SUKAN

Terus bertanding selagi mampu

Terus bertanding selagi mampu


CHONG Wei (empat dari kanan) ketika hadir pada majlis MoU antara BAM dan Astro Arena di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara semalam.


KEPUTUSAN jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menyertai kejohanan-kejohanan tertentu sahaja pada tahun ini sudah cukup untuk memberi gambaran bahawa karier pemain No. 1 dunia itu sudah hampir ke penghujung.

Chong Wei memutuskan untuk hanya menyertai lima kejohanan utama sahaja bagi kalendar 2017 sebelum beraksi pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Jurulatihnya, Hendrawan me­ngakui pemain berusia 35 tahun itu ada berbincang dengannya mengenai perkara tersebut sebaik tamat Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos tahun lalu yang menyaksikan Chong Wei meraih pingat perak Olim­pik ketiganya.

“Secara jujur, Chong Wei ada berbincang dengan saya dan dia mengakui bahawa umurnya semakin meningkat. Dia juga ada mengajukan soalan kepada saya mengenai bila dan mengapa saya buat keputusan untuk bersara dahulu.

“Saya katakan kepadanya, saya memutuskan untuk bersara kerana mengalami kecederaan serta sudah tidak ada kemahuan lagi untuk bermain. Sekiranya dia masih ada kemahuan, te­ruskan bermain, melainkan dia sudah tidak ada kemahuan lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Hak Penyiaran antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Astro Arena.

Pemain kelahiran Pulau Pi­nang itu dikatakan hanya akan menyertai kejohanan Seluruh England, Terbuka India, Malaysia, Indonesia, dan Piala Su­dirman sebelum beraksi pada kejohanan dunia.

Memandangkan Kejohanan Dunia merupakan sasaran utama Chong Wei tahun ini, Hendrawan berpendapat, keputusan sama ada untuk dia terus beraksi ataupun menggantung raket akan dibuat sebaik sahaja kejohanan tersebut berakhir.

“Sasaran utamanya pada tahun ini adalah Kejohanan Dunia, jadi apa sahaja keputusan pada kejohanan itu nanti bakal menentukan masa depannya dalam sukan ini. Dia masih memiliki kemahuan untuk menca­tat keputusan membanggakan di sana nanti kerana kejohanan itu sangat penting.

“Selepas tewas pada Olimpik tempoh hari, dia katakan mahu terus bermain sehingga Kejohanan Dunia dan saya katakan tidak mustahil untuknya kerana masih ada tempoh setahun lagi untuk lakukan persiapan. Saya tidak mahu dia berfikir terlalu jauh kerana mahu dia fokus kepada Kejohanan Dunia,” tambahnya.

Mengulas mengenai tempoh rehat Chong Wei yang terlalu lama sebelum menyertai kejohanan sulung pada Seluruh England, Mac nanti, Hendrawan yang juga bekas juara dunia merasakan keputusan tersebut turut memberi kebaikan kepada pemain itu kerana dia dilihat lebih cergas ketika menjalani latihan.

Selain itu, katanya, beliau juga tidak boleh terlalu memberi tekanan kepada Chong Wei ketika sesi latihan bagi mengelakkan kecederaan, memandangkan kea­­­daan fizikal Chong Wei sudah tidak seperti dahulu lagi.

“Dua bulan tanpa kejohanan mungkin terlalu lama untuk Chong Wei kerana dia tidak pernah berehat panjang tanpa kejohanan seperti ini. Bagaimanapun saya akui, dia lebih cergas dan selesa apabila berada di dalam gelanggang,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, BAM dan Astro Arena melanjutkan perjanjian hak penyiaran eksklusif untuk tempoh lima tahun lagi dengan kos bernilai RM66 juta.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid serta Penolong Naib Presiden Kanan dan Ketua Staf Bahagian Berita dan Majalah Astro Arena, Ahmad Khawari Mohd. Isa.

Pesona!»

Pusat sehenti aktiviti kecergasan kanak-kanak

Kemahiran kanak-kanak berinteraksi sebagai sebuah pasukan akan diuji di Rockstar Gym.

Varia!»

Tanam cili ringankan beban ekonomi

CUACA buruk dan serangan penyakit antara punca kekurangan bekalan di pasaran.

Iklan

Process time in ms: 31