HIBURAN

Herman Tino terharu jumpa Aiman Tino

Herman Tino terharu jumpa Aiman Tino


SALING mengagumi. Aiman Tino bersama Herman Tino sewaktu pertemuan khas sebagai tanda penghormatan daripada Aiman kerana meminjam nama penyanyi terkenal era 1980-an itu sebagai nama pentasnya.


SEWAKTU awal kemunculan penyanyi lagu Ku Rela Dibenci menjadi bualan hangat, ada satu hal yang menjadi tanda tanya pada nama yang digunakan jejaka berusia 19 tahun itu.

Membawa nama yang hampir sama dengan seorang penyanyi veteran, Herman Tino, khalayak tertanya-tanya, apakah kaitan Aiman Tino dengan lelaki berusia 62 tahun itu?

Merungkai pelbagai spekulasi peminat, akhirnya selepas setahun ‘meminjam’ nama pelantun lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir itu, baru-baru ini Aiman dan Herman dipertemukan buat pertama kali di Kafe Hayaki, Shah Alam.

Dalam debar dan teruja, Aiman berkata, pertemuan yang sengaja diaturkan tersebut sebagai tanda penghormatan buat Herman kerana meminjam ‘berkat’ nama Tino selama ini.

“Pertemuan ini sebagai tanda penghargaan dan penghormatan untuk Herman Tino kerana saya telah menggunakan nama beliau sejak berumur 12 tahun.

“Saya tahu ramai yang terkeliru tentang hubungan antara kami. Nama Aiman Tino wujud disebabkan ibu saya, Hazelina Mat Jali, 40, yang begitu meminati muzik Herman Tino sejak dari 1986 lagi,” katanya yang mengakui menggeletar semasa pertemuan tersebut.

Tambah Aiman, kekeliruan berkaitan nama dan hubungannya dengan Herman bukanlah sesuatu yang asing.

Akui pemilik nama Muhammad Aiman Yusri itu, perkara tersebut sudah lali di cuping telinganya dek pertanyaan ramai pihak termasuk rakan yang baru dikenali.

“Bagi kawan-kawan yang sudah dikenali sejak kecil, mereka memang sudah tidak mempertikaikan kerana sudah lama mengetahui perkara tersebut.

“Berbeza pula dengan rakan baharu, mereka pasti akan bertanya kenapa saya menggunakan nama Aiman Tino? Setelah diterangkan sebabnya, baru mereka memahami,” ujarnya.

Difitnah

Dalam pada itu, Herman Tino pula tidak pernah menganggap Aiman ‘meminjam’ nama beliau.

Malah, penyanyi tersebut turut menyatakan rasa terharu apabila berpeluang berjumpa dengan Aiman.

Ujar Herman, beliau sebenarnya sudah lama menantikan peluang tersebut yang disifatkan begitu istimewa.

“Saya tidak pernah menganggap Aiman meminjam nama saya. Andai kata dia hendak menggunakan nama Herman Tino sekalipun, saya pasti tidak akan memarahinya.

“Saya begitu terharu dengan pertemuan yang sudah lama dinantikan ini. Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Aiman dan jangan pernah mempunyai rasa terbeban dengan kerenah yang berlaku dalam industri,” terang Herman.

Ditanya apakah reaksi beliau tatkala ada peminat menyangka Aiman merupakan anaknya, sambil tersenyum penyanti yang begitu sinonim dengan penampilan menggunakan kain pelikat sebagai selempang di bahu itu berkata, beliau tidak terkejut dengan anggapan tersebut.

Malah, beliau juga pernah berhadapan dengan situasi difitnah dengan kenyataan Aiman merupakan anak tidak sah taraf sehingga menimbulkan pertikaian isteri.

“Pernah suatu ketika isteri mempersoalkan kaitan hubungan saya dengan ibu kepada Aiman Tino. Agak puas juga untuk menjelaskan tetapi akhirnya isteri memahami juga.

“Bagaimanapun, saya tidak kisah dengan semua tanggapan itu kerana sudah biasa dengan fitnah orang ramai sejak dari dahulu,” katanya bersikap terbuka.

Sebelum mengakhiri bicara, Herman sempat menitipkan pesanan buat Aiman yang cukup bererti untuk disimpan rapi.

“Dalam mengecapi populariti, jangan sesekali lupa diri seperti yang pernah terjadi kepada saya suatu ketika dahulu.

“Aiman kini mempunyai nama hebat dan sering dipuji. Anggaplah pujian itu sebagai racun dan jangan terlalu selesa,” ujarnya yang turut mengingatkan agar Aiman tidak bercinta terlebih dahulu dan fokus kepada kerjayanya.”

Herman merupakan suami kepada juruhebah RTM, Noraini Ibnu.

Process time in ms: 16