HORIZON

Berjalan di dasar laut Taman Laut Tunku Abdul Rahman

Berjalan di dasar laut Taman Laut Tunku Abdul Rahman


PENULIS berpeluang memberi ikan makan sewaktu melakukan aktiviti sea walking.


MENCABAR, seronok dan mengujakan. Itulah perkataan yang dapat digambarkan sepanjang percutian di Sabah.

Negeri di Bawah Bayu menjadi pilihan penulis dan suami dalam melengkapkan kalendar percutian kami pada tahun lalu.

Kali ini, kami merancang untuk mencabar adrenalin dengan melakukan aktiviti sukan air di Pulau Sapi.

Pulau itu merupakan salah sebuah daripada lima pulau yang terdapat di Taman Laut Tunku Abdul Rahman.

Selain minat terhadap sukan ekstrem, kami melakukan aktiviti ini adalah untuk meningkatkan lagi tahap keyakinan dan keberanian dalam diri.

Percutian ini juga memberi peluang untuk meneroka keindahan Pulau Sapi yang dikhabarkan antara pulau paling kaya dengan hidupan laut.

Perjalanan menaiki bot laju dari Terminal Feri Jesselton Point, Kota Kinabalu ke Pulau Sapi mengambil masa selama 20 minit.

Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan keindahan panorama gugusan kepulauan yang kekal menghijau.

Ketibaan kami di jeti Pulau Sapi disambut dengan pemandangan cukup mempesonakan selain pasir pantai yang memutih dan air laut hijau kebiruan. 

Suasana bertambah meriah dengan keasyikan pengunjung melakukan aktiviti snorkel di gigi pantai.

Pakej menarik


Pemandangan indah Desa Cattle Dairy Farm seakan-akan berada di New Zealand.


Kemudian, kami diberi taklimat oleh pemandu pelancong mengenai aktiviti yang akan dilakukan iaitu layar-layang (parasailing), flyfish dan sea walking.

Pakej sukan air ini ditempah sehari sebelum bertolak ke Pulau Sapi iaitu di Terminal Feri Jesselton Point.

Bagi mereka yang pertama kali datang ke sini, anda tidak perlu risau kerana di terminal itu menempatkan pelbagai agensi pelancongan yang menawarkan pakej menarik.

Masa yang ditunggu kini sudah tiba. Perasaan teruja, takut dan seronok bercampur baur kerana ini merupakan pengalaman pertama kami mencuba sukan parasailing.

Pemain akan ditunda menggunakan bot yang disambung dengan sayap kanopi yang ‘diangkat’ oleh paracut iaitu sayap parasail.

Ketika kru mula memasang abah-abah pada badan, degupan jantung saya kian memuncak. Lebih-lebih lagi, ketika tali yang diikat antara payung dan bot mula menarik diri terbang ke udara. 

Gayat dan bagaikan nyawa di hujung tanduk, itulah perasaan awal yang kami rasakan. Namun, perasaan mendebarkan itu hanya seketika sebelum bertukar seronok. 

Ketika di udara, kedudukan kami berada antara Pulau Sapi dan Pulau Manukan. Menyaksikan panorama indah pulau-pulau berdekatan dari sudut pandangan mata burung merupakan sesuatu pengalaman yang sungguh hebat. Melayang di udara dengan parasailing menguji keberanian seseorang ketika berada di aras tinggi.

Bagi merasai pelbagai situasi ketika menaiki parasailing, kami juga diterbangkan pada aras yang rendah sehingga kaki boleh mencecah air laut.

Selepas itu, kami dibawa ke lokasi untuk aktiviti flyfish, satu lagi sukan ekstrem yang menguji keberanian pemain. Dengan hanya duduk di atas pelampung flyfish dan berbekalkan jaket keselamatan, kami ditarik dengan bot. 

Bot yang dipandu laju membolehkan pelampung itu terbang ke udara dan mencecah semula ke permukaan air.

Bagaikan terhempas-hempas ke permukaan air. Mereka yang benar-benar menggemari sukan lasak, pasti akan teruja.

Terpukau


Air di sekitar jeti Pulau Sapi sangat jernih dan bersih.


Mungkin masih ramai yang tidak percaya anda boleh berjalan di dasar laut? Namun, itulah pengalaman yang kami rasai menerusi aktiviti Sea Walking.

Sea Walking adalah pilihan bagi mereka yang tidak mempunyai lesen menyelam tetapi ingin merasai pengalaman berada di dasar laut.

Bagi melakukan aktiviti ini, kami dibawa ke sebuah pelantar khas yang terletak kira-kira 10 minit perjalanan dari jeti Pulau Sapi.

Sebelum memulakan aktiviti, kami mendengar taklimat ringkas mengenai isyarat tangan untuk berkomunikasi ketika berada di dasar laut dan langkah-langkah keselamatan.

Selepas taklimat, kami dipakaikan topeng muka yang disambung ke hos tangki selaman sebelum dibawa turun kira-kira enam meter ke bawah laut.

Lebih kurang 30 minit berada di dasar laut, kami memperoleh pengalaman yang mengujakan.

Terpukau dengan keindahan pemandangan dasar laut yang penuh warna-warni, tanpa sedar perasaan takut hilang sedikit demi sedikit.

Kami juga berpeluang merakam gambar dan video ketika menyaksikan habitat hidupan marin yang pelbagai dengan spesies ikan, rumpai laut dan terumbu karang.

Aktiviti ini selamat sekalipun seseorang tidak memiliki kemahiran berenang. Kami juga sentiasa diawasi dua penyelam yang terlatih. Malah, terdapat tali yang boleh dipegang ketika berjalan sepanjang kira-kira 200 meter di dasar laut.

Selain aktiviti sukan air di Pulau Sapi, kami juga sempat meneroka Pulau Manukan yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Pulau Sapi dengan bot laju.

Pulau Manukan merupakan pulau kedua terbesar yang terdapat di Taman Laut Tunku Abdul Rahman selepas Pulau Gaya.

Keindahan semula jadi Pulau Manukan yang menghadap Laut China Selatan menjadi syurga kepada peminat-peminat aktiviti laut seperti selam snorkel, menyelam dan berenang.

Selain meneroka kepulauan di Sabah, kami juga melawati beberapa tempat pelancongan lain seperti Desa Cattle Dairy Farm Kundasang, Poring Hot Spring di Ranau, Kinabalu Park dan Ladang Teh Sabah.

Ramai yang menggambarkan ladang tenusu, Desa Cattle Dairy Farm seakan-akan berada di New Zealand.

Selain suhunya yang sejuk, pemandangan di ladang susu ala ladang di Eropah itu juga menawarkan pemandangan Gunung Kinabalu.

Di Desa Cattle Dairy Farm, kami boleh melihat sendiri proses memerah dan memproses susu selain berpeluang menikmati susu segar dari ladang serta produk tenusu lain seperti aiskrim dan yogurt.

Di Poring Hot Spring pula, pelbagai aktiviti boleh dilakukan antaranya mandi di kolam air panas, melawat taman rama-rama, pusat tanaman orkid, Air Terjun Kipungit, Gua Kelawar dan Air Terjun Langanan.

Tujuan kami ke sini adalah untuk menyusuri jambatan gantung, Poring Canopy Walkway. Kami perlu mendaki sejauh 500 meter terlebih dahulu sebelum menyusuri jambatan tersebut.

Pengalaman cukup menggerunkan ketika memulakan langkah pada ruang yang hanya selebar papan berukuran enam inci dengan perjalanan sejauh 373.6 meter pada ketinggian kira-kira 43 meter.

Percutian kami di Sabah memberi pengalaman yang cukup indah. Ia merupakan pengalaman menarik yang sering dikatakan hanya terdapat di luar negara, tetapi sebenarnya boleh dirasai di Malaysia.

Rencana Utama!»

Turun padang kaji punca pencemaran

PASUKAN UTKFAS turut mendapatkan sampel air dari Sungai Semenyih, Selangor untuk dianalisis.

Varia!»

Sikap individu cabar kreativiti ahli pemasaran

SYARIKAT yang mengungguli konsep one to one marketing pasti akan menguasai kelompok pengguna yang semakin individualistik dalam sesuatu pasaran. – Gambar hiasan

Process time in ms: 31