan di dalam semua komponen di atas dianggap sebagai pencapaian yang lebih holistik kerana ia merangkumi pelbagai komponen di dalam pengiraan tersebut.

Graduan yang mempunyai keputusan yang lebih holistik seperti inilah akan menjadi idaman majikan masa kini.

2. Meningkatkan kemahiran insaniah graduan

Tidak dinafikan, ICGPA mampu meningkatkan kemahiran insaniah graduan secara automatik. Ia disebabkan institusi pengajian tinggi yang menggunakan kaedah ICGPA akan memastikan setiap pelajarnya mencapai keputusan yang baik di dalam semua komponen yang disebutkan di atas.

Justeru, dengan penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti yang berterusan sepanjang pengajian, secara automatiknya kemahiran insaniah mereka akan meningkat apabila telah bergraduat kelak.

Antara kemahiran insaniah tersebut ialah kemahiran komuniasi, kepimpinan, kerja berkumpulan, keusahawanan, penyelesaian masalah, pembelajaran sepanjang hayat dan etika moral.

3. Melahirkan graduan yang lebih kompetetif

Graduan yang telah melalui proses penilaian menerusi kaedah ICGPA pastinya menjadi lebih kompetetif dibandingkan dengan graduan yang menggunakan kaedah konvensional.

Ia sekali gus membolehkan mereka mempunyai kelebihan untuk bersaing di pasaran kerja. Ini adalah disebabkan kaedah penilaian ICGPA ini merupakan kaedah penilaian yang holistik dan sukar untuk ditandingi oleh kaedah lain yang ada pada hari ini.

Rumusan

Graduan yang mempunyai keputusan berdasarkan ICGPA mampu memberikan kualiti lebih menyeluruh kerana pencapaian mereka merangkumi pelbagai aspek.

Ini kerana, mereka bukan sahaja mempunyai pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, tetapi cemerlang di dalam elemen lain seperti komunikasi, kepimpinan dan kemahiran sosial.

Kombinasi kesemua komponen yang diambil kira di dalam penilaian ICGPA ini mampu untuk melahirkan graduan yang menepati kehendak majikan masa kini.

Melalui kaedah ICGPA ini juga, sindrom ulat buku dapat dielakkan daripada menjadi amalan oleh graduan kerana ia bukan lagi kriteria yang digunakan oleh majikan untuk mengambil pekerja.

Justeru, kaedah ICGPA wajar diberi sokongan padu oleh semua warga kampus demi untuk membantu meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan masa kini.

Process time in ms: 46