TERKINI

Kementerian Pendidikan arah sekolah pindah 'batu nisan' replika

Kementerian Pendidikan arah sekolah pindah 'batu nisan' replika

11/01/2017 9:16pm

Foto: Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan telah mengarahkan replika kubur Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad, Bukit Kuda, Klang, Selangor dipindahkan ke kawasan surau di sekolah tersebut bagi menjaga sensitiviti murid-murid bukan beragama Islam.

Jelas kementerian, hasil siasatan mendapati, pembinaan replika kubur oleh Panitia Pendidikan Islam sekolah tersebut adalah untuk latihan amali murid-murid Islam di sekolah itu.

"Latihan amali ini berdasarkan kurikulum Pendidikan Islam Tingkatan Tiga mengenai pengurusan jenazah.

"Bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga sensitiviti murid-murid bukan beragama Islam, KPM telah mengarahkan supaya replika kubur ini dipindahkan ke satu sudut di kawasan surau sekolah tempat pembelajaran dan latihan amali itu dibuat," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat ekoran laporan satu portal berita dan sebuah akhbar berbahasa tamil mengenai kewujudan batu nisan di sekolah tersebut pada 4 dan 10 Januari lalu.

Sehubungan itu, pihak kementerian memberitahu, penyediaan replika kubur itu bukan merupakan perkara yang wajib untuk diadakan dalam pengajaran tersebut.

"Sebaliknya ia merupakan inisiatif sekolah berkenaan dalam memberi kefahaman kepada murid terhadap tajuk pengajarannya," jelasnya. - K! ONLINE

Process time in ms: 31