TERKINI

JPB 2017 sasar bantu 50,000 pelajar miskin bumiputera luar bandar

JPB 2017 sasar bantu 50,000 pelajar miskin bumiputera luar bandar

11/01/2017 11:20pm

PUTRAJAYA - Program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 (JPB 2017) yang akan dilancarkan pada bulan Mac ini menyasarkan untuk membantu seramai 50,000 pelajar miskin bumiputera luar bandar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program tersebut yang akan digerakkan di 56 buah Parlimen dan mendekati kira-kira 200,000 pelajar di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat ramai pelajar terbabit mengalami keciciran dan gagal memasuki IPT kerana tidak tahu cara mengisi borang, tiada akses internet, tidak mendapat maklumat dan gagal dalam mata pelajaran wajib lulus.

"Tujuan jelajah ini dapat memberikan peluang pertama atau kedua untuk pelajar Melayu bumiputera miskin kerana jika mereka memasuki saluran normal iaitu Unit Pengambilan Universiti (UPU).

"Melalui program ini, mereka dibantu supaya mudah diterima masuk ke universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pemukiman Khas Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan naib-naib canselor institusi pengajian tinggi awam.

Program tersebut yang bermula pada tahun lalu itu merupakan ilham daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najin Tun Razak yang ingin mengubah destini anak bangsa supaya terus berjaya dan cemerlang.

Ismail Sabri yang merupakan menteri mentor program tersebut menjelaskan, pada tahun lalu program itu cuma disertai oleh institusi pengajian tinggi swasta dan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) namun pada tahun ini turut disertai oleh institusi pengajian tinggi awam. - K! ONLINE

Process time in ms: 31