SUKAN

Sharapova kembali ke gelanggang

Sharapova kembali ke gelanggang


SHARAPOVA akan menyertai kejohanan tanah liat WTA di Stuttgart, Jerman, April depan.


BERLIN – Jelitawan tenis Rusia, Maria Sharapova akan membuat kemunculan semula di gelanggang kompetitif pada kejohanan tanah liat WTA di Stuttgart, April depan setelah digantung selama 15 bulan ekoran kesalahan doping.

Pemain tenis berusia 29 tahun itu sebelum ini disahkan positif dadah jenis meldonium pada Terbuka Austra­lia 2016 dan digantung selama dua tahun sebelum dipendekkan tempohnya oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Pemegang lima gelaran Grand Slam itu memiliki rekod cemerlang sepanjang penyertaannya pada kejohanan tersebut de­ngan hanya tewas sekali di tangan pemain No. 1 dunia, Angelique Kerber pada tahun 2015.

“Saya gembira kerana dapat membuat kemunculan semula pada kejohanan kegemaran saya. Saya tak sabar untuk kembali ke gelanggang dan bertemu dengan peminat,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi WTA, Steve Simon mengalu-alukan kepulangan Sharapova yang terkenal dalam kalangan peminat tenis pada jelajah WTA.

“Maria layak untuk kembali ke gelanggang profesional bermula 26 April pada Grand Prix (GP) Tenis Porsche dan saya pasti peminatnya rindu melihat aksinya dia di gelanggang.

“Dia menyertai kejohanan itu de­ngan menggunakan tiket wildcard,” ujarnya. – Agensi

Process time in ms: 32