TERKINI

Ribuan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Adenan

Ribuan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Adenan

12/01/2017 1:51pm




KUCHING - Ribuan orang ramai termasuk tetamu kenamaan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Masjid Jamek, Petra Jaya di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham yang dibawa dari kediaman rasminya di Damai Jaya, Santubong tiba di pekarangan Masjid Jamek di sini kira-kira pukul 10.58 pagi.

Turut mengiringi ketibaan jenazah Adenan, isterinya Puan Sri Jamilah Anu dan anak-anaknya.

Lebih memilukan, Jamilah kelihatan mengalirkan air mata sebaik keranda jenazah diusung keluar oleh anggota pasukan keselamatan.

Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan pada pukul 1.24 petang semalam.

Selain ahli keluarga, kenalan rapat dan rakyat pelbagai kaum di negeri ini, turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Najib tiba di pekarangan masjid kira-kira pukul 12.10 tengah hari, manakala Abdul Taib tiba kira-kira 10 minit kemudian.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan dan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Semariang di sini hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Jamilah Anu dan lima orang anak. K! ONLINE

Process time in ms: 31