TERKINI

JCorp lancar tabung kemanusian konflik Timur Tengah

JCorp lancar tabung kemanusian konflik Timur Tengah

11/01/2017 6:27pm




JOHOR BAHRU Johor Corporation (JCorp) menerusi Mutiara JCorp dengan kerjasama Mercy Malaysia hari ini melancarkan Tabung Kemanusiaan Konflik Timur Tengah bagi mengumpulkan sumbangan untuk membantu penduduk yang menjadi mangsa konflik ketenteraan di Syria, Palestin serta Yemen.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, tabung itu akan diedarkan ke semua jabatan dan syarikat dalam kumpulan JCorp bagi membolehkan ramai pihak menghulurkan sumbangan.

"JCorp tidak meletakkan sasaran kutipan bagi tabung ini dan tarikh tutup sumbangan iaitu pada 28 Februari depan.

"Semua kutipan akan diserahkan kepada Mercy Malaysia untuk membiayai kos pembelian ubat-ubatan dan peralatan perubatan bagi menyokong program perkhidmatan kesihatan di sana," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pedoman Anggota Pekerja Johor Corporation yang menghimpunkan seramai 1,000 anggota pekerja dalam syarikat Kumpulannya di Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Mutiara JCorp, Datin Noor Laila Yahaya dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus, Presiden Mercy Malaysia serta wakil syarikat dalam Kumpulan.

Menurut Kamaruzzaman, bagi penduduk di sekitar bandar raya ini, mereka boleh mengisi tabung kemanusiaan itu yang diletakkan di premis perniagaan Kumpulan Johor Corporation. - K! ONLINE

Process time in ms: 31