HORIZON

ayanan umpama menaiki kapal terbang

ayanan umpama menaiki kapal terbang

DITSM akan berada di Lanai, Matic sehingga Jun ini.


GERAK geri tubuh wanita berusia 49 tahun itu jelas menggambarkan kegelisahan saat namanya dipanggil oleh pihak pengurusan Dinner In The Sky Malaysia (DITSM) untuk mengambil tempatnya.

Siti Nurizah Ismail terus berjalan mengambil tempat duduknya di penjuru kanan sambil ditemani suami dan anaknya yang turut serta merasai pengalaman unik itu.

Sesekali suaminya, menoleh ke arahnya dan memberi kata-kata semangat bagi menghindarkan perasaan gelisah Siti Nurizah.

“Saya amat teruja untuk merasai pengalaman makan malam selama satu jam di udara buat kali pertama dalam hidup.

“Begitupun saya bimbang akan gayat sewaktu di udara. Namun, saya kuatkan juga semangat,” katanya ketika ditemu bual, Kosmo! di Lanai, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.

DITSM memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman makan malam bersama insan tersayang dan rakan-rakan pada ketinggian 50 meter di udara.

Selain menikmati hidangan, pengunjung juga menghayati keindahan pemandangan hutan konkrit Kuala Lumpur yang dipenuhi lampu berwarna-warni.

Siti Nurizah yang berasal dari ibu negara memaklumkan, DITSM menawarkan pengalaman berbeza berbanding makan di atas bangunan tinggi.

Katanya, DITSM membolehkannya berasa seolah-olah seperti terapung di udara sambil menghirup udara nyaman.

“Tarikan ini memang mencabar adrenalin, namun ia amat menyeronokkan terutamanya apabila menjamah makanan sambil berlatarbelakangkan Menara Kuala Lumpur (KL) dan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

“Saya juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan swafoto sewaktu berada di udara” katanya.

Tarikan

DITSM dianjurkan oleh sebuah syarikat hiburan tempatan iaitu 2Spicy Entertainment Malaysia Sdn. Bhd. sejak Ogos 2015.

Sebelum ini, syarikat sama pernah menganjurkan makan malam di udara di Menara KL dan Pulau Pinang dan Johor.

Mula diperkenalkan di Belgium pada tahun 2006, perkhidmatan makan malam di udara tersebut turut menjadi tarikan di 40 bandar raya di seluruh dunia seperti Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, London (Britain) dan Pantai Copacabana (Brazil).

Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menawarkan perkhidmatan makan malam di udara.

Ketua Pegawai Eksekutif 2Spicy Entertainment Malaysia, Arvin Randahwa berkata, DITSM mula berada di Lanai, Matic sejak 22 Disember lalu sehingga Jun ini.

Layanan


seorang petugas ketering menyediakan hidangan untuk pelanggan.


Katanya, sejak dibuka, ia mendapat sambutan cukup mengalakkan bukan sahaja daripada penduduk tempatan, malah pelancong asing.

“Di sini, kami membuat sedikit kelainan dengan mengetengahkan konsep layanan seperti sebuah kapal terbang komersial.

“Jadi, para petugas kami akan berpakaian seperti juruterbang dan pramugari. Pengunjung juga akan dilayan seperti berada di atas kapal terbang,” katanya.

Menurut Arvin, pihaknya memilih Lanai sebagai lokasi DITSM berikutan lokasinya yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.

“Kami memilih lokasi ini kerana kedudukannya yang cukup strategik. Malah, pemandangan sangat mempersonakan iaitu berlatarbelakangkan Menara KL dan KLCC.

“Maka tidak hairanlah kebanyakan pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar sewaktu berada di udara,” katanya.

Platform DITSM dibina menyerupai meja makan besar yang mampu memuatkan 22 orang dalam satu-satu masa. Kawasan tengah platform menempatkan cef dan DJ muzik.

Mengulas mengenai aspek keselamatan, Arvin memberitahu pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bagi memastikan ia mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan.

Jelasnya, pihaknya juga menutup operasi pada setiap hari Isnin bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan.

“Kren dan platform yang kami gunakan ini diimport terus dari Belgium. Kren ini mampu mengangkat berat sebanyak 180 tan dalam satu-satu masa.

“Jika berat platform dan pelanggan, ia baru menyamai tujuh tan. Jadi, pelanggan tidak perlu berasa was-was dengan aspek keselamatan,” katanya.

Tiga hidangan


PARA petugas keselamatan memeriksa tali pinggang keselamatan pada setiap pelanggan.


Arvin memaklumkan, sewaktu di udara pengunjung akan disajikan dengan tiga hidangan yang sediakan oleh ketering tempatan iaitu Teaffani.

Terangnya, pengunjung diberi peluang untuk memilih hidangan utama sama ada ayam, daging, makanan laut dan kambing sewaktu membuat tempahan.

“Kami akan menghidangkan tiga sajian iaitu permulaan (starter), hidangan utama dan pencuci mulut. Kami juga ada menyediakan menu khusus buat vegetarian.

“Kesemua hidangan ini akan dihidangkan oleh cef kami sewaktu berada di udara dan pengunjung dapat berkomunikasi secara terus dengan mereka,” tuturnya.

Bagi salah seorang pengunjung, Rohana Ishak, 35, berkata, makanan-makanan yang dihidangkan cukup enak.

Jelas anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, hidangan ayam panggang bersama kentang lenyek dan asparagus bakar sangat menepati seleranya.

“Hari ini, saya datang berdua bersama suami untuk makan malam di sini sempena ulang tahun kelahiran saya.

“Pengalaman makan malam ini meninggalkan memori indah buat saya kerana dapat menikmati hidangan yang lazat di atas udara,” katanya yang berkhidmat sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur.

Rohana turut mencadangkan supaya, pihak pengurusan DITSM dapat menawarkan pengalaman makan tengah hari dan sarapan di udara.

Jelasnya, ia pasti lebih menarik dan lebih ramai orang dapat merasai pengalaman makan di udara pada masa akan datang.

Horizon!»

Lihat dinosaur dari jarak dekat

KELIBAT patung dinosaur dapat dilihat dari jauh termasuk pengguna yang melalui Jalan Pintasan Muar, Johor.

Varia!»

Makuma platform mahasiswa cemerlang

Mahasiswa perlu bijak menyeimbangkan antara pembelajaran dengan aktiviti luar dalam usaha menjadi pelajar yang holistik.

[email protected]!

Process time in ms: 31