TERKINI

Mohd. Faiz terima Bintang Semangat Jerai

Mohd. Faiz terima Bintang Semangat Jerai

11/01/2017 7:18pm

Mohd. Faiz


ALOR SETAR - Pemenang Anugerah Puskas Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 untuk jaringan tercantik di dunia, Mohd. Faiz Subri akan dikurniakan Bintang Semangat Jerai sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89 bermula Sabtu ini hingga April depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, keputusan untuk mengurniakan bintang tersebut kepada Mohd. Faiz dicapai pada mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurutnya, bintang tersebut dikurniakan kepada ahli-ahli sukan yang berjaya mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang sukan.

"Tahniah diucapkan kepada Mohd. Faiz dan kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian anak kelahiran Jerlun itu yang menerima anugerah sukan bola sepak bertaraf antarabangsa itu.

"Sebelum ini, penerima anugerah tersebut dalam kalangan pemain bola sepak terkenal di dunia seperti pemain Portugal, Cristiano Ronaldo (2009)," katanya kepada pemberita selepas program pemberian cermin mata 'Dari Mata Turun Ke Hati' di sini hari ini.

Istiadat Pengurniaan Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran akan berlangsung selama lapan hari bermula Ahad ini hingga 15 Februari. - K! ONLINE

Process time in ms: 31