TERKINI

Orang ramai gagalkan cubaan ragut suri rumah

Orang ramai gagalkan cubaan ragut suri rumah

11/01/2017 2:40pm

TAWAU - Tindakan pantas orang ramai berjaya menghalang seorang penjenayah melarikan beg tangan yang diragut daripada seorang suri rumah berusia 43 tahun di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seorang lelaki berumur 35 tahun telah merentap beg tangan mangsa dari arah belakang di hadapan sebuah klinik di Batu 3, Jalan Apas, dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi.

"Suspek yang melarikan diri kemudian dikejar orang ramai selepas mangsa menjerit meminta tolong," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata, suspek yang turut mengaku mengambil dadah jenis syabu itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.

Beliau berkata, mangsa yang dipanggil ke balai polis untuk membuat pengecaman suspek mengesahkan individu yang ditahan itu adalah 100 peratus suspek yang meragutnya. - Bernama

Process time in ms: 32