KESIHATAN

Padah bahan sintetik kecantikan terlarang

Padah bahan sintetik kecantikan terlarang

RAWATAN kosmetik menggunakan bahan terlarang dikhuatiri meninggalkan kesan sampingan. – Gambar hiasan


DI sebalik telapak tangan, Emira Sela, 31, menyembunyikan bahagian wajahnya yang bernanah dek kerana menjalani rawatan kosmetik yang tidak mengikut undang-undang di Albania.

Segala-galanya bermula dengan satu suntikan bernilai 60 euro (RM285.57). Ia kononnya dapat menghilangkan kedutan dan tanda-tanda penuaan seperti yang disyorkan pendandan rambutnya.

Selain wajahnya yang hampir lumpuh, Sela turut mengalami kesakitan kekal di samping mengalami simptom loya dan demam.

Malah, ketulan bernanah yang terdapat di pipi kanan menyebabkan sebelah matanya separa tertutup.

“Wanita yang melakukan prosedur rawatan itu memberi jaminan bahawa ia tidak berisiko. Dia juga menyenaraikan beberapa nama terkenal.

“Saya tidak berfikir dua kali. Saya terus mempercayainya tanpa bertanya lanjut,” ujar wanita berambut perang dan bermata hijau itu dengan suara bergetar.

Sela juga langsung tidak mengetahui kandungan dan dos suntikan yang memusnahkan hidupnya pada akhir Ogos tahun lalu.

“Saya berasa diri ini telah cacat dan pernah terfikir mahu membunuh diri,” luah Sela yang kehilangan pekerjaan di bank gara-gara insiden itu.

Promosi

Dia dijadualkan mengikuti pembedahan pembetulan di sebuah hospital di Itali bulan ini.

Realitinya, salon-salon kecantikan dan dandanan rambut di Albania kekurangan pakar perubatan yang layak menawarkan rawatan kosmetik seumpama itu.

Sementara itu, pakar dermatologi Hospital Universiti Tirana, Eriona Shehu berkata, masalah tersebut turut berpunca daripada produk yang dibawa masuk secara haram dari Turki dan China.

Katanya, kemasukan produk seperti silikon cecair dan akrilamida iaitu bahan sampingan bertoksik dijual tidak terkawal pada harga rendah.

“Keinginan untuk kelihatan menggiurkan seperti bintang realiti Amerika Syarikat, Kim Kardashian telah memusnahkan hidup gadis-gadis muda Albania yang memburu kecantikan.

“Kosmetik telah menjadi industri yang menguntungkan. Pesakit hanya dilihat sebagai pelanggan dan terdedah kepada risiko ini,” katanya.

Para doktor mendakwa, pelanggan yang sering menjadi mangsa prosedur sedemikian berusia sekitar 16 hingga 28 tahun.

Menurut kajian yang diterbitkan majalah ekonomi Monitor, bidang kosmetik meningkat lebih 50 peratus pada tahun 2015 di negara yang mempunyai populasi kira-kira tiga juta penduduk itu.

Tawaran promosi boleh dilihat di mana-mana seperti potongan harga istimewa sebanyak 20 peratus bagi tiga pelanggan yang datang bersama-sama untuk mendapatkan rawatan pada musim cuti.

“Semakin ramai individu yang menyamar dengan jarum,” ujar Panajot Papa yang merupakan pakar pembedahan plastik di sebuah klinik swasta yang terletak di ibu kota Tirana.

Diharamkan

Tambahnya dia telah merawat sedozen wanita muda berusia antara 20 dan 27 tahun yang mengalami komplikasi selepas bibir dan tulang pipi mereka bengkak setelah disuntik silikon cecair dengan bayaran 40 hingga 50 euro (RM190.05 hingga RM237.56).

Produk sedemikian telah diharamkan untuk kegunaan kosmetik di negara seperti Itali dan Perancis sejak lebih 15 tahun lalu.

“Kemasukan bahan sebegitu ke dalam tubuh boleh menyebabkan bengkak yang sangat teruk ketika tempoh haid dan memerlukan rawatan lanjut. Ia mungkin meninggalkan simptom kekal itu seumur hidup,” katanya.

Dalam hal ini, doktor di Albania bimbang mengenai pengamal kosmetik yang datang dari Itali, Turki dan Greece yang bekerja hanya pada hujung minggu.

“Mereka mungkin tidak mempunyai diploma, kelayakan atau lesen untuk melakukan prosedur perkhidmatan kepada pelanggan,” ujar Ketua Jabatan Otolaringologi Hospital Universiti Tirana, Besim Boci.

Jurucakap tribunal Tirana, Alba Nikolla mengakui, mustahil untuk melakukan siasatan terbuka dan mengheret individu bertanggungjawab ke muka pengadilan hanya berdasarkan aduan semata-mata.

Namun, pihak berkuasa bersedia menangani isu itu dan merancang untuk merangka draf undang-undang yang dijadualkan dibentang di Parlimen beberapa bulan akan datang.

Undang-undang baharu itu bakal memenuhi kehendak Kesatuan Eropah setelah Albania berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada negara anggota.

Ia membolehkan pihak berkuasa menutup premis yang menggunakan bahan sintetik terlarang dan pengusaha yang didapati pesalah boleh dipenjara selama tiga hingga 10 tahun. – AFP

Process time in ms: 32