RENCANA UTAMA

Platform baharu untuk artis lama

Platform baharu untuk artis lama

(Dari kiri) Siti Sarah, Azharina Azhar dan Zarul Umbrella semakin mendapat tempat di hati peminat selepas menyertai GV3.


Jika menelusuri 10 tahun lalu, rancangan televisyen berlumba-lumba menayangkan program realiti nyanyian seperti Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol dan One In A Million untuk mencari bakat baharu. Program berunsur pencarian bakat baharu itu menjadi platform mengasah bakat pelapis dalam industri seni tempatan.

Untuk suatu tempoh masa, ia seakan-akan menjadi apabila kebanyakan bintang yang lahir daripada program berkenaan mampu melakar nama dan memiliki peminat tersendiri sekali gus berjaya meloloskan diri dalam golongan penyanyi hari ini.

Begitupun, semakin lama ia semakin kelihatan seperti idea basi yang membuatkan penonton naik muak sehingga juara-juara diangkat tidak dipedulikan malah menyepi begitu sahaja daripada pentas seni.

Musim berlalu, kini industri hiburan galak menerima konsep program hampir serupa tetapi ia melibatkan artis-artis lama yang pernah mencipta nama,berehat demi keluarga atau mahu memecahkan stereotaip peminat terhadap mereka.

Persoalannya, adakah adil membikin rancangan realiti untuk artis yang sudah mempunyai tapak dalam dunia seni sedangkan misi utama program realiti nyanyian adalah untuk menjadi platform mencari artis baharu.

Bagi penyanyi yang merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim kedua (GV2) Haiza Hanafi, 34, menjelaskan persoalan tersebut tidak patut timbul memandangkan dunia seni luas dan tiada sebarang perebutan yang perlu berlaku.

Pelantun lagu Dag Dig Dug itu berkata, artis-artis muda jauh lebih beruntung berbanding artis dahulu. Ia berikutan mereka lahir di zaman media sosial yang segala-galanya semudah dunia di hujung jari.

Haiza menambah, semasa zaman dia bersama rakan-rakan seangkatan yang lain mahu bergelar penyanyi, keadaan tidak semudah sekarang tetapi mereka tidak pernah berasa dengki dengan kemudahan laluan yang wujud untuk pelapis baharu.

“Bukan tiada cakap-cakap yang mempersoalkan mengapa perlu dilariskan penyanyi lama sedangkan masih ramai bakat-bakat baharu. Jawapan saya mudah sahaja, ia adalah rezeki masing-masing.

“Rancangan realiti yang melibatkan artis senior bukan berniat mahu menutup pintu rezeki orang baharu tetapi kami hanya menunaikan permintaan peminat yang rindu melihat artis mereka kembali aktif di pentas seni,” katanya yang berjaya memecah stereotaip penyanyi dangdut selepas menyertai GV2.

Anak kelahiran Johor itu turut menggunakan peluang yang ada untuk mencabar diri sendiri melakukan pembaharuan dari segi genre lagu dan meningkatkan kreativiti dalam persembahan.

Walaupun sudah lebih 10 tahun bergelar anak seni, dia mengakui ia bukan tiket untuk mendabik dada dan lebih suka apabila menyertai pertandingan kerana terdapat juri profesional memberi maklum balas untuk kebaikan diri.

“Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk tidak berhenti menerima ilmu dalam bidang nyanyian kerana sentiasa ingin memberikan yang terbaik buat peminat.

“Evolusi itu penting walaupun saya dan rakan-rakan seperjuangan lain sudah mempunyai tapak kukuh namun masih banyak yang dipelajari daripada generasi dan situasi zaman ini,” jelasnya lagi.

Kerja keras

Penyanyi muda yang bakatnya dicungkil daripada rancangan Bintang RTM, Ernie Zakri, pula menegaskan siapa yang bekerja keras akan memperoleh hasilnya tidak kira penyanyi lama atau baharu.

Menurut Ernie, tidak semestinya jika ada rancangan realiti yang melibatkan artis senior, maka junior yang baharu hendak memulakan perjalanan seni akan terhenti atau terhalang.

Tambah penyanyi berusia 25 tahun itu lagi, setiap individu yang mahu bergelar anak seni perlu melalui perjalanan mencabar kerana ia memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk bertahan dalam industri ini.

“Saya sendiri mengambil masa hampir tujuh tahun untuk membina nama. Pada hakikatnya, menjadi juara Bintang RTM seperti sudah cukup gagah bagi memperkenalkan saya pada peminat seni.

“Setiap anak seni ada dugaan tersendiri yang perlu ditempuhi maka jangan pernah dibandingkan sama ada layak atau tidak penyanyi lama menyertai program realiti. Tidak semua tahu kepayahan yang dialami mereka,”katanya yang semakin mendapat tempat di hati peminat selepas menjuarai program Duo Star baru-baru ini.

Tidak pernah merasa ketinggalan atau dilupakan sebelum peminat mengetahui akan kewujudan dia dalam dunia nyanyian, Ernie yakin setiap perkara itu mempunyai detik masa tersendiri.

Katanya, kesabaran diri serta kegigihan untuk membuktikan bakat yang ada akhirnya membuahkan hasil. Tambah manis, dia memberitahu ia diakhiri dengan kejuaraan dan juga populariti yang semakin meningkat.

“Saya tidak menyertai program realiti untuk menjadi popular semata-mata tetapi dengan harapan dapat membuka mata peminat agar menerima nyanyian saya.

“Jadi saya memang berterima kasih kepada Duo Star kerana memberikan peluang keemasan seperti itu dan menjadikan perjuangan seni saya selama ini berbaloi,” jelasnya lagi.

Faktor X

Bercakap daripada pihak produksi televisyen, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, pula menerangkan kehadiran program realiti yang melibatkan penyanyi lama atau profesional adalah di atas permintaan peminat sendiri.

Pada mulanya, program seperti GV diadakan untuk memberi ruang kepada artis lama yang ingin kembali aktif selepas lama menyepi. Selepas tiga musim bersiaran, sambutan yang diterima daripada peminat sangat menggalakkan.

Katanya, melihat kepada kejayaan GV menyedarkan pihaknya bahawa bintang-bintang ini enggan sekadar kembali aktif dalam industri tetapi mahu ia disokong oleh bukti bahawa mereka masih berbisa.

“Astro pernah mewujudkan rancangan Mania pada tahun 2007, program pertama yang melibatkan artis profesional sebagai peserta namun sistem pemarkahan adalah 100 peratus undian maka ia kurang mendapat sambutan.

“Berbeza dengan GV, penyanyi-penyanyi profesional diadili oleh juri yang mempunyai kredibiliti. Ia secara tidak langsung menambahkan keyakinan penonton terhadap rancangan ini,” ujarnya lagi.

Apabila ditanya tidakkah rancangan seperti GV akan membunuh bakat baharu yang dicungkil daripada program realiti nyanyian lain seperti AF, Raqim menjelaskan ia bergantung kepada kreativiti penyanyi itu sendiri.

Rancangan realiti secara umumnya hanya menyediakan platform namun selepas ia tamat, perjuangan dalam bidang seni perlu diteruskan melalui pendekatan artis-artis itu.

“Jangka hayat penyanyi baharu yang lahir daripada rancangan realiti bergantung kepada setakat mana mereka berjaya menyelongkar faktor X dimiliki diri masing-masing untuk menyerlah sebagai artis.

“Kami percaya program pencarian bakat baharu seperti AF dan lain-lain masih diperlukan untuk memeriahkan lagi industri muzik tanah air kita,” tuturnya tegas.

Apa yang boleh disimpulkan, setiap artis menyertai program realiti mempunyai sasaran masing-masing dalam industri seni dan hanya mendepa tangan untuk rezeki yang hadir.

Sebagai contoh, peserta GV musim ketiga (GV3), Razis Ismail, berkata dia tiada niat untuk kembali serius menyanyi seperti dahulu cuma bersetuju bertanding agar publisiti diterima boleh diguna untuk kerja-kerja kebajikan yang dilakukan berdekatan surau rumahnya.

Ada juga yang mahu membuktikan kepada orang kuat industri hiburan bahawa dia bukan sekadar penyanyi kampung yang kolot seperti juara GV2, Siti Nordiana dan banyak lagi kisah yang kadang-kadang tidak terlintas di fikiran kita.

Sejujurnya, artis yang dikatakan kitar semula inilah melengkapi terma malar segar malah harus diakui, masyarakat lebih mudah menerima karya atau lagu berkaitan dengan sejarah hidup mereka.

Process time in ms: 31