INFINITI

Inspirasi rekaan dan modifikasi terkini

Inspirasi rekaan dan modifikasi terkini

ISKANDAR (kiri) dan Mohd. Hazizi memasang peralatan kerusi roda yang ditempah pelanggan.


KEDIAMAN teres dua tingkat yang terletak di Taman Bukit Kepayang, Seremban, Negeri Sembilan itu pada pagi itu kelihatan agak sunyi sepi.

Tidak seperti kediaman lain di sekelilingnya yang dipenuhi perabot atau kelengkapan rumah, ia sarat dengan pelbagai peralatan pertukangan dan rehabilitasi seperti kerusi roda dan alat bantuan pesakit.

Di satu sudut, kelihatan tiga lelaki sedang tekun memasang beberapa peralatan kerusi roda yang berselerakan di bahagian tengah kediaman itu.

“Kami sewa rumah ini untuk dijadikan bengkel dan stor. Di sinilah kami menghabiskan masa saban hari menyiapkan kerusi roda atau alat bantuan pesakit yang ditempah pelanggan.

“Pelanggan kami pula pelbagai, ada pengusaha pusat fisioterapi, pihak hospital atau orang perseorangan khususnya golongan orang kelainan upaya (OKU),” kata Pengarah Urusan Zee Innovator Enterprise (Zee Innovator), Mohd. Hazizi Mohd. Nor.

Bercerita mengenai perniagaan tersebut, Mohd. Hazizi, 22, berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2011 menawarkan perkhidmatan jualan, penyelengaraan dan modifikasi kerusi roda dan alat bantuan pesakit.

Selain itu, ia turut mereka bentuk tempat duduk kerusi roda khusus untuk pesakit palsi serebrum (CP), distrofi otot dan kecederaan saraf tunjang.

Katanya, idea perniagaan itu tercetus hasil pengalamannya bersama dua rakan kongsinya, Peter Wong, 63, dan Iskandar Yahya, 32, yang bekerja di sebuah syarikat pembekal kerusi roda selama beberapa tahun.

“Perkhidmatan yang ditawarkan ketika itu terhad kepada penjualan kerusi roda mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pengilang.

“Jika pelanggan mahu mengubah suai kerusi roda mengikut keselesaan mereka, ia terpaksa dilakukan di luar negara dan kosnya pula sangat mahal.

“Justeru, kami melihat potensi tersebut sebelum nekad menubuhkan syarikat ini yang memfokus ke arah peralatan rehabilitasi,” ujarnya.

Kecacatan berbeza

Menurutnya, tidak ramai yang mengetahui golongan OKU yang berkerusi roda mempunyai kecacatan yang berbeza sekali gus menuntut reka bentuk alat bantuan yang berlainan.

“Misalnya, pesakit CP, memerlukan kerusi roda yang dilengkapi tempat duduk yang direka khas bagi menyokong bentuk kecacatan dan kondisi tubuh mereka.

“Sebab itu, sebelum mereka bentuk sesebuah kerusi roda, kami akan mendapatkan maklumat pelanggan daripada pegawai perubatan terlebih dahulu untuk memperoleh ukuran yang tepat.

“Ia penting bagi mengelak kecederaan kepada pelanggan dan memberi keselesaan sepanjang menggunakan kemudahan itu,” ujarnya.

Katanya, selain menerima tempahan, mereka juga membuat proses penyelenggaraan peralatan kerusi roda dan rehabilitasi di pusat fisioterapi dan hospital di seluruh semenanjung.

“Sebahagian besar pelanggan kami merupakan pesakit yang mendapat rawatan dan pemulihan di sana. Jadi, kami turut mengatur slot tertentu untuk menjalankan penyelenggaraan di samping mempromosikan perkhidmatan kepada pesakit baharu,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, proses menyiapkan tempahan sesebuah kerusi roda lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga minggu bergantung kepada modifikasi yang ingin dilakukan.

Dia yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan pertukangan sebelum ini mengakui setiap proses perlu dilakukan dengan teliti di samping menuntut kreativiti.

“Kami masih menggunakan rangka kerusi roda biasa sebagai asas namun kebanyakan rekaan yang dihasilkan adalah berbeza kerana ia dibentuk mengikut kecacatan dan kondisi tubuh pelanggan.

“Misalnya, ada kerusi roda yang digabungkan dengan kerangka berdiri khusus untuk pesakit CP yang tidak boleh duduk atau menggerakkan kaki mereka.

“Ada juga kerusi roda kanak-kanak yang kami hasilkan daripada modifikasi daripada kereta sorong bayi,” katanya.

Modifikasi


SETIAP kerusi roda dihasilkan di Zee Innovator berbeza mengikut kecacatan dan kondisi tubuh pelanggan.


Tambah Peter, selain mereka bentuk kerusi roda, pihaknya turut menghasilkan kerusi rehat, kerusi bersandaran tinggi serta rekaan istimewa tempat duduk tiga dalam satu untuk kegunaan di atas kerusi roda, kenderaan serta sofa.

“Selain itu, kami turut menyediakan perkhidmatan modifikasi kereta roda sedia ada untuk menukar warna kerangka, kerusi, fabrik dan roda dengan rekaan-rekaan moden dan terkini,” katanya.

Ujarnya, pihaknya turut mencipta peralatan rehabilitasi walker, stand walker, paralel bar dan tongkat yang lazim digunakan oleh pusat fisioterapi dan hospital untuk membantu proses rawatan dan pemulihan pesakit.

Katanya, kebanyakan peralatan di situ dijual pada harga ratusan ringgit sehingga belasan ribu ringgit bergantung kepada permintaan pelanggan.

“Kebiasaannya, kerusi roda yang dijual di sini bermula dari RM800 hingga RM4,000 bagi yang baharu namun ada juga kerusi roda terpakai yang dijual sebagai pilihan,“katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Lee Chee Hoong, 44, mengakui perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu banyak membantu golongan OKU di negara ini untuk mendapatkan peralatan berkualiti dengan harga berpatutan.

Dia yang merupakan penghidap CP memberitahu, sebelum ini OKU sepertinya terpaksa bergantung kepada kerusi roda yang dijual di pasaran yang adakalanya tidak sesuai dengan kecacatan dan kondisi tubuh mereka.

“Ketika itu, kebanyakan peralatan ini didatangkan mengikut spesifikasi dari kilang, biarpun ia tidak selesa namun pesakit tidak mempunyai pilihan lain.

“Hendak ubah suai boleh tetapi perkhidmatan itu tidak ditawarkan di negara ini kecuali di luar negara seperti Singapura yang mana melibatkan kos.

“Jadi pesakit perlu jadi kreatif membuat pengubahsuaian sendiri atau meletak bantal atau kusyen yang mampu memberi keselesaan untuk tempoh yang lama,” katanya yang mesra disapa James.

James yang juga merupakan atlet paralimpik negara dalam acara boccia memberitahu, perkhidmatan itu juga mampu memberi kemudahan kepada OKU untuk mendapatkan kerusi roda yang sesuai bagi kegunaan harian.

Lebih selesa

“Misalnya, kerusi roda bermotor milik saya sebelum ini juga didatangkan dalam bentuk standard dengan tempat duduk yang keras dan kedudukan panel kawalan yang tidak sesuai dengan bentuk tangan membuatkan saya tidak selesa menggunakannya.

“Namun, menerusi modifikasi yang dilakukan, saya lebih selesa bergerak dan melakukan aktiviti harian.

“Malah, kerusi itu juga saya sering gunakan untuk latihan atau menyertai pertandingan boccia yang diadakan di dalam atau luar negara,” ujarnya.

Katanya, dia kini turut merancang untuk membeli kerusi roda baharu untuk kegunaan beriadah dan bersantai daripada syarikat berkenaan.

“Sebelum ini, saya terpaksa gunakan kerusi roda sedia ada untuk semua aktiviti harian dan dibimbangi ia tidak tahan lama dan cepat rosak. Saya difahamkan ada pihak yang menawarkan diri untuk menaja kerusi roda tersebut dan saya harapkan ia mampu menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat,” katanya

Process time in ms: 32