TERKINI

Lelaki menyamar pegawai Imigresen minta rasuah ditahan

Lelaki menyamar pegawai Imigresen minta rasuah ditahan

12/01/2017 1:36pm

Lelaki yang menyamar sebagai pegawai imigresen untuk meminta rasuah daripada seorang pemilik syarikat dibawa ke pejabat SPRM Kedah hari ini.


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai imigresen untuk meminta wang sebanyak RM2,000 daripada seorang pemilik syarikat kerana dipercayai mempunyai pekerja asing tanpa izin di sini malam tadi.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditangkap pegawai penguatkuasa SPRM Kedah di pekarangan sebuah pasar raya di sini kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurutnya, sepucuk pistol tiruan turut dirampas daripada lelaki terbabit yang merupakan seorang penganggur.

"Hasil pemeriksaan awal, pemilik syarikat itu yang berusia 27 tahun tidak mengetahui lelaki yang meminta wang tersebut hanya menyamar sebagai pegawai imigresen," katanya ketika ditemui di pejabat SPRM Kedah di sini hari ini.

Mohd. Fauzi memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16, Akta SPRM 2009 kerana meminta rasuah.

Tambah beliau, kes lelaki tersebut yang turut memiliki sepucuk pistol tiruan pula diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Lelaki tersebut kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini. - K! ONLINE

Process time in ms: 16