RENCANA UTAMA

Berhati-hati beli belon untuk anak-anak

Berhati-hati beli belon untuk anak-anak

MUHAMAD ARIFF dimasukkan ke wad di Hospital Selayang, Selangor ekoran belon yang dipegangnya meletup dan terbakar.


SENYUMAN terukir pada wajah anaknya apabila Nurfarizan Hassan, 29, membelikannya beberapa belon yang berwarna-warni dan dihiasi karakter kartun animasi.

Begitupun, kegembiraan Muhamad Ariff Rifqi itu tidak lama apabila belon yang dipegang meletup lalu api menyambar tangan dan mukanya.

“Sebelum ini, saya kerap membeli belon seumpama itu di kaki lima daripada penjual belon, tetapi saya tidak tahu jenis gas yang digunakan untuk belon berkenaan.

“Pada saya, belon merupakan item yang sangat sinonim dengan kanak-kanak dan mereka sangat menggemarinya terutama apabila dijadikan sebagai hadiah,” imbas Nurfarizan menceritakan detik cemas kejadian yang menimpa anaknya itu baru-baru ini di rumah maknya di Selayang, Selangor.

Jelasnya, kejadian itu, menyedarkannya supaya lebih berhati-hati jika membeli belon untuk anak-anak.

“Doktor yang merawat anak saya memberitahu, belon tersebut mungkin menggunakan gas hidrogen kerana ia mudah meletup jika terkena percikan api,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Belon adalah beg fleksibel yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti getah, polikloroprena, keranjang atau kain nylon, yang kebiasaannya diisi dengan gas seperti helium, hidrogen, nitrus oksida, oksigen atau udara.

Dihasilkan oleh Michael Faraday pada tahun 1824 untuk kegunaan makmal, belon dalam pelbagai bentuk dicipta untuk digunakan sebagai alat komunikasi tentera, eksperimen saintifik dan pengangkutan.

Pada tahun 1847, pencipta dan pengeluar getah British, Thomas Hancock menghasilkan belon daripada getah tervulkan dan mengedarkan ia pada tahun berikutnya yang menjadi asas kepada revolusi produk asas getah tersebut sebagai barang dagangan berpotensi tinggi.

Lebih murah

Menurut Pembekal Gas Smartbiogas Enterprise, Suwaibah Ahmed, penjual belon cenderung memilih gas hidrogen kerana harganya jauh lebih murah berbanding helium.

Katanya, harga kedua-dua gas berkenaan bagi tong bersaiz besar (47 liter) jauh berbeza iaitu RM1,000 bagi helium manakala RM379 bagi hidrogen.

“Saya berpendapat, perbezaan harga ini telah menggelapkan mata penjual belon untuk memikirkan keuntungan tanpa mengambil kira bahaya yang menanti sekiranya kecuaian berlaku.

“Penggunaan gas di luar bilik seperti di padang agak sukar untuk dikawal selia daripada aspek keselamatan memandangkan orang ramai mungkin tidak mengetahui kelemahan bahan tersebut,” ujarnya.

Kebiasaannya, gas hidrogen digunakan dalam bentuk gas dan cecair di dalam industri petroleum serta penghasilan makanan dan elektronik. Malah hidrogen dihasilkan melalui kaedah elektrolisis iaitu dengan menggunakan arus elektrik untuk memisahkan kandungan air menjadi hidrogen dan oksigen.

Selain itu, ia mudah terbakar dan meletup apabila bercampur dengan oksigen atau didedahkan kepada api.

Pengarah Urusan Glowing Party House, Mastura Muhamad, 37, pula memberitahu, terdapat beberapa ciri bagi mengenal pasti kualiti sesuatu jenis belon seperti cara penghasilan dan ketebalannya.

Menurut beliau, belon tiruan lebih nipis, mengandungi banyak bahan kimia, mudah meletup dan harganya jauh lebih murah.

Dua jenis gas


Perbuatan penjual belon yang menggunakan gas berisi hidrogen boleh mengundang bahaya kepada pembeli. – Gambar hiasan


Lazimnya, ia dihasilkan di China. Mastura memberitahu, dua jenis gas yang sering digunakan untuk belon ialah gas biasa dan helium. Ia bergantung kepada keperluan pelanggan namun sebelum belon diisi dengan gas ia akan dirawat menggunakan gel asas air. Ia bertujuan untuk menutup liang-liang kecil pada belon dan memastikannya tahan lama.

Sejak memulakan perniagaan tersebut, dia bersama suaminya, Muhamad Nasron Muhamad Nasir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Glowing Party House, turut mengadakan kempen kesedaran keselamatan orang ramai terhadap belon.

Selain memahami permintaan pelanggan, Mastura juga akan mengajar penjagaan belon yang dibeli supaya kualiti belon tidak terjejas selepas diserahkan kepada mereka.

Perniagaan belon Glowing Party House juga tidak hanya menjurus kepada menjual belon dan kelengkapan majlis tetapi turut membawa perjuangan tersendiri tentang kepentingan untuk mengetahui selok-belok mengenai belon.

“Belon sememangnya disukai ramai dan ia boleh menjadi bom jangka jika diuruskan oleh orang yang tamak. Mereka bukan sahaja menggunakan belon tidak berkualiti tetapi mengisinya dengan gas hidrogen yang boleh membahayakan orang ramai.

“Tidak semua sedar keadaan ini malah, kes yang berlaku di Terengganu baru-baru ini adalah perkara yang ingin kami elak,” ujarnya.

Dalam kejadian 21 Oktober tahun lalu, seramai 30 orang pengunjung sebuah program cedera selepas 150 belon berisi gas hidrogen meletup dan terbakar di Dataran Pantai Batu Burok, Terengganu.

Kejadian dipercayai berlaku selepas seorang petugas program menggunakan pemetik api untuk memotong tali belon yang berpintal. Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu juga, tiga kanak-kanak melecur teruk pada muka dan badan.

Tambahnya, menjadi hak pengguna untuk mengetahui dan memahami jenis belon terutama gas yang diisi di dalamnya serta kualiti belon berkenaan.

Selain aktif menyebarkan maklumat berkenaan belon, Mastura dan Muhamad Nasron turut menjadi orang kuat dalam membantu usahawan kelengkapan majlis dan belon di seluruh Semenanjung melalui kumpulan Jemaah Party Network Bumiputera.

Diharamkan

Menurutnya, dalam perniagaan setiap peniaga perlu saling membantu dan pada masa sama memberikan perkhidmatan serta produk berkualiti kepada pengguna.

Dalam pada itu, badut sambilan yang hanya mahu dikenali sebagai Awang berkata, penggunaan gas hidrogen untuk belon perlu diharamkan.

“Saya tidak pernah menggunakan gas hidrogen kerana sedar bahaya gas tersebut.

“Gas hidrogen digunakan secara meluas kerana mudah untuk dibeli dan jangan terkejut ada pihak yang menghasilkannya sendiri demi mengaut keuntungan berganda,” katanya.

Katanya, harga seunit belon gas helium biasanya dijual dengan harga RM4 iaitu RM1 atau RM2 lebih mahal daripada belon gas hidrogen tetapi ia berbaloi kerana selamat digunakan.

“Ketika membeli belon, lihat pada tepi tong gas digunakan. Jika kepala tong gas berkenaan nampak seperti boleh dibuka atau mempunyai skru, ia sudah semestinya gas hidrogen dan perlu dielakkan daripada membelinya,” katanya.

Process time in ms: 47